Bahasa Melayu

Sikap Terlalu Yakin

26 Oktober 2022
Hari Rabu dalam Minggu Biasa Ketiga Puluh
Bacaan Hari Ini

Video

“Kemudian Dia akan berkata kepadamu, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.  Pergilah daripada-Ku, kamu semua yang melakukan kejahatan!’”  Lukas 13:27

Yesus menjelaskan bahawa ada orang yang akan datang kepada-Nya dengan menganggap bahawa mereka pasti akan masuk ke Syurga, tetapi anggapan mereka itu akan disambut dengan kata-kata yang menggentarkan ini: “Aku tidak tahu dari mana kamu datang.  Pergilah dari hadapan-Ku.”  

Sikap terlalu yakin ialah dosa yang berbahaya.  Sikap ini berbahaya atas dua sebab.  Pertama, apabila seseorang terlalu yakin, dia hidup dalam penyangkalan terhadap kebenaran.  Dalam hubungannya dengan Allah, sikap terlalu yakin bererti seseorang bertindak seolah-olah dia mempunyai hubungan dengan Allah, sedangkan sebenarnya tidak.  Dia mungkin mengucapkan kata-kata yang suci, bertindak seolah-olah dirinya suci, malah percaya bahawa dirinya suci, sedangkan pada hakikatnya dia langsung tidak mengenal Tuhan kita.  Oleh itu, sikap terlalu yakin wujud apabila seseorang hidup dalam penyangkalan terhadap kebenaran.

Kedua, sikap terlalu yakin berbahaya kerana orang yang bersikap demikian tidak akan bertaubat daripada dosanya sendiri. Hal ini kerana penyangkalannya menyebabkan dia tidak dapat mengakui dosanya.  Tanpa mengakui dosanya, dia seterusnya tidak dapat mengakui bahawa dia perlu berubah.  Dia terus tenggelam dalam pemikirannya yang salah dan dalam dosanya.

Yesus menyampaikan ajaran ini bukan untuk menunjukkan bahawa Dia bersikap keras terhadap mereka yang terlalu yakin akan keselamatan diri mereka; sebaliknya, Dia menyampaikannya sebagai tindakan yang penuh kerahiman bagi mereka yang terperangkap dalam dosa ini.  Pendedahan yang mengejutkan ini diperlukan untuk menyentak seseorang agar terlepas daripada dosa ini.  Dalam hal ini, ketakutan bahawa suatu hari nanti mereka akan mendengar kata-kata ini daripada Yesus akan membantu mereka yang terperangkap dalam sikap terlalu yakin itu untuk membebaskan diri dan menghadapi kebenaran.  

Renungkanlah hari ini apa-apa cara anda tidak bersikap jujur terhadap diri sendiri atau orang lain.  Biarlah kejutan apabila menyedari kesudahan akhir segala sikap terlalu yakin dalam hidup anda menyentak anda sehingga bebas daripada dosa ini, supaya anda dapat merendahkan diri di hadapan Allah sekarang, sebelum terlambat.  Ingatlah betapa mendalamnya kasih Tuhan kita kepada anda, dan biarlah kasih itu membantu anda menghadapi kehidupan anda dengan kejujuran dan integriti.

Tuhanku yang penuh kasih, aku sangat mengasihi-Mu dan berdoa agar kasihku sentiasa jujur, tulus dan utuh.  Bantulah aku melihat apa-apa sahaja dalam hidupku yang menunjukkan kegagalanku untuk mengasihi-Mu dengan sepenuh hati.  Aku menyerahkan hidupku kepada-Mu, ya Tuhan yang kukasihi, tanpa sebarang batasan.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Novena kepada Santo Yudas
Untuk Situasi Genting dan Kes yang Amat Sukar
Didoakan pada bila-bila masa sepanjang tahun, khususnya 19–27 Oktober

Dokumentari tentang Santa Ibu Teresa—2&3 November!

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej Pilihan: Pengadilan Kristus oleh Antoine Wiertz, melalui Wikimedia Commons