Bahasa Melayu

Mengampuni dan Diampuni

22 Mac 2022
Hari Selasa dalam Minggu Ketiga Prapaskah
Bacaan Hari Ini

Video

Hamba itu sujud menyembah tuannya dan berkata, “Bersabarlah dengan saya, dan saya akan membayar semuanya kembali kepada tuan.” Tergerak oleh belas kasihan, tuan hamba itu membiarkannya pergi dan menghapuskan hutangnya.  Matius 18:26–27

Ini ialah kisah tentang memberi dan menerima pengampunan.  Menariknya, mengampuni selalunya lebih mudah daripada memohon pengampunan.  Memohon pengampunan dengan ikhlas menuntut anda mengakui dosa anda dengan jujur, dan hal ini sukar dilakukan.  Memang sukar untuk bertanggungjawab atas kesalahan yang telah kita lakukan.

Dalam perumpamaan ini, orang yang meminta agar tuannya bersabar berhubung hutangnya kelihatan ikhlas.  Dia “sujud” di hadapan tuannya sambil memohon belas kasihan dan kesabaran.  Tuannya pula membalas dengan belas kasihan dengan menghapuskan seluruh hutangnya, malah melebihi apa yang diminta oleh hamba itu.

Tetapi adakah hamba itu benar-benar ikhlas, atau adakah dia hanya pandai berlakon?  Nampaknya dia hanya pandai berlakon kerana sebaik sahaja hutangnya yang begitu besar itu dihapuskan, dia terserempak dengan seseorang yang berhutang kepadanya. Namun, bukannya memberikan pengampunan yang sama seperti yang telah diterimanya, “Dia menangkap dan mula mencekik orang itu sambil mendesak, ‘Bayar balik hutangmu.’”  

Pengampunan, jika benar-benar tulus, mesti mempengaruhi seluruh diri kita.  Pengampunan ialah sesuatu yang mesti kita mohon, berikan, terima, dan berikan lagi.  Berikut ialah beberapa perkara untuk anda pertimbangkan:

  • Dapatkah anda melihat dosa anda dengan jujur, menyesali dosa itu, dan berkata, “Saya minta maaf” kepada orang lain?
  • Apabila anda diampuni, apakah kesannya terhadap diri anda?  Adakah hal itu menjadikan anda lebih berbelas kasihan terhadap orang lain?
  • Dapatkah anda pula memberikan pengampunan dan belas kasihan yang sama besarnya seperti yang anda harapkan daripada Allah dan orang lain?

Jika anda tidak dapat menjawab “Ya” kepada semua soalan ini, maka kisah ini ditulis untuk anda.  Kisah ini ditulis untuk membantu anda semakin bertumbuh dalam kurnia belas kasihan dan pengampunan.  Soalan-soalan ini sukar dihadapi, tetapi kita perlu menghadapinya jika kita mahu dibebaskan daripada beban kemarahan dan rasa terkilan yang terpendam.  Kemarahan dan rasa terkilan yang terpendam amat membebankan kita, dan Allah mahu kita dibebaskan daripadanya.

Renungkanlah soalan-soalan di atas hari ini, dan periksalah tindakan anda dalam doa.  Jika anda mendapati diri anda enggan berhadapan dengan mana-mana soalan ini, tumpukan perhatian pada perkara yang menyentuh hati anda, bawalah perkara itu dalam doa, dan biarlah rahmat Allah masuk untuk membawa pertobatan yang lebih mendalam dalam aspek kehidupan anda itu.

Tuhan yang maharahim, aku sungguh mengakui dosaku.  Namun, aku mengakuinya dalam terang rahmat dan kerahiman-Mu yang melimpah.  Ketika aku menerima kerahiman itu dalam hidupku, jadikanlah aku juga penuh belas kasihan terhadap orang lain.  Bantulah aku untuk mengampuni dengan rela dan sepenuhnya, tanpa menahan apa-apa pun.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

40 Hari di Kaki Salib:
Tatapan Kasih dari Hati Bonda Kita yang Terberkati
Renungan Kelapan Belas – “Inilah Tubuh-Ku…Inilah Darah-Ku”
(Selasa dalam Minggu Ketiga Prapaskah)

Doa Penyerahan Rusia dan Ukraine kepada Hati Tak Bernoda

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Sumber untuk Masa Prapaskah

Renungan Kitab Suci untuk Masa Prapaskah

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Perumpamaan Hamba yang Tidak Berbelas Kasihan oleh Jan van Hemessen, melalui Wikimedia Commons