27 September 2020
Hari Minggu Biasa Kedua Puluh Enam, Tahun A
Bacaan Hari Ini

“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, para pemungut cukai dan pelacur mendahului kamu masuk ke dalam Kerajaan Allah. Apabila Yohanes datang kepadamu dengan menempuh jalan kebenaran, kamu tidak mempercayainya; tetapi para pemungut cukai dan pelacur mempercayainya. Namun, walaupun kamu telah melihat hal itu, kamu tetap tidak mengubah fikiran dan mempercayainya.” Matius 21:31c-32
Kata-kata Yesus ini ditujukan kepada ketua-ketua imam dan para tua-tua bangsa itu. Kata-kata ini sangat berterus terang dan mengecam. Kata-kata ini juga diucapkan untuk menyedarkan hati nurani para pemimpin agama ini.
Para pemimpin agama ini penuh dengan kesombongan dan menganggap diri mereka benar. Mereka berpegang teguh pada pendapat sendiri, sedangkan pendapat mereka salah. Kesombongan mereka menghalang mereka daripada menemukan kebenaran-kebenaran sederhana yang sedang ditemukan oleh para pemungut cukai dan pelacur. Oleh sebab itu, Yesus menegaskan bahawa para pemungut cukai dan pelacur sedang menempuh jalan menuju kekudusan, sedangkan para pemimpin agama ini tidak. Hal ini tentu sukar untuk mereka terima.
Anda tergolong dalam kelompok yang mana? Kadangkala, mereka yang dianggap “beragama” atau “alim” bergelut dengan kesombongan dan sikap suka menghakimi yang serupa dengan sikap ketua-ketua imam dan para tua-tua pada zaman Yesus. Ini ialah dosa yang berbahaya kerana dosa ini menyebabkan seseorang menjadi sangat degil. Itulah sebabnya Yesus begitu berterus terang dan begitu keras. Dia berusaha membebaskan mereka daripada kedegilan dan sikap sombong mereka.
Pengajaran terpenting yang dapat kita ambil daripada petikan ini ialah berusaha memiliki kerendahan hati, keterbukaan dan ketulusan para pemungut cukai dan pelacur. Mereka dipuji oleh Tuhan kita kerana mereka dapat melihat dan menerima kebenaran yang sebenar. Memang benar, mereka orang berdosa, tetapi Allah dapat mengampuni dosa apabila kita menyedari dosa kita. Jika kita tidak mahu melihat dosa kita, maka mustahil rahmat Allah dapat masuk dan menyembuhkan kita.
Renungkanlah hari ini sejauh mana anda terbuka untuk melihat kebenaran Allah dan, khususnya, untuk melihat keadaan diri anda sendiri yang jatuh dan berdosa. Jangan takut untuk merendahkan diri di hadapan Allah dengan mengakui kesalahan dan kegagalan anda. Menghayati kerendahan hati yang sedemikian akan membuka pintu kerahiman Allah bagi anda.
Tuhan, bantulah aku untuk sentiasa merendahkan diri di hadapan-Mu. Apabila kesombongan dan sikap menganggap diri benar menyusup masuk, bantulah aku untuk mendengar kata-kata-Mu yang tegas dan bertaubat daripada sikap degilku. Aku seorang pendosa, ya Tuhan yang kukasihi. Aku memohon kerahiman-Mu yang sempurna. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Hari Keenam: Novena kepada Santa Thérèse dari Lisieux – Si Bunga Kecil
Orang Kudus Hari Ini – Santo Vincent de Paul, Paderi
Tidak dirayakan sebagai peringatan liturgi pada tahun ini kerana jatuh pada hari Ahad
Imej: Wanita yang Ditangkap Berzina, karya Lorenzo Lotto




