Bahasa Melayu

Bertahan Hidup di Dunia Ini

27 Mei 2020
Rabu dalam Minggu Paskah Ketujuh
Bacaan Hari Ini

Santo Agustinus dari Canterbury, Uskup—Peringatan Pilihan

“Aku telah memberikan firman-Mu kepada mereka, dan dunia membenci mereka, kerana mereka bukan milik dunia, sebagaimana Aku juga bukan milik dunia. Aku tidak meminta agar Engkau mengambil mereka keluar dari dunia, tetapi agar Engkau melindungi mereka daripada si Jahat. Mereka bukan milik dunia, sebagaimana Aku juga bukan milik dunia. Kuduskanlah mereka dalam kebenaran. Firman-Mu adalah kebenaran.”  Yohanes 17:14–17

“Kuduskanlah mereka dalam kebenaran.  Firman-Mu adalah kebenaran.”  Itulah kunci untuk bertahan hidup!  

Kitab Suci mendedahkan tiga godaan utama yang kita hadapi dalam kehidupan: kedagingan, dunia dan Iblis.  Ketiga-tiganya berusaha untuk menyesatkan kita.  Namun, ketiga-tiganya dapat dikalahkan dengan satu perkara… Kebenaran.

Petikan Injil di atas secara khusus berbicara tentang “dunia” dan “si Jahat.”  Si Jahat, iaitu Iblis, benar-benar wujud.  Dia membenci kita dan melakukan segala yang terdaya untuk menyesatkan kita dan menghancurkan kehidupan kita.  Dia cuba memenuhi fikiran kita dengan janji-janji kosong, menawarkan keseronokan sementara, dan mendorong cita-cita yang mementingkan diri sendiri.  Dia seorang pendusta sejak awal dan tetap menjadi pendusta hingga hari ini.

Salah satu godaan yang diajukan oleh Iblis kepada Yesus ketika Dia berpuasa selama empat puluh hari pada awal pelayanan-Nya di hadapan umum ialah godaan untuk memperoleh segala yang ditawarkan oleh dunia.  Iblis memperlihatkan kepada Yesus semua kerajaan di bumi lalu berkata, “Semua ini akan kuberikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.”

Pertama sekali, godaan ini tidak masuk akal memandangkan Yesus sememangnya Pencipta segala sesuatu.  Namun demikian, Dia membenarkan Iblis menggoda-Nya dengan tarikan duniawi ini.  Mengapakah Dia berbuat demikian?  Kerana Yesus tahu bahawa kita semua akan digoda oleh pelbagai tarikan dunia.  Dengan istilah “dunia,” kita merujuk kepada banyak perkara.  Satu perkara yang terlintas dalam fikiran pada zaman kita ini ialah keinginan untuk diterima oleh dunia.  Ini merupakan suatu wabak yang sangat halus tetapi menjejaskan begitu ramai orang, termasuk Gereja kita sendiri.

Dengan pengaruh kuat media dan budaya politik global, pada hari ini, lebih daripada sebelumnya, kita sebagai orang Kristian menghadapi tekanan untuk mengikut sahaja arus zaman kita.  Kita digoda untuk melakukan dan mempercayai apa yang popular dan diterima oleh masyarakat.  Dan “injil” yang kita biarkan diri kita dengar ialah dunia sekular yang bersikap acuh tak acuh terhadap soal moral.  

Terdapat kecenderungan budaya yang kuat (suatu kecenderungan global akibat Internet dan media) untuk menjadi orang yang sanggup menerima apa sahaja tanpa batas.  Kita telah kehilangan kepekaan terhadap integriti moral dan kebenaran.  Oleh itu, kata-kata Yesus perlu kita hayati pada hari ini lebih daripada sebelumnya.  “Firman-Mu adalah Kebenaran.”  Firman Allah, Injil, segala yang diajarkan oleh Katekismus kita, segala yang dinyatakan oleh iman kita ialah Kebenaran.  Kebenaran inilah yang mesti menjadi cahaya penuntun kita, dan bukan apa-apa yang lain.

Renungkanlah hari ini sejauh mana budaya sekular mempengaruhi dirimu.  Sudahkah engkau mengalah kepada tekanan sekular, atau kepada “injil-injil” sekular pada zaman kita ini?  Kita memerlukan kekuatan diri untuk menentang dusta-dusta ini.  Kita hanya akan mampu menentangnya jika kita tetap dikuduskan dalam Kebenaran.

Tuhan, aku sungguh menguduskan diriku bagi-Mu.  Engkaulah Kebenaran.  Firman-Mulah yang aku perlukan untuk tetap berfokus dan mencari jalan di tengah-tengah begitu banyak dusta di sekelilingku.  Berilah aku kekuatan dan kebijaksanaan agar aku sentiasa berada dalam perlindungan-Mu, jauh daripada si Jahat.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Novena kepada Roh Kudus
Didoakan sebagai persiapan untuk Pentakosta
Hari Keenam – Rabu, 27 Mei

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Santo/Santa Hari Ini – Santo Agustinus dari Canterbury, Uskup

Pilihan Bacaan Misa

Gambar: Yesus Digoda, karya Carl Heinrich Bloch