Rabu, 30 Oktober 2019
Hari Rabu dalam Minggu Biasa Ketiga Puluh
Semua Santo dan Santa untuk Hari Ini

“Kemudian Dia akan berkata kepadamu, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah daripada-Ku, kamu semua yang melakukan kejahatan!’” Lukas 13:27
Yesus menjelaskan bahawa ada orang yang akan datang kepada-Nya dengan terlalu yakin bahawa mereka akan masuk ke Syurga, tetapi keyakinan melulu mereka itu akan disambut dengan kata-kata yang menakutkan ini: “Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah daripada-Ku.”
Sikap terlalu yakin ialah dosa yang berbahaya. Sikap ini berbahaya atas dua sebab. Pertama, apabila seseorang terlalu yakin, dia hidup dalam penyangkalan terhadap kebenaran. Dalam hubungannya dengan Allah, sikap terlalu yakin bererti seseorang bertindak seolah-olah dia mempunyai hubungan dengan Allah, sedangkan sebenarnya tidak. Dia mungkin mengucapkan kata-kata yang suci, bertindak seolah-olah dirinya suci, malah percaya bahawa dirinya suci, sedangkan pada hakikatnya dia langsung tidak mengenal Tuhan kita. Oleh itu, sikap terlalu yakin wujud apabila seseorang hidup dalam penyangkalan terhadap kebenaran.
Kedua, sikap terlalu yakin berbahaya kerana orang yang bersikap demikian tidak akan bertaubat daripada dosanya sendiri. Hal ini kerana penyangkalannya menyebabkan dia tidak dapat mengakui dosanya. Tanpa mengakui dosanya, dia seterusnya tidak dapat mengakui bahawa dia perlu berubah. Dia terus tenggelam dalam pemikirannya yang salah dan dalam dosanya.
Yesus menyampaikan ajaran ini bukan untuk menunjukkan bahawa Dia bersikap keras terhadap mereka yang terlalu yakin; sebaliknya, Dia menyampaikannya sebagai suatu tindakan yang penuh kerahiman terhadap mereka yang terperangkap dalam dosa ini. Pendedahan yang mengejutkan seperti ini diperlukan untuk menyentak seseorang sehingga dia bebas daripada dosa ini. Dalam hal ini, ketakutan bahawa suatu hari nanti mereka akan mendengar kata-kata ini daripada Yesus akan membantu mereka yang terperangkap dalam sikap terlalu yakin untuk membebaskan diri dan menghadapi kebenaran.
Renungkanlah hari ini apa-apa cara anda tidak bersikap jujur terhadap diri sendiri atau orang lain. Biarlah kejutan apabila menyedari kesudahan akhir segala sikap terlalu yakin dalam hidup anda menyentak anda sehingga bebas daripada dosa ini, supaya anda dapat merendahkan diri di hadapan Allah sekarang, sebelum terlambat. Ingatlah betapa mendalamnya kasih Tuhan kita kepada anda, dan biarlah kasih itu membantu anda menghadapi kehidupan anda dengan kejujuran dan integriti.
Tuhan, aku sungguh mengasihi-Mu dan berdoa agar kasihku sentiasa jujur, tulus dan sepenuhnya. Bantulah aku melihat segala cara aku gagal mengasihi-Mu dengan segenap hatiku dalam hidupku. Aku menyerahkan hidupku kepada-Mu, ya Tuhan yang terkasih, tanpa sebarang batasan. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
BAHARU – Langgan saluran YouTube kami!




