Bahasa Melayu

Yesus Sentiasa Ada

1 Ogos 2022
Isnin Minggu Kelapan Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Santo Alfonsus Maria de Liguori, Uskup dan Pujangga Gereja—Peringatan

Video

Apabila Yesus mendengar tentang kematian Yohanes Pembaptis, Dia berundur dengan menaiki perahu ke suatu tempat yang sunyi untuk bersendirian. Orang ramai mendengar hal itu lalu mengikuti-Nya dengan berjalan kaki dari kota-kota mereka. Ketika Dia turun dari perahu dan melihat orang ramai yang begitu banyak, hati-Nya tergerak oleh belas kasihan terhadap mereka, lalu Dia menyembuhkan mereka yang sakit.  Matius 14:13-14

Dari sudut kemanusiaan, hati Yesus berdukacita atas kematian Yohanes Pembaptis.  Dia mengasihi Yohanes dan amat sedih kerana Yohanes telah dipenggal kepalanya.  Maka, Dia mengundurkan diri dengan menaiki sebuah perahu ke tempat yang sunyi untuk bersendirian.  Namun, orang ramai masih dahagakan lebih banyak lagi!  Mereka mahu melihat Yesus dan mendengarkan-Nya.  Mereka mengenali ramai orang yang sakit dan mahu Yesus menyembuhkan mereka.  Maka, mereka mencari-Nya walaupun Dia telah mengundurkan diri daripada orang ramai untuk bersendirian.

Apakah reaksi Yesus?  Adakah Dia memandang mereka lalu mengeluh sambil berkata dalam hati, “Mengapakah mereka tidak membiarkan Aku bersendirian?  Tidakkah mereka tahu bahawa Aku sedang berdukacita?”  Tidak.  Sebaliknya, Yesus dipenuhi kerahiman dan belas kasihan terhadap mereka, lalu Dia pergi kepada mereka untuk menyembuhkan ramai orang sakit dalam kalangan mereka.

Hal ini memberi kita gambaran tentang hati dan belas kasihan Tuhan kita.  Sering kali, kita takut untuk datang kepada Allah.  Kita takut untuk berpaling kepada-Nya kerana dosa kita.  Kita takut akan apa yang akan difikirkan-Nya dan dikatakan-Nya kepada kita.  Kita berasa bersalah dan malu, lalu tidak mencari-Nya.

Namun, sebagaimana Yesus berbelas kasihan terhadap mereka yang mencari-Nya dalam kisah ini, demikian juga Dia SENTIASA menaruh belas kasihan yang amat mendalam terhadap kita setiap kali kita mencari-Nya.  Jika kita mendapati hidup kita bergelumang dengan dosa, namun tetap berlari kepada-Nya, Dia akan memandang kita dengan belas kasihan dan kerahiman.  Dia tidak pernah jemu apabila kita kembali kepada-Nya untuk memohon penyembuhan dan kerahiman-Nya.  Kita hendaklah sentiasa berharap kepada-Nya dan berpaling kepada-Nya dengan penuh keyakinan.

Renungkanlah hari ini sejauh mana anda berasa selesa untuk berpaling kepada Yesus dalam keadaan diri anda seadanya.  Adakah anda takut atau bimbang tentang pandangan-Nya terhadap anda?  Adakah anda malu akan dosa atau kelemahan anda?  Adakah anda bimbang bahawa Dia akan menghakimi anda dan tidak mempedulikan anda?  Yakinlah akan kerahiman-Nya yang melimpah dan berlarilah kepada-Nya tanpa rasa takut.

Tuhanku yang penuh belas kasihan, bantulah aku untuk percaya akan kasih dan belas kasihan-Mu.  Bantulah aku untuk mengetahui bahawa Engkau sentiasa merindukan kedatanganku kepada-Mu.  Sebagaimana Engkau tidak pernah jemu menerima kedatanganku kepada-Mu, semoga aku juga tidak pernah jemu datang kepada-Mu.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Masa Biasa: Minggu 18-34

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Santo Hari Ini: Santo Alfonsus Maria de Liguori, Uskup dan Pujangga Gereja

Pilihan Bacaan Misa Kudus

Imej Pilihan: Yesus Pergi ke Tempat yang Sunyi oleh James Tissot, melalui Wikimedia Commons