Rabu, 24 Ogos 2022
Pesta Santo Bartolomeus, Rasul

Yesus melihat Natanael datang kepada-Nya lalu berkata tentang dia, “Inilah seorang Israel sejati. Dia tidak bermuka dua.” Natanael berkata kepada-Nya, “Bagaimanakah Engkau mengenal aku?” Yesus menjawabnya, “Sebelum Filipus memanggil engkau, Aku telah melihat engkau di bawah pokok ara.” Natanael menjawab-Nya, “Rabi, Engkaulah Putera Allah; Engkaulah Raja Israel.” Yohanes 1:47-49
Apabila pertama kali membaca petikan ini, anda mungkin berasa perlu kembali membacanya sekali lagi. Mudah sahaja untuk membacanya lalu menyangka bahawa anda telah terlepas sesuatu. Bagaimanakah Yesus hanya memberitahu Natanael (yang juga disebut Bartolomeus) bahawa Dia melihatnya duduk di bawah pokok ara, dan itu sudah cukup untuk membuat Natanael menjawab, “Rabi, Engkaulah Putera Allah; Engkaulah Raja Israel.” Kita mudah berasa bingung tentang bagaimana Natanael dapat membuat kesimpulan sedemikian daripada kata-kata Yesus tentang dirinya.
Tetapi perhatikan bagaimana Yesus menggambarkan Natanael. Dia seorang yang “tidak bermuka dua.” Terjemahan lain menyatakan bahawa dia “tidak mempunyai tipu muslihat.” Jadi, apakah maksudnya?
Jika seseorang mempunyai sikap bermuka dua atau tipu muslihat, ini bererti dia tidak jujur dan licik. Dia mahir memperdaya orang. Sifat ini berbahaya dan membawa maut. Namun, apabila kita menyatakan yang sebaliknya, bahawa seseorang itu “tidak bermuka dua” atau “tidak mempunyai tipu muslihat,” kita sedang mengatakan bahawa dia jujur, berterus terang, ikhlas, terbuka dan tulen.
Bagi Natanael pula, dia seorang yang menyatakan fikirannya dengan bebas. Dalam hal ini, bukanlah kerana Yesus mengemukakan suatu hujah intelektual yang meyakinkan tentang keilahian-Nya; Dia langsung tidak berkata apa-apa tentang hal itu. Sebaliknya, kebajikan Natanael yang tidak bermuka dua itulah yang membolehkannya memandang Yesus dan menyedari bahawa Dia benar-benar “sejati.” Kebiasaan baik Natanael untuk bersikap jujur, ikhlas dan terbuka bukan sahaja membolehkannya menyatakan siapa Yesus, tetapi juga membolehkannya melihat orang lain dengan lebih jelas dan jujur. Sifat ini amat bermanfaat baginya ketika dia melihat Yesus buat kali pertama dan dapat segera memahami keagungan diri-Nya.
Renungkanlah hari ini sejauh mana anda bebas daripada tipu muslihat dan sikap bermuka dua. Adakah anda juga seorang yang benar-benar jujur, ikhlas dan terbuka? Adakah anda benar-benar tulus? Hidup sedemikian ialah satu-satunya cara hidup yang baik. Itulah kehidupan yang dijalani dalam kebenaran. Berdoalah agar Allah membantu anda bertumbuh dalam kebajikan ini pada hari ini melalui perantaraan Santo Bartolomeus.
Tuhan, bantulah aku agar bebas daripada sikap bermuka dua dan tipu daya. Bantulah aku menjadi seorang yang jujur, berintegriti dan tulus. Terima kasih atas teladan yang ditunjukkan oleh Santo Bartolomeus. Kurniakanlah kepadaku rahmat yang kuperlukan untuk meneladani keutamaannya. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Santa Monika
18–26 Ogos
Orang Kudus Hari Ini – Santo Bartolomeus, Rasul
Imej Pilihan: Natanael di Bawah Pokok Ara oleh James Tissot, melalui Brooklyn Museum




