Bahasa Melayu

Bersikap Jujur

11 Jun 2022
Sabtu dalam Minggu Kesepuluh Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Santo Barnabas, Rasul—Peringatan

Video

“Hendaklah ‘Ya’ kamu bererti ‘Ya,’ dan ‘Tidak’ kamu bererti ‘Tidak.’  Apa-apa yang lebih daripada itu berasal daripada Si Jahat.”  Matius 5:37

Kata-kata ini menarik.  Pada mulanya, pernyataan bahawa “Apa-apa yang lain berasal daripada Si Jahat” kelihatan agak keterlaluan.  Namun, sudah tentu, oleh sebab ini ialah kata-kata Yesus, kata-kata ini mengandungi kebenaran yang sempurna.  Jadi, apakah yang dimaksudkan oleh Yesus?

Kata-kata Yesus ini disampaikan dalam konteks ajaran-Nya kepada kita tentang aspek moral mengangkat sumpah.  Pada dasarnya, ajaran ini menjelaskan prinsip asas “berkata benar” yang terkandung dalam Perintah Kelapan.  Yesus menyuruh kita bersikap jujur, mengatakan apa yang kita maksudkan dan benar-benar memaksudkan apa yang kita katakan.

Salah satu sebab Yesus membangkitkan perkara ini dalam konteks ajaran-Nya tentang mengangkat sumpah ialah bahawa sumpah yang khidmat sepatutnya tidak diperlukan dalam perbualan harian kita yang biasa.  Memang ada sumpah yang bersifat khidmat, seperti janji Perkahwinan atau kaul dan janji yang diikrarkan dengan khidmat oleh para paderi dan anggota hidup bakti.  Malah, dalam setiap Sakramen, ada suatu bentuk janji khidmat yang diikrarkan.  Namun, janji-janji ini lebih merupakan ungkapan iman secara terbuka daripada suatu cara untuk memastikan orang bertanggungjawab atas kata-kata mereka.  

Hakikatnya, Perintah Kelapan, yang menyeru kita menjadi orang yang jujur dan berintegriti, sepatutnya memadai dalam segala kegiatan harian.  Kita tidak perlu “bersumpah demi Allah” tentang perkara ini atau itu.  Kita tidak sepatutnya berasa perlu meyakinkan orang lain bahawa kita sedang berkata benar dalam sesuatu keadaan.  Sebaliknya, jika kita orang yang jujur dan berintegriti, kata-kata kita sudah memadai, dan apa yang kita katakan akan diterima sebagai benar semata-mata kerana kitalah yang mengatakannya.

Renungkanlah hari ini sejauh mana anda bersikap jujur dalam segala bidang kehidupan.  Sudahkah anda membina kebiasaan berkata benar dalam hal-hal besar mahupun kecil dalam kehidupan?  Adakah orang lain mengenali sifat ini dalam diri anda?  Berkata benar dan menjadi orang yang berpegang pada kebenaran merupakan cara mewartakan Injil melalui tindakan kita.  Bertekadlah untuk bersikap jujur hari ini, dan Tuhan akan melakukan perkara-perkara besar melalui kata-kata yang anda ucapkan.

Tuhan, sumber kebenaran, bantulah aku menjadi seorang yang jujur dan berintegriti.  Aku menyesal kerana ada kalanya aku telah memutarbelitkan kebenaran, memperdaya secara halus, dan berbohong secara terang-terangan.  Bantulah aku agar “Ya” yang kuucapkan sentiasa selaras dengan kehendak-Mu yang maha kudus, dan bantulah aku agar sentiasa berpaling daripada jalan yang sesat.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Santo/Santa Hari Ini – Santo Barnabas, Rasul

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Khutbah di Bukit di Black Forest oleh Rudolf Yelin, melalui Wikimedia Commons