Rabu, 27 Februari 2019
Rabu dalam Minggu Ketujuh Masa Biasa
Semua Santo dan Santa untuk Hari Ini

Yohanes berkata kepada Yesus, “Guru, kami melihat seseorang mengusir roh-roh jahat atas nama-Mu, dan kami cuba menghalangnya kerana dia tidak mengikuti kita.” Yesus menjawab, “Jangan halang dia. Tidak ada seorang pun yang melakukan perbuatan ajaib atas nama-Ku dapat pada masa yang sama memburuk-burukkan Aku.” Markus 9:38-39
Petikan ini memberi kita pengajaran tentang iri hati atau apa yang boleh kita sebut sebagai “eksklusivisme”. Yohanes dan para Rasul yang lain menyaksikan seseorang yang tidak mereka kenali melakukan perbuatan yang sungguh baik, iaitu mengusir roh jahat dalam nama Yesus. Situasi ini agak janggal untuk dibayangkan. Yohanes melihat perbuatan baik ini lalu cuba campur tangan dengan meminta orang itu berhenti. Kemudian dia pergi mengadukan orang itu kepada Yesus, dengan harapan Yesus akan campur tangan. Tetapi Yesus melakukan yang sebaliknya.
Dalam beberapa hal, kisah ini menyerupai seorang anak yang mengadu tentang adik-beradiknya. Katakanlah salah seorang anak melakukan sesuatu yang dibenarkan oleh ibu atau bapanya, tetapi seorang lagi berasa iri hati. Akibatnya, anak yang iri hati itu mengadu dengan alasan yang remeh.
“Eksklusivisme” boleh ditakrifkan sebagai kecenderungan untuk berfikir bahawa sesuatu itu baik hanya apabila saya sendiri yang melakukannya. Ini merupakan suatu bentuk ketamakan rohani yang menyebabkan kita sukar bersukacita atas perbuatan baik orang lain dan menyokongnya. Ini suatu pergumulan yang berbahaya, namun amat lazim dialami oleh ramai orang.
Dalam kehidupan Kristian kita, yang sebaik-baiknya ialah mencari karya Allah di mana-mana dan dalam diri setiap orang. Kita seharusnya begitu mendambakan agar Kerajaan Allah dibangunkan sehingga kita amat bersukacita setiap kali menyaksikan usaha sedemikian. Sebaliknya, jika kita mendapati diri kita iri hati terhadap seseorang kerana kebaikan yang dilakukannya, atau jika kita mendapati diri kita cuba mencari kesalahan dalam apa yang dilakukannya, maka kita harus menyedari kecenderungan ini dan mengakuinya sebagai dosa kita, bukan dosanya.
Renungkanlah hari ini reaksi anda sendiri terhadap kebaikan orang lain. Adakah anda mampu bersukacita atas kebaikan itu? Atau adakah kebaikan itu menimbulkan rasa cemburu atau iri hati dalam diri anda? Jika yang terakhir itu berlaku, maka bertekadlah untuk berusaha membebaskan diri daripada godaan-godaan ini. Tuhan kita yang ilahi menghendaki agar anda mengambil bahagian dalam karya-karya baik-Nya. Anda harus berusaha untuk mempunyai hasrat yang sama.
Tuhan, apabila aku iri hati terhadap orang lain, terutama apabila aku iri hati terhadap perbuatan baik mereka, bantulah aku menyedari bahawa hal ini ialah dosaku. Sebaliknya, bantulah aku mencari pelbagai cara yang menakjubkan Engkau berkarya di dunia kami, dan bantulah aku bersukacita atas segala yang Engkau lakukan melalui orang lain. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.




