Selasa, 20 Ogos 2019
Selasa dalam Minggu Kedua Puluh Masa Biasa
Santo Bernardus dari Clairvaux, Abas dan Pujangga Gereja – Peringatan

“Tetapi ramai yang pertama akan menjadi yang terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang pertama.” Matius 19:30
Ayat ringkas yang terselit pada penghujung Injil hari ini mengungkapkan banyak perkara. Ayat ini menunjukkan pertentangan antara kejayaan duniawi dengan kejayaan abadi. Begitu kerap kita mengejar kejayaan duniawi dan gagal mencari kekayaan yang kekal selama-lamanya.
Mari kita mulakan dengan “ramai yang pertama.” Siapakah mereka ini? Untuk memahaminya, kita mesti memahami perbezaan antara “dunia” dengan “Kerajaan Allah.” Dunia di sini merujuk kepada populariti yang semata-mata sia-sia dalam sesuatu budaya. Kejayaan, prestij, kemegahan diri dan sebagainya mengiringi populariti dan kejayaan duniawi. Si Jahat ialah penguasa dunia ini dan sering berusaha untuk mengangkat mereka yang melaksanakan kehendaknya yang tidak kudus. Namun, melalui tindakannya itu, ramai antara kita terpikat dan tertarik kepada bentuk kemasyhuran ini. Hal ini menjadi masalah, terutamanya apabila kita mula mendasarkan identiti diri kita pada pandangan orang lain.
“Ramai yang terdahulu” ialah mereka yang diangkat oleh dunia sebagai ikon dan teladan kejayaan yang disanjung ramai ini. Ini ialah suatu pernyataan umum yang tentunya tidak terpakai kepada setiap keadaan dan individu tertentu. Namun, kecenderungan umum ini harus diakui. Dan menurut petikan Kitab Suci ini, mereka yang terjerumus ke dalam cara hidup ini akan menjadi yang “terakhir” dalam Kerajaan Syurga.
Bandingkan hal ini dengan mereka yang “pertama” dalam Kerajaan Allah. Jiwa-jiwa yang kudus ini mungkin dihormati di dunia ini, mungkin juga tidak. Ada orang yang mungkin melihat kebaikan mereka lalu menghormati mereka (seperti Santa Ibu Teresa dihormati), tetapi sering kali mereka direndahkan dan dianggap tidak disenangi menurut ukuran duniawi.
Apakah yang lebih penting? Sejujurnya, apakah yang anda lebih inginkan untuk selama-lamanya? Adakah anda lebih suka dipandang baik dalam kehidupan ini, sekalipun hal itu bererti mengkompromikan nilai-nilai dan kebenaran? Atau adakah pandangan anda tertumpu pada kebenaran dan ganjaran abadi?
Renungkanlah hari ini matlamat mengumpulkan harta di Syurga dan ganjaran abadi yang dijanjikan kepada mereka yang hidup dalam kesetiaan. Tidak salah jika orang lain di dunia ini memandang baik terhadap anda, tetapi jangan sekali-kali membiarkan keinginan sedemikian menguasai anda atau menghalang anda daripada terus menumpukan pandangan pada perkara yang kekal abadi. Renungkanlah sejauh mana anda melakukannya dan berusahalah menjadikan ganjaran Syurga satu-satunya matlamat anda.
Tuhan, bantulah aku untuk mencari-Mu dan Kerajaan-Mu melebihi segala-galanya. Semoga menyenangkan hati-Mu dan melaksanakan kehendak-Mu yang tersuci menjadi satu-satunya keinginanku dalam hidup. Bantulah aku melepaskan keprihatinan yang tidak sihat terhadap kemasyhuran dan populariti duniawi, agar aku hanya mengambil berat tentang pandangan-Mu. Tuhan yang kukasihi, aku menyerahkan seluruh diriku kepada-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Santo/Santa Hari Ini – Santo Bernardus dari Clairvaux




