Bahasa Melayu

Dia Harus Semakin Besar; Aku Harus Semakin Kecil

11 Januari 2020
Sabtu selepas Epifani
Bacaan Hari Ini

“Dia harus semakin besar; aku harus semakin kecil.”  Yohanes 3:30 

Kata-kata Santo Yohanes Pembaptis yang penuh kuasa dan bersifat kenabian ini seharusnya bergema dalam hati kita setiap hari.  Kata-kata ini membantu menentukan arah seluruh diri kita dan peribadi yang seharusnya kita jadi.  Apakah maksud kata-kata ini?  Jelas sekali, ada dua perkara yang dikatakan oleh Yohanes di sini: 1) Yesus harus semakin besar, 2) Kita harus semakin kecil.

Pertama sekali, Yesus menjadi semakin besar dalam hidup kita ialah matlamat utama yang mesti kita miliki.  Apakah sebenarnya maksud hal ini?  Ini bererti bahawa Dia semakin menguasai akal budi dan kehendak kita.  Ini bererti bahawa Dia memiliki kita dan kita memiliki-Nya.  Ini bererti bahawa matlamat dan keinginan kita yang paling utama dalam hidup ialah melaksanakan kehendak-Nya yang kudus dalam segala hal.  Ini bererti bahawa ketakutan diketepikan dan kasih menjadi alasan kita untuk hidup.  Membiarkan Tuhan menjadi semakin besar dalam hidup kita sungguh membebaskan.  Hal ini membebaskan kerana kita tidak lagi perlu cuba menguruskan segala-galanya dengan kekuatan sendiri.  Kini Yesus hidup dalam diri kita dan melalui kita.

Kedua, apabila Yohanes mengatakan bahawa dia harus semakin kecil, maksudnya ialah kehendak, keinginan, cita-cita, harapan dan sebagainya yang ada pada dirinya sendiri harus lenyap apabila Yesus mengambil alih.  Ini bererti bahawa segala sikap mementingkan diri mesti ditinggalkan dan hidup tanpa mementingkan diri mesti menjadi prinsip asas kehidupan kita.  Menjadi “semakin kecil” di hadapan Allah bererti kita menjadi rendah hati.  Kerendahan hati ialah cara untuk melepaskan segala sesuatu yang bukan daripada Allah dan membiarkan hanya Allah bersinar melalui diri kita.

Renungkanlah pada hari ini pernyataan Santo Yohanes Pembaptis yang indah ini.  Jadikanlah pernyataan ini suatu doa dan ucapkannya berulang kali.  Biarlah pernyataan ini menjadi prinsip yang membimbing hidupmu.

Tuhan, Engkau harus semakin besar dan aku harus semakin kecil.  Datanglah dan kuasailah jiwaku sepenuhnya.  Ubahlah akal budi dan hatiku, bimbinglah kehendak, emosi dan keinginanku.  Dan perkenankanlah aku menjadi alat yang kudus bagi kehidupan ilahi-Mu.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini