11 Oktober 2020
Hari Minggu Biasa Ke-28, Tahun A
Bacaan Hari Ini

“Ada yang tidak mengendahkan undangan itu lalu pergi, seorang ke ladangnya, seorang lagi ke tempat perniagaannya. Yang lain pula menangkap hamba-hambanya, menganiaya mereka dan membunuh mereka.” Matius 22:5-6
Petikan ini diambil daripada Perumpamaan tentang Perjamuan Kahwin. Petikan ini memperlihatkan dua tanggapan yang menyedihkan terhadap Injil. Pertama, ada yang tidak mengendahkan undangan itu. Kedua, ada yang menanggapi pewartaan Injil dengan sikap bermusuhan.
Jika anda memberikan komitmen untuk mewartakan Injil dan telah mengabdikan seluruh jiwa anda kepada misi ini, besar kemungkinan anda akan berhadapan dengan kedua-dua reaksi ini. Raja itu melambangkan Allah, dan kita dipanggil untuk menjadi utusan-Nya. Kita diutus oleh Bapa untuk pergi dan mengumpulkan orang lain ke dalam perjamuan kahwin itu. Inilah misi yang mulia kerana kita diberi keistimewaan untuk mengundang orang memasuki sukacita dan kebahagiaan kekal! Namun, bukannya berasa sangat teruja dengan undangan ini, ramai orang yang kita temui akan bersikap tidak peduli dan meneruskan kegiatan harian mereka tanpa berminat dengan apa yang kita kongsikan dengan mereka. Yang lain pula, khususnya apabila menyentuh pelbagai ajaran moral Injil, akan bertindak balas dengan sikap bermusuhan.
Penolakan terhadap Injil, sama ada melalui sikap tidak peduli ataupun penolakan yang lebih bermusuhan, merupakan tindakan yang amat tidak rasional. Hakikatnya, mesej Injil, yang pada akhirnya merupakan undangan untuk mengambil bahagian dalam Perjamuan Kahwin Allah, ialah undangan untuk menerima kepenuhan hidup. Inilah undangan untuk mengambil bahagian dalam kehidupan Allah sendiri. Betapa besarnya anugerah ini! Namun, ada yang gagal menerima anugerah daripada Allah ini kerana menerimanya bererti menyerahkan diri sepenuhnya kepada fikiran dan kehendak Allah dalam segala hal. Hal ini menuntut kerendahan hati dan kejujuran, pertaubatan serta kehidupan yang tidak mementingkan diri.
Renungkanlah dua perkara hari ini. Pertama, renungkanlah tanggapan anda sendiri terhadap Injil. Adakah anda menanggapi segala yang difirmankan Allah kepada anda dengan penuh keterbukaan dan semangat yang berkobar-kobar? Kedua, renungkanlah cara-cara anda dipanggil oleh Allah untuk membawa mesej-Nya kepada dunia. Berikanlah komitmen untuk melakukannya dengan semangat yang berkobar-kobar, tanpa mengira reaksi orang lain. Jika anda menunaikan kedua-dua tanggungjawab ini, anda dan ramai orang lain akan diberkati untuk mengambil bahagian dalam Perjamuan Kahwin Raja Yang Agung.
Tuhan, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Semoga aku sentiasa terbuka kepada-Mu dalam segala hal, dengan berusaha menerima setiap sabda yang keluar daripada hati-Mu yang penuh kerahiman. Semoga aku juga berusaha agar diriku digunakan oleh-Mu untuk membawa undangan kerahiman-Mu kepada dunia yang memerlukannya. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Oktober ialah bulan Rosari Suci
Orang Kudus Hari Ini – Santo Yohanes XXIII, Paus
Tidak dirayakan sebagai peringatan liturgi pada tahun ini kerana jatuh pada hari Ahad
Imej: Perumpamaan tentang para pembuat wain yang jahat (Oktober) oleh Marten van Valckenborch
BAHARU!
Menyelami Kedalaman
Pengajaran dan Meditasi Ignasian
Disusun Mengikut Tahun Liturgi




