Bahasa Melayu

Buah Kebencian yang Menyedihkan

30 Julai 2022
Sabtu dalam Minggu Biasa Ketujuh Belas
Bacaan Hari Ini

Santo Petrus Krisologus, Uskup dan Pujangga Gereja—Peringatan Pilihan

Video

“Berikanlah kepadaku di sini kepala Yohanes Pembaptis di atas sebuah talam.”  Matius 14:8

Sungguh hari yang buruk, kalau hendak dikatakan secara sederhana.  Santo Yohanes Pembaptis dipenggal kepalanya atas permintaan Salome, anak perempuan Herodias.  Yohanes dipenjarakan kerana menyatakan kebenaran kepada Herodes tentang perkahwinannya, dan Herodias dipenuhi kebencian terhadap Yohanes.  Maka Herodias menyuruh anak perempuannya menari di hadapan Herodes dan para tetamunya.  Herodes begitu terpesona sehingga dia berjanji untuk memberikan kepada Salome sehingga separuh daripada kerajaannya.  Namun, Salome sebaliknya meminta kepala Yohanes Pembaptis.

Walaupun dilihat secara sepintas lalu, permintaan ini sungguh aneh.  Salome dijanjikan sehingga separuh daripada kerajaan itu, tetapi sebaliknya dia meminta kematian seorang yang baik dan suci.  Malah, Yesus berkata tentang Yohanes bahawa antara mereka yang dilahirkan oleh wanita, tiada seorang pun yang lebih besar daripadanya.  Jadi, mengapakah Herodias dan anak perempuannya begitu membencinya?

Peristiwa yang menyedihkan ini menggambarkan kuasa kemarahan dalam bentuknya yang paling melampau.  Apabila kemarahan terpendam dan semakin membara, ia membangkitkan gejolak perasaan yang begitu kuat sehingga mengaburi pemikiran dan pertimbangan seseorang.  Kebencian dan dendam boleh menguasai seseorang sepenuhnya dan membawanya kepada kebodohan yang melampau. 

Herodes juga memperlihatkan sikap yang amat tidak rasional di sini.  Dia tertekan untuk melakukan sesuatu yang tidak mahu dilakukannya kerana dia takut melakukan perkara yang benar.  Dia dikuasai oleh kebencian yang ada dalam hati Herodias dan, akibatnya, mengalah lalu membenarkan hukuman mati dilaksanakan terhadap Yohanes, yang sebenarnya kelihatan disenanginya dan yang kata-katanya suka didengarinya.

Biasanya kita mencari inspirasi daripada teladan baik orang lain.  Namun, dalam hal ini, kita mendapati bahawa kita boleh mendapat “inspirasi” dengan cara yang berbeza.  Kita patut menjadikan peristiwa hukuman mati Yohanes sebagai peluang untuk meneliti pergumulan kita dengan kemarahan, rasa sakit hati dan khususnya kebencian.  Kebencian ialah gejolak perasaan yang buruk, yang boleh menyelinap masuk dan menyebabkan banyak kemusnahan dalam hidup kita dan hidup orang lain.  Bahkan bibit-bibit gejolak perasaan yang tidak teratur ini pun patut diakui dalam pengakuan dosa dan diatasi.

Renungkanlah hari ini sama ada anda melihat sebarang kebencian dalam hati anda.  Adakah anda masih menyimpan dendam atau kepahitan hati yang tidak kunjung reda?  Adakah perasaan itu semakin membesar dan merosakkan hidup anda serta hidup orang lain?  Jika demikian, bertekadlah untuk melepaskannya dan mengampuni.  Itulah perkara yang benar untuk dilakukan.

Tuhanku yang membebaskan, berilah aku rahmat yang kuperlukan untuk meneliti hatiku dan melihat segala kecenderungan kepada kemarahan, dendam dan kebencian.  Sucikanlah aku daripada semua ini dan bebaskanlah aku.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Bermula Ahad, 31 Julai:

Masa Biasa: Minggu 18-34

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Orang Kudus Hari Ini: Santo Petrus Krisologus

Pilihan Bacaan Misa Kudus

Imej Pilihan: Caravaggio, Domain awam, melalui Wikimedia Commons