Bahasa Melayu

Hidup dalam Pengorbanan

11 Mac 2020
Rabu dalam Minggu Kedua Prapaskah
Bacaan Hari Ini

Yesus menjawab, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Dapatkah kamu minum daripada piala yang akan Kuminum?” Mereka berkata kepada-Nya, “Kami dapat.” Dia menjawab, “Kamu memang akan minum daripada piala-Ku, tetapi untuk duduk di sebelah kanan dan kiri-Ku, itu bukanlah hak-Ku untuk memberikannya, melainkan tempat itu adalah bagi mereka yang telah disediakannya oleh Bapa-Ku.”  Matius 20:22–23

Mudah untuk mempunyai niat yang baik, tetapi adakah itu mencukupi?  Kata-kata dalam petikan Injil di atas diucapkan oleh Yesus kepada dua orang bersaudara, Yakobus dan Yohanes, selepas ibu mereka yang penuh kasih datang kepada Yesus dan meminta-Nya berjanji bahawa kedua-dua anaknya akan duduk di sebelah kanan dan kiri-Nya apabila Dia bersemayam di takhta kerajaan-Nya.  Mungkin dia agak berani meminta hal itu daripada Yesus, tetapi jelas bahawa kasih seorang ibulah yang mendorong permintaannya.

Namun, penting untuk diperhatikan bahawa dia sebenarnya tidak menyedari apa yang dimintanya.  Dan sekiranya dia menyedari apa yang dimintanya, mungkin dia langsung tidak akan meminta “pertolongan” ini daripada Yesus.  Yesus sedang menuju ke Yerusalem, tempat Dia akan menaiki takhta Salib-Nya dan disalibkan.  Dalam konteks inilah Yesus ditanya sama ada Yakobus dan Yohanes boleh menyertai-Nya di takhta-Nya.  Itulah sebabnya Yesus bertanya kepada kedua-dua Rasul ini, “Dapatkah kamu minum daripada piala yang akan Kuminum?”  Mereka menjawab, “Kami dapat.”  Dan Yesus mengesahkan hal ini dengan berkata kepada mereka, “Kamu memang akan minum daripada piala-Ku.”

Mereka diundang oleh Yesus untuk mengikuti jejak langkah-Nya dan dengan berani menyerahkan hidup mereka sebagai suatu pengorbanan demi kasih kepada sesama.  Mereka harus melepaskan segala ketakutan serta bersedia dan rela untuk berkata “Ya” kepada salib mereka sendiri ketika mereka berusaha melayani Kristus dan misi-Nya.

Mengikuti Yesus bukanlah sesuatu yang patut kita lakukan dengan separuh hati.  Jika kita mahu menjadi pengikut Kristus yang sejati, kita juga perlu minum daripada piala Darah-Nya yang Mahamulia hingga meresap ke lubuk jiwa kita, serta menerima santapan daripada kurnia itu supaya kita bersedia dan rela memberikan diri kita sehingga berkorban sepenuhnya.  Kita perlu bersedia dan rela menyerahkan segala-galanya tanpa menahan apa-apa pun, walaupun hal itu menuntut pengorbanan yang paling besar.

Benar, sangat sedikit orang yang akan dipanggil untuk benar-benar menjadi martir, tetapi kita SEMUA dipanggil untuk menjadi martir secara rohani.  Ini bermakna kita mesti menyerahkan diri kepada Kristus dan kehendak-Nya dengan begitu sepenuhnya sehingga kita telah mati terhadap diri sendiri.  

Renungkanlah hari ini bahawa Yesus mengajukan soalan ini kepada anda, “Dapatkah kamu minum daripada piala yang akan Kuminum?”  Dapatkah anda dengan rela memberikan segala-galanya tanpa menahan apa-apa pun?  Dapatkah kasih anda kepada Allah dan sesama menjadi begitu utuh dan menyeluruh sehingga anda menjadi martir dalam erti kata yang sebenar?  Bertekadlah untuk berkata “Ya,” minumlah daripada piala Darah-Nya yang Mahamulia dan persembahkanlah hidup anda setiap hari sebagai pengorbanan yang sepenuhnya.  Pengorbanan itu berbaloi dan anda mampu melakukannya!

Tuhan, semoga kasihku kepada-Mu dan sesama begitu utuh sehingga aku tidak menahan apa-apa pun.  Semoga aku menyerahkan fikiranku hanya kepada Kebenaran-Mu dan kehendakku kepada Jalan-Mu.  Dan semoga kurnia Darah-Mu yang Mahamulia menjadi kekuatanku dalam perjalanan ini supaya aku dapat meneladani kasih-Mu yang sempurna dan penuh pengorbanan.  Yesus, aku menaruh kepercayaanku kepada-Mu.

40 Hari di Kaki Salib – Renungan Keempat Belas – “Lakukanlah Apa Sahaja yang Dikatakan-Nya kepadamu”

Sumber untuk Masa Prapaskah

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa