Bahasa Melayu

Melihat Keagungan Kristus

2 Ogos 2024
Hari Jumaat dalam Minggu Ketujuh Belas Masa Biasa
Bacaan untuk Hari Ini

 Santo Eusebius dari Vercelli, Uskup—Peringatan Pilihan

Santo Petrus Julian Eymard, Paderi—Peringatan Pilihan

Video

Yesus datang ke kampung halaman-Nya lalu mengajar orang ramai di rumah ibadat mereka. Mereka takjub lalu berkata, “Dari manakah orang ini mendapat kebijaksanaan dan kuasa untuk melakukan perbuatan-perbuatan ajaib ini?” Matius 13:54

Injil hari ini seterusnya mengatakan bahawa penduduk Nazaret, kampung halaman Yesus, tersinggung dengan-Nya. Hal ini menyebabkan Yesus berkata, “Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya dan di rumahnya sendiri.” Agak menghairankan bahawa mereka tersinggung dengan Yesus setelah menyaksikan kebijaksanaan dan perbuatan-perbuatan-Nya yang ajaib. Penduduk di situ amat mengenali Yesus, dan nampaknya keakraban itulah yang menyebabkan mereka meragui bahawa Yesus seorang yang istimewa.

Perlu diperhatikan bahawa, dalam banyak hal, orang yang telah mengenali Yesus selama bertahun-tahun sepatutnya menjadi orang pertama yang melihat keagungan-Nya. Dan kemungkinan besar, ada juga orang dari kampung halaman-Nya yang melihatnya. Mereka tentu mengenali ibu Yesus, Perawan Maria yang Terberkati, dan beliau tentu memberikan kesaksian setiap hari tentang keutamaan yang luar biasa. Mereka tentu mengenali Yusuf sebagai seorang yang sungguh benar dan adil. Dan Yesus tentu memperlihatkan setiap keutamaan manusiawi dengan sempurna sepanjang proses pembesaran-Nya. Sekali lagi, semua itu sepatutnya mudah dilihat. Namun, ramai yang gagal melihat kekudusan Yesus dan Keluarga Kudus.

Pengalaman Tuhan kita ini seharusnya mengingatkan kita bahawa kita mudah terlepas pandang akan kehadiran Allah di sekeliling kita. Jika mereka yang paling dekat dengan Yesus pun tidak mengenali-Nya sebagai seorang yang memiliki kebajikan dan kekudusan yang luar biasa, apatah lagi kita, yang mungkin jauh lebih mudah gagal melihat kehadiran Allah dalam kehidupan orang yang kita temui setiap hari? Entah mengapa, mungkin kerana kita bergelut dengan kesombongan dan kemarahan, lebih mudah bagi kita untuk melihat kesalahan orang lain daripada kebajikan mereka. Mudah bagi kita untuk mengkritik mereka dan terus memikirkan kelemahan serta dosa yang kita anggap ada pada mereka. Namun, kisah Injil ini seharusnya mendorong kita untuk berusaha sedaya upaya melihat lebih jauh daripada apa yang tampak pada luaran, dan melihat Allah hadir dalam kehidupan setiap orang yang kita temui.

Pada peringkat yang paling asas, Allah bersemayam dalam setiap orang yang telah diciptakan-Nya. Bahkan mereka yang terus-menerus berada dalam keadaan dosa berat tetap diciptakan menurut gambaran Allah dan mencerminkan Allah melalui hakikat diri mereka sendiri. Dan kita mesti melihat hal ini. Mereka yang berada dalam keadaan berahmat pula membawa kehadiran Allah, bukan sahaja dalam diri mereka menurut hakikat mereka, tetapi juga melalui tindakan Allah dalam kehidupan mereka. Setiap kebajikan yang dimiliki oleh setiap orang ada kerana Allah sedang berkarya dalam diri mereka. Dan kita mesti berusaha untuk melihat karya ilahi ini dalam kehidupan mereka.

Mulakan dengan memikirkan orang yang paling rapat dengan anda. Apabila anda memikirkan mereka, apakah yang terlintas dalam fikiran? Selama bertahun-tahun, kita boleh membentuk tabiat asyik memikirkan kesalahan orang lain. Dan tabiat itu sukar dihentikan. Namun, tabiat itu hanya dapat dihentikan dengan sengaja berusaha mencari kehadiran Allah dalam kehidupan mereka. Seperti yang dinyatakan tadi, jika penduduk kampung halaman Yesus sendiri berasa sukar untuk melihat hal ini dalam diri-Nya yang sempurna, maka hal ini seharusnya menyedarkan kita bahawa lebih sukar lagi bagi kita untuk melihatnya dalam diri mereka yang tidak sempurna. Namun, usaha ini mesti dilakukan dan merupakan ikhtiar yang amat kudus.

Renungkanlah hari ini misi penting yang telah diberikan kepada anda untuk melihat kehadiran Allah dalam kehidupan orang di sekeliling anda. Bagaimanakah jika Yesus membesar di tempat anda? Sebagai jiran anda? Walaupun Putera Allah yang menjelma menjadi manusia tidak tinggal di sebelah rumah anda sebagaimana Dia tinggal di Nazaret, Dia sungguh hidup dalam diri setiap orang yang anda temui setiap hari. Renungkanlah dengan jujur sejauh mana anda melihat-Nya, dan berikanlah komitmen kepada misi kudus untuk melihat-Nya dengan lebih jelas, supaya anda dapat bersukacita atas keagungan-Nya yang sungguh nyata di sekeliling anda.

Tuhanku yang sungguh agung, Engkau benar-benar hadir di sekelilingku. Engkau hidup dan berdiam dalam kehidupan mereka yang kutemui setiap hari. Kurniakanlah kepadaku mata iman untuk melihat-Mu dan hati yang mengasihi-Mu. Bantulah aku untuk tidak menumpukan perhatian pada kesalahan dan kelemahan orang lain. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Semua Orang Kudus/Perayaan

Para Kudus Hari Ini –

 Santo Eusebius dari Vercelli, Uskup

Santo Petrus Julian Eymard, Paderi

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Orang ramai berkumpul ketika Kristus menyembuhkan orang sakit, melalui Wikimedia Commons