24 Mac 2024
Hari Minggu Palma Mengenangkan Sengsara Tuhan (Tahun B)

Mereka yang berjalan di hadapan-Nya dan juga mereka yang mengikut-Nya terus berseru: “Hosana! Diberkatilah Dia yang datang dalam nama Tuhan! Diberkatilah kerajaan bapa kita Daud yang akan datang! Hosana di tempat yang mahatinggi!” Markus 11:9–10
Sepanjang hidup-Nya, Yesus berkali-kali pergi ke Yerusalem. Ketika masih kecil, Dia dipersembahkan di Bait Allah. Pada usia dua belas tahun, Dia didapati sedang mengajar para guru Taurat di Bait Allah. Apabila semakin dewasa, Dia kerap berziarah ke Bait Allah. Sewaktu Dia dicobai di padang gurun, Iblis membawa-Nya ke puncak Bait Allah. Dalam Injil, kita membaca tentang sekurang-kurangnya empat kunjungan yang berbeza ke Bait Allah sepanjang pelayanan Yesus di khalayak ramai. Namun, perjalanan ke Yerusalem yang kita kenang hari ini tidak seperti perjalanan-perjalanan yang lain. Ketika Yesus memasuki Yerusalem kali ini, para pemimpin agama sudah pun berusaha untuk membunuh-Nya. Walaupun demikian, Yesus memasuki Yerusalem dengan penuh kebesaran dan mendapat perhatian ramai. “Hosana! Diberkatilah Dia yang datang dalam nama Tuhan!” Demikianlah seruan orang ramai ketika Yesus memasuki Yerusalem dengan menunggang seekor keldai, sementara daun-daun palma dan jubah dihamparkan di hadapan-Nya.
Walaupun inilah cara yang paling sesuai bagi umat beriman untuk menyambut Raja mereka, sambutan mesra, seruan “Hosana!” dan kegembiraan mereka lebih bermanfaat bagi diri mereka sendiri daripada bagi Yesus. Yesus ialah Allah. Dia tidak memerlukan pujian dan penghormatan kita. Namun, Yesus datang kepada kita untuk mengundang kita memuji, menghormati dan menyembah-Nya kerana hal itu baik bagi kita. Kita perlu memuji-Nya. Untuk itulah kita diciptakan. Inilah yang membawa hidup kita kepada kepenuhannya.
Pada permulaan Pekan Suci ini, cubalah meluangkan masa untuk merenungkan gambaran orang ramai yang menghormati Tuhan kita dengan begitu bersemangat. Gambaran ini menunjukkan insan seperti apa yang seharusnya kita jadi. Sepanjang Pekan Suci ini, kita harus semakin menyedari siapakah Allah yang kita puji dan sembah. Dialah Allah yang merendahkan diri-Nya di mata semua orang, mengambil rupa seorang hamba, membiarkan diri-Nya dilabel sebagai pendosa berat, ditolak, dipukul dan dibunuh. Khususnya pada minggu ini, kita menyembah Kristus yang menderita. Kita menyembah seorang Manusia yang ditangkap dan diperlakukan dengan kejam. Kita menyembah seorang Manusia yang dibenci dan dianiaya dengan cara yang paling teruk.
Penyembahan kita dengan sepenuh hati kepada Kristus yang menderita merupakan suatu tindakan penting yang perlu kita lakukan. Dalam banyak hal, lebih mudah untuk menyembah Allah sebagaimana Dia berada di Syurga di atas takhta-Nya yang mulia. Apabila kita merenungkan malaikat yang tidak terhitung banyaknya berkumpul di sekeliling-Nya, para kudus dari segala zaman bersujud hingga ke tanah, serta kemuliaan dan keagungan yang terpancar daripada wajah-Nya, menyembah-Nya terasa begitu wajar. Namun, lebih sukar untuk memahami penyembahan kepada seorang Manusia yang dituduh sebagai penjenayah dan menanggung hukuman mati sambil menghadapi kebencian ramai orang. Tetapi jika kita dapat melihat Yesus dengan mata iman dan menembusi kebencian serta dusta yang menyelubungi-Nya, maka kita akan berasa kagum akan kerendahan hati Allah kita yang datang kepada kita dengan cara ini.
Penyembahan kita kepada Kristus yang menderita juga mengundang kita untuk mengambil bahagian dalam keutamaan-Nya ketika Dia menanggung segala yang ditimpakan kepada-Nya. Apabila kita menyembah Kristus yang dihina, penghinaan yang kita alami memperoleh kuasa dan makna yang baharu. Apabila kita menyembah Kristus yang menderita, penderitaan kita diangkat untuk mengambil bahagian dalam penebusan-Nya. Apabila kita menyembah Kristus yang ditolak, dihina dan dianiaya, segala pengalaman kita yang turut menanggung kesusahan sedemikian diubah.
Renungkanlah hari ini Allah yang kamu sembah pada Pekan Suci ini. Jangan mengelak daripada merenungkan segala yang ditanggung oleh Yesus. Tataplah penolakan dan sengsara yang dialami-Nya. Lihatlah kebencian yang ditanggung-Nya. Ketika berbuat demikian, lihatlah bukan sahaja Allahmu yang mulia, tetapi juga penawar bagi segala deritamu. Allah turun kepada kita dalam rupa yang paling rendah ini supaya Dia dapat menemui kita dalam keadaan kita yang sebenar dan mengangkat kita kepada kehidupan baharu bersama-Nya.
Tuhanku yang menderita, aku menyembah dan memuji-Mu dengan sepenuh hatiku. Ketika Engkau memasuki Yerusalem untuk perayaan Paskah, Engkau berniat memberikan kuasa baharu kepada perayaan itu dengan menjadi Anak Domba Paskah yang Baharu dan Kekal. Semoga aku sentiasa menyembah-Mu yang telah menderita demi aku dan menyerahkan kepada-Mu segala yang kutanggung dalam hidup agar diubah oleh karya penyelamatan-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Meditasi untuk Hari Minggu Palma Mengenangkan Sengsara Tuhan:
40 Hari di Padang Gurun
Renungan Kitab Suci untuk Masa Prapaskah
Bacaan Lanjut – Hari Minggu Palma
Imej pilihan di atas: Ikon Yesus Kristus, melalui Adobe




