9 Jun 2020
Selasa dalam Minggu Kesepuluh Masa Biasa
Bacaan Hari Ini
Santo Efrem, Diakon dan Pujangga Gereja—Peringatan Pilihan

“Kamu ialah garam bumi…Kamu ialah terang dunia.” Matius 5:13a &14a
Garam dan terang, itulah kita. Semoga demikian! Pernahkah anda merenungkan apa ertinya menjadi garam atau terang di dunia ini?
Mari kita mulakan dengan gambaran ini. Bayangkan anda memasak sup sayur yang lazat dengan semua ramuan terbaik. Sup itu direneh perlahan-lahan selama berjam-jam dan kuahnya kelihatan sangat menyelerakan. Namun, garam dan rempah-ratus lain sudah habis. Jadi, anda hanya membiarkan sup itu terus mereneh dan berharap hasilnya baik. Setelah sup itu masak sepenuhnya, anda mencicipinya dan berasa kecewa kerana rasanya agak tawar. Maka, anda mencari sehingga menemukan ramuan yang kurang itu, iaitu garam, lalu menambahkannya dalam sukatan yang tepat. Selepas mereneh selama setengah jam lagi, anda mencicipinya dan berasa sangat gembira. Sungguh menakjubkan kesan yang dapat dihasilkan oleh garam!
Atau bayangkan anda berjalan-jalan di dalam hutan lalu tersesat. Ketika anda mencari jalan keluar, matahari terbenam dan hari beransur-ansur menjadi gelap. Langit mendung, jadi bintang dan bulan tidak kelihatan. Kira-kira setengah jam selepas matahari terbenam, anda berada dalam kegelapan sepenuhnya di tengah-tengah hutan. Ketika anda duduk di situ, tiba-tiba anda melihat bulan yang terang muncul di celah-celah awan. Bulan sedang purnama dan awan mendung mula berarak pergi. Tiba-tiba, bulan purnama menyinari jalan anda dengan begitu terang sehingga anda dapat mencari jalan semula di dalam hutan yang gelap itu.
Kedua-dua gambaran ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya sedikit garam dan sedikit cahaya. Sedikit sahaja sudah mengubah segala-galanya!
Begitulah juga dengan kita dalam kehidupan iman kita. Dunia yang kita diami ini gelap dalam begitu banyak hal. “Rasa” kasih dan kerahiman juga amat kurang. Allah memanggil anda untuk menambahkan sedikit rasa itu dan memancarkan sedikit cahaya itu supaya orang lain dapat menemukan jalan mereka.
Seperti bulan, anda bukanlah sumber cahaya. Anda hanya memantulkan cahaya itu. Allah mahu bersinar melalui anda dan Dia mahu anda memantulkan cahaya-Nya. Jika anda terbuka untuk hal ini, Dia akan mengalihkan awan pada waktu yang tepat agar Dia dapat menggunakan anda dengan cara yang telah dipilih-Nya. Tanggungjawab anda hanyalah untuk bersikap terbuka.
Renungkanlah hari ini sejauh mana anda bersikap terbuka. Berdoalah setiap hari agar Allah menggunakan anda selaras dengan tujuan ilahi-Nya. Bukalah diri anda kepada rahmat ilahi-Nya, dan anda akan kagum melihat bagaimana Dia dapat menggunakan perkara-perkara kecil dalam hidup anda untuk membawa perubahan.
Tuhan, aku sungguh ingin digunakan oleh-Mu. Aku ingin menjadi garam dan terang. Aku ingin membawa perubahan di dunia ini. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu untuk berkhidmat kepada-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Hati Yesus Yang Mahakudus
Tarikh novena:10-18 Jun 2020
19 Jun 2020: Hari Raya Hati Yesus Yang Mahakudus
Santo Hari Ini – Santo Efrem, Diakon dan Pujangga Gereja





