Sabtu, 5 Januari 2019
Hari Biasa dalam Masa Krismas
Santo Yohanes Neumann, Uskup – Peringatan di Amerika Syarikat

Yesus melihat Natanael datang kepada-Nya lalu berkata tentang dia, “Inilah seorang Israel sejati. Tiada kepura-puraan dalam dirinya.” Natanael berkata kepada-Nya, “Bagaimanakah Engkau mengenal aku?” Yesus menjawabnya, “Sebelum Filipus memanggil engkau, Aku telah melihat engkau di bawah pokok ara.” Natanael menjawab-Nya, “Rabbi, Engkaulah Anak Allah; Engkaulah Raja Israel.” Yohanes 1:47-49
Benarkah begitu? Adakah Natanael benar-benar mengenal dan mengakui Kristus sebagai Anak Allah dan Raja Israel hanya kerana Yesus memberitahunya bahawa Dia telah melihatnya di bawah pokok ara? Nampaknya begitulah. Namun, jelas sekali bahawa ada sesuatu yang jauh lebih mendalam sedang berlaku di sini.
Pertama sekali, penting bagi kita untuk melihat kata-kata awal Yesus tentang Natanael. Yesus berkata, “Tiada kepura-puraan dalam dirinya.” Dengan kata lain, Natanael seorang yang jujur, benar, ikhlas dan berterus terang. Apa yang kelihatan pada dirinya, itulah dirinya yang sebenar. Alangkah baiknya sifat ini!
Kedua, kita dapat melihat bahawa sifat berterus terang ini membawa Natanael untuk mengakui imannya kepada Kristus hampir serta-merta. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Adakah kerana sesuatu yang dikatakan oleh Yesus? Jelas sekali, sesuatu yang jauh lebih mendalam telah membawa Natanael untuk mengakui imannya kepada Kristus. Hal itu merupakan suatu kurnia rohani, iaitu iman, yang melaluinya Roh Kudus menyatakan perkara ini kepadanya. Yang baiknya ialah Natanael, sebagai seorang yang tidak berpura-pura, mendengarkan Roh Kudus berbicara dalam hatinya, lalu menyuarakan keyakinannya ini secara terbuka dan tanpa berselindung. Alangkah baiknya memiliki sifat ini apabila seseorang juga terbuka kepada kebenaran.
Dalam kehidupan kita sendiri, kita perlu meneladani sifat Natanael ini. Kita mesti terbuka untuk mendengar Roh Kudus berbicara kepada kita. Kemudian, kita mesti berpegang dengan yakin dan jujur pada keyakinan yang ditanamkan dalam hati kita agar kita dapat menyatakannya dengan jujur dan terbuka kepada orang lain. Dengan meneladani sifat-sifat ini, kita juga akan dapat menjadi alat Tuhan kita bagi semua orang yang kita temui.
Renungkanlah pada hari ini pertemuan yang menarik antara Yesus dengan Natanael ini. Sejauh manakah anda terbuka kepada suara Allah yang berbicara dalam hati nurani anda? Dan sejauh manakah anda bersedia untuk berkongsi kurnia iman anda secara terbuka dan jujur dengan orang lain? Bertekadlah untuk menjadi alat yang terbuka bagi suara Allah di dunia ini dengan meneladani Rasul yang agung ini.
Tuhan, aku ingin mendengar dan mengenali suara-Mu yang berbicara kepadaku dalam hati nuraniku. Ketika aku mendengar-Mu, bantulah aku agar bersedia dan rela menyatakan Engkau kepada orang lain. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Santo Hari Ini – Santo Yohanes Neumann



