Bahasa Melayu

Panggilan Kerasulan Anda

Rabu, 22 November 2023

Peringatan Santa Sesilia, Perawan dan Martir

Bacaan Hari Ini
Bacaan untuk Hari Rabu dalam Minggu Ketiga Puluh Tiga Masa Biasa

Video

“Seorang bangsawan pergi ke negeri yang jauh untuk menerima kuasa sebagai raja, lalu kembali. Dia memanggil sepuluh orang hambanya dan memberikan sepuluh keping syiling emas kepada mereka serta berkata, ‘Berniagalah dengan wang ini sehingga aku kembali.’ Namun, rakyat senegerinya membencinya dan menghantar satu rombongan menyusulinya untuk menyatakan, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’” Lukas 19:12–14

Terdapat tiga golongan orang dalam perumpamaan ini. Golongan pertama merangkumi mereka yang menerima sekeping syiling emas dan menuruti permintaan tuannya untuk “berniaga” sehingga dia kembali. Golongan kedua terdiri daripada mereka yang menerima perintah yang sama tetapi malas dan gagal menghasilkan buah yang baik daripada apa yang telah diberikan oleh Tuhan kita kepada mereka. Golongan ketiga pula merangkumi mereka yang “membenci” Tuhan kita dan tidak mahu Dia menjadi Raja mereka.

Apabila raja itu kembali, golongan pertama ini diwakili oleh dua orang hamba yang mengambil syiling emas itu, berniaga, lalu memperoleh lima dan sepuluh keping lagi. Mereka inilah orang yang mempunyai semangat kerasulan yang berkobar-kobar. Allah bukan sahaja memanggil kita untuk menggunakan kurnia yang telah kita terima bagi memperluas Kerajaan-Nya di bumi, malah Dia juga mengharapkan kita berbuat demikian. Apa yang diharapkan-Nya itu ialah suatu perintah kasih. Bagi mereka yang memahami perintah ini, mereka melihatnya sebagai undangan mulia untuk membawa perubahan yang berkekalan dalam kehidupan ramai orang. Mereka tidak melihat karya kerasulan yang menjadi panggilan mereka sebagai suatu beban. Sebaliknya, mereka melihatnya sebagai suatu sukacita, dan sukacita itu menyemarakkan usaha mereka. Hasilnya akan membawa kesan yang berlipat ganda bagi Kerajaan Allah.

Golongan kedua digambarkan oleh seorang hamba yang menyimpan sekeping syiling emas itu “di dalam sapu tangan” kerana takut. Mereka inilah orang yang mengelak daripada mewartakan Injil dan memajukan Kerajaan Allah kerana takut. Ketakutan melumpuhkan. Namun, menyerah kepada ketakutan ialah dosa. Hal itu menunjukkan kurangnya iman dan kepercayaan kepada Allah. Melayani Allah pasti menuntut keberanian daripada kita. Hal itu akan menuntut kita keluar dari zon selesa dan melakukan perkara yang mungkin pada mulanya membuat kita berasa kurang selesa. Namun, sebagaimana yang dikatakan terlebih dahulu oleh hamba dalam perumpamaan itu, Allah ialah Allah yang banyak menuntut. Dia tidak akan menerima ketakutan sebagai alasan yang munasabah untuk tidak membantu membina Kerajaan Allah dengan penuh semangat.

Golongan ketiga ialah golongan yang sudah pasti anda tidak mahu tergolong di dalamnya. Mereka inilah orang yang secara aktif berusaha menggugat pemerintahan Allah sebagai Raja dan menolak-Nya sebagai Allah. Dunia ini dipenuhi dengan orang seperti ini. Satu-satunya perkara yang perlu kita katakan tentang mereka yang tergolong dalam golongan ini ialah apa yang dikatakan oleh Tuhan kita tentang mereka. “Adapun musuh-musuhku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka, bawalah mereka ke sini dan bunuhlah mereka di hadapanku.”

Renungkanlah hari ini, golongan manakah yang paling mencerminkan kehidupan anda. Kemungkinan besar anda tergolong dalam salah satu daripada dua golongan pertama. Adakah anda mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk Kerajaan Allah? Adakah anda sanggup melakukan segala yang terdaya untuk membantu membina Kerajaan-Nya? Adakah anda sanggup berbuat demikian walaupun terpaksa melakukan pengorbanan peribadi yang besar? Jika ya, bersukacitalah dan ketahuilah bahawa ganjaran yang berlimpah-limpah sedang menanti. Namun, jika anda bergelut dengan ketakutan, khususnya jika anda takut untuk mewartakan dan berkongsi Injil serta menghayati iman anda secara terbuka dengan rendah hati dan kasih, luangkanlah lebih banyak masa untuk merenungkan perumpamaan ini dan nasib hamba yang menyembunyikan syiling itu di dalam sapu tangan. Libatkanlah diri dalam karya kerasulan. Berikanlah komitmen anda untuk memajukan Kerajaan Allah. Singkirkanlah segala ketakutan dan ketahuilah bahawa anda tidak akan pernah menyesal mencurahkan segenap hati dan jiwa untuk melayani Allah dan membina Kerajaan-Nya.

Tuhanku yang banyak menuntut, Engkau telah mengamanahkan banyak perkara kepadaku, dan Engkau menuntut agar aku menggunakan segala yang telah Engkau berikan kepadaku untuk membantu membina Kerajaan rahmat-Mu. Betapa besarnya keistimewaan untuk dipanggil oleh-Mu dan digunakan oleh-Mu bagi misi kerasulan ini. Bebaskanlah aku daripada segala ketakutan, ya Tuhan yang kukasihi, agar aku tidak akan teragak-agak untuk melayani-Mu dengan cara yang Engkau panggil aku untuk melayani. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Novena kepada Kristus Raja
17–25 November 2023

Doa untuk Kedamaian

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Semua Orang Kudus/Perayaan

Orang Kudus Hari Ini – Santa Sesilia, Perawan dan Martir

Pilihan Bacaan Misa

Gambar utama di atas: Lukisan oleh Willem de Poorter bertajuk Perumpamaan tentang Talenta atau Mina, melalui Wikimedia Commons