10 September 2020
Khamis dalam Minggu Kedua Puluh Tiga Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Kepada kamu yang mendengar, Aku berkata: kasihilah musuh-musuhmu, berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu, berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu.” Lukas 6:27-28
Kata-kata ini jelas lebih mudah diucapkan daripada dilaksanakan. Apabila kita benar-benar berhadapan dengan seseorang yang bertindak dengan penuh kebencian terhadap kita dan menganiaya kita, mengasihi, memberkati dan mendoakannya ialah perkara terakhir yang ingin kita lakukan. Namun, Yesus menyatakan dengan sangat jelas bahawa inilah yang dipanggil untuk kita lakukan.
Apabila kita mengalami penganiayaan secara langsung atau perbuatan jahat terhadap kita, kita mudah berasa terluka. Luka hati ini boleh membawa kita kepada kemarahan, keinginan untuk membalas dendam, malah kebencian. Jika kita menyerah kepada godaan-godaan ini, kita tiba-tiba menjadi sama seperti orang yang telah melukai kita. Malangnya, membenci mereka yang telah melukai kita hanya memburukkan keadaan.
Namun, adalah naif untuk menafikan adanya ketegangan batin yang kita semua hadapi apabila orang lain menyakiti kita, sedangkan Yesus memerintahkan kita untuk membalasnya dengan kasih. Jika kita jujur, kita mesti mengakui ketegangan batin ini. Ketegangan ini timbul apabila kita berusaha menerima dan menghayati perintah untuk mengasihi sepenuhnya meskipun kita berasa terluka dan marah.
Satu perkara yang terserlah melalui ketegangan batin ini ialah Allah menghendaki jauh lebih banyak bagi kita daripada sekadar menjalani kehidupan berdasarkan perasaan kita. Berasa marah atau terluka sama sekali tidak menyenangkan. Malah, perasaan ini boleh menjadi punca banyak kesengsaraan. Namun, tidak semestinya begitu. Jika kita memahami perintah Yesus ini untuk mengasihi musuh-musuh kita, kita akan mula memahami bahawa inilah jalan keluar daripada kesengsaraan itu. Kita akan mula menyedari bahawa membiarkan diri dikuasai perasaan terluka serta membalas kemarahan dengan kemarahan atau kebencian dengan kebencian hanya memperdalam luka itu. Sebaliknya, jika kita dapat mengasihi ketika dianiaya, kita tiba-tiba mendapati bahawa kasih dalam keadaan ini sungguh berkuasa. Kasih ini jauh melampaui apa jua perasaan. Inilah kasih sejati yang dimurnikan dan diberikan secara cuma-cuma sebagai anugerah daripada Allah. Inilah kasih pada tahap yang tertinggi, kasih yang memenuhi diri kita dengan sukacita sejati yang melimpah.
Renungkanlah hari ini segala luka yang anda pendam dalam hati. Ketahuilah bahawa luka-luka ini boleh menjadi sumber kekudusan dan kebahagiaan anda sendiri jika anda membiarkan Allah mengubahnya dan jika anda mengizinkan Allah memenuhi hati anda dengan kasih terhadap setiap orang yang telah menganiaya anda.
Tuhan, aku tahu bahawa aku dipanggil untuk mengasihi musuh-musuhku. Aku tahu bahawa aku dipanggil untuk mengasihi semua orang yang telah menganiaya aku. Bantulah aku menyerahkan kepada-Mu segala perasaan marah atau benci, dan gantikanlah perasaan itu dengan kasih sejati. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Imej: Kemartiran Santa Justina oleh Paolo Veronese





