27 Oktober 2022
Khamis dalam Minggu Ketiga Puluh Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan berkata, “Pergilah, tinggalkan kawasan ini kerana Herodes mahu membunuh Engkau.” Dia menjawab, “Pergilah dan beritahu rubah itu, ‘Lihatlah, Aku mengusir roh-roh jahat dan menyembuhkan orang pada hari ini dan esok, dan pada hari ketiga Aku menyempurnakan tujuan-Ku.’“ Lukas 13:31-32
Sungguh menarik perbualan antara Yesus dengan beberapa orang Farisi ini. Menarik untuk kita meneliti tindakan orang Farisi itu dan juga tindakan Yesus.
Kita mungkin bertanya mengapa orang Farisi bercakap kepada Yesus dengan cara ini, dengan memberikan amaran kepada-Nya tentang niat Herodes. Adakah mereka bimbang tentang Yesus dan oleh itu cuba membantu-Nya? Barangkali tidak. Sebaliknya, kita tahu bahawa kebanyakan orang Farisi cemburu dan iri hati terhadap Yesus. Dalam hal ini, nampaknya mereka memberikan amaran kepada Yesus tentang kemurkaan Herodes sebagai cara untuk menggertak-Nya supaya meninggalkan daerah mereka. Sudah tentu, Yesus tidak gentar.
Kadangkala kita mengalami perkara yang sama. Ada kalanya seseorang datang dan memberitahu kita tentang gosip mengenai diri kita dengan berselindung di sebalik niat untuk membantu, padahal sebenarnya itu ialah cara halus untuk menggertak kita supaya hati kita dipenuhi ketakutan atau kebimbangan.
Kuncinya ialah memberikan tindak balas hanya seperti yang dilakukan oleh Yesus ketika berhadapan dengan kebodohan dan niat jahat. Yesus tidak tunduk kepada gertakan itu. Dia langsung tidak terganggu oleh niat jahat Herodes. Sebaliknya, melalui jawapan-Nya, Dia seolah-olah berkata kepada orang Farisi, “Jangan buang masa kamu untuk cuba memenuhi hati-Ku dengan ketakutan atau kebimbangan. Aku sedang melakukan pekerjaan Bapa-Ku dan itulah satu-satunya perkara yang patut menjadi perhatian-Ku.”
Apakah yang mengganggu anda dalam hidup? Apakah yang membuat anda berasa gentar? Adakah anda membiarkan pendapat, niat jahat atau gosip orang lain melemahkan semangat anda? Satu-satunya perkara yang patut menjadi perhatian kita ialah melaksanakan kehendak Bapa di Syurga. Apabila kita melaksanakan kehendak-Nya dengan penuh keyakinan, kita juga akan memiliki kebijaksanaan dan keberanian yang diperlukan untuk menolak segala tipu daya dan gertakan yang tidak masuk akal dalam hidup kita.
Renungkanlah hari ini komitmen anda sendiri terhadap kehendak Bapa dalam hidup anda. Adakah anda sedang melaksanakan kehendak-Nya? Jika ya, adakah anda mendapati bahawa ada orang yang datang dan cuba menghalang anda? Berusahalah untuk memiliki keyakinan yang sama seperti Yesus dan teruslah menumpukan perhatian pada misi yang diberikan Allah kepada anda.
Tuhan, aku sungguh menaruh kepercayaan pada kehendak ilahi-Mu. Aku menaruh kepercayaan pada rancangan yang telah Engkau sediakan bagiku dan tidak mahu dipengaruhi atau ditakut-takutkan oleh kebodohan dan niat jahat orang lain. Berilah aku keberanian dan kebijaksanaan agar aku sentiasa menumpukan pandanganku kepada-Mu dalam segala hal. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Novena kepada Santo Yudas
Untuk Situasi Genting dan Kes yang Amat Sukar
Didoakan pada bila-bila masa sepanjang tahun, khususnya 19–27 Oktober
Filem dokumentari tentang Santa Bonda Teresa—2&3 November!
Baharu untuk Adven dan Krismas!





