Bahasa Melayu

Garam dan Terang bagi Dunia

8 Jun 2021
Hari Selasa dalam Minggu Biasa Kesepuluh
Bacaan Hari Ini

Video

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Kamu ialah garam bumi. Tetapi jika garam kehilangan rasanya, dengan apakah garam itu dapat dimasinkan lagi? Garam itu tidak berguna lagi selain dibuang dan dipijak orang. Kamu ialah terang dunia…” Matius 5:13–14

Setiap orang Kristian mempunyai dua kewajipan utama dalam hidup. Pertama, kita mesti berusaha untuk mencapai kekudusan peribadi. Kedua, kita mesti berusaha membantu orang lain mencapai tahap kekudusan yang sama. Inilah makna menjadi “garam bumi” dan “terang dunia.”

Renungkanlah tentang garam. Garam ialah bahan pengawet dan juga menambahkan rasa pada makanan. Garam berbuat demikian dengan meresap ke dalam makanan dan, dalam erti tertentu, menghilang. Begitu jugalah seharusnya dengan kita. Pertama, Tuhan kita mesti memasuki hidup kita dan memelihara kita daripada kerosakan akibat dosa. Namun, ketika Dia berbuat demikian, Dia juga akan menyerlahkan kebaikan kita sehingga “cita rasa” kekudusan dapat dirasakan oleh orang lain. Dengan cara ini, kita akan digunakan sebagai garam bagi orang lain. Hal ini berlaku terutamanya melalui karya amal kasih kita.

Santa Thérèse dari Lisieux berkata dalam autobiografinya, “Kini aku melihat bahawa kasih yang sejati bererti bersabar terhadap kesalahan orang di sekeliling kita, tidak pernah terkejut dengan kelemahan mereka, tetapi diteguhkan oleh tanda kebajikan mereka yang sekecil mana pun.” Beliau percaya bahawa inilah cara utama kita menjadi garam dan terang bagi orang lain. Kita membantu memelihara orang lain daripada dosa dengan menunjukkan belas kasihan kepada mereka ketika mereka lemah. Kita memperkaya hidup mereka dengan melihat kebaikan mereka dan bersukacita kerananya. Kita melakukannya secara tersembunyi. Melalui kelemahlembutan dan belas ihsan, kebaikan hati dan belas kasihan kita, kita memelihara orang lain dan membantu mereka bertumbuh dalam rahmat Allah yang berlimpah-limpah. Sering kali, kita melakukannya tanpa mereka menyedari bagaimana Allah telah menggunakan kita.

Renungkanlah juga tentang terang. Dunia tempat kita hidup sering kali begitu gelap dan penuh keputusasaan. Kerosakan moral ada di sekeliling kita dan godaan berleluasa. Oleh itu, terang Kristus mesti dinyatakan ke serata tempat. Orang di sekeliling kita perlu melihat dengan jelas jalan menuju kekudusan dan kebahagiaan. Sekali lagi, hal ini mungkin berlaku jika kita terlebih dahulu berusaha untuk menjadi terang itu sendiri. Kristus, Terang Dunia yang sejati, mesti meresapi hidup kita sedemikian rupa sehingga kita hampir secara spontan bersinar terang dalam dunia yang telah jatuh ke dalam dosa. Apabila Kristus hidup dalam diri kita, kita akan memancarkan sukacita dan damai, ketenangan dan keyakinan yang teguh, kebaikan moral dan keazaman. Apabila kita hidup demikian, kita tidak perlu “memaksakan” Injil kepada orang lain; sebaliknya, terang Allah akan bersinar dengan sendirinya dan menjadi suar harapan bagi mereka yang hadir bersama kita.

Renungkanlah hari ini kedua-dua misi dalam hidup ini. Pertama, renungkan panggilanmu kepada kekudusan. Bagaimanakah Allah mahu membawa terang ke dalam hidupmu sendiri, memeliharamu daripada segala dosa dan menambahkan cita rasa rohani untuk menjalani hidup yang kudus? Kedua, siapakah yang Allah mahu engkau kasihi dengan kasih-Nya? Siapakah yang memerlukan harapan dan sukacita, belas kasihan dan kebaikan hati, kata-kata hikmat dan dorongan? Jadilah kudus, kemudian biarkan kekudusan itu bersinar kepada orang lain, maka sesungguhnya engkau akan menjadi garam bumi dan terang dunia.

Yesusku, Terang Dunia yang sejati, bersinarlah dengan terang dalam hidupku supaya aku dapat melihat dengan jelas dan dipelihara daripada kegelapan dosa. Ketika Engkau memenuhi diriku dengan terang-Mu, gunakanlah aku sebagai alat kasih dan kerahiman-Mu bagi dunia yang penuh dengan kekacauan dan kekeliruan. Halaulah kegelapan, ya Tuhan yang terkasih, dan gunakanlah aku sebagai alat-Mu menurut kehendak-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Novena kepada Hati Yesus yang Mahakudus
Tarikh novena: 2-10 Jun 2021
11 Jun 2021: Hari Raya Hati Yesus yang Mahakudus

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Flicker