Bahasa Melayu

Panggilan untuk Menjalani Kehidupan yang Tersembunyi

5 Februari 2020
Hari Rabu dalam Minggu Keempat Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Santa Agata, Perawan dan Martir—Peringatan

“Dari manakah orang ini memperoleh semuanya ini?  Hikmat apakah yang telah diberikan kepada-Nya?  Betapa hebatnya perbuatan ajaib yang dilakukan melalui tangan-Nya!”  Markus 6:2

Orang yang mengenali Yesus sejak usia muda-Nya tiba-tiba berasa takjub akan hikmat dan perbuatan-Nya yang penuh kuasa.  Mereka kagum akan segala yang dikatakan dan dilakukan-Nya.  Mereka mengenali-Nya sepanjang Dia membesar, mengenali ibu bapa-Nya serta saudara-mara-Nya yang lain, dan oleh itu sukar memahami bagaimana jiran mereka ini tiba-tiba begitu mengagumkan dalam kata-kata dan perbuatan-Nya.

Satu perkara yang terserlah daripada hal ini ialah bahawa ketika Yesus membesar, Dia nampaknya menjalani kehidupan yang sangat tersembunyi.  Jelaslah bahawa penduduk kota-Nya sendiri tidak menyedari bahawa Dia seorang yang istimewa.  Hal ini jelas kerana sebaik sahaja Yesus memulakan pelayanan-Nya di hadapan umum dengan mewartakan sabda dan melakukan perbuatan yang penuh kuasa, penduduk kota-Nya sendiri berasa bingung dan bahkan takjub.  Mereka tidak pernah menjangkakan segala “hal ini” daripada Yesus dari Nazaret.  Oleh itu, jelaslah bahawa sepanjang tiga puluh tahun pertama hidup-Nya, Dia menjalani kehidupan seharian yang biasa dan sederhana.

Apakah yang dapat kita pelajari daripada pemahaman ini?  Pertama, hal ini menunjukkan bahawa ada kalanya kehendak Allah bagi kita adalah untuk menjalani kehidupan yang sangat “normal” dan biasa.  Kita mudah berfikir bahawa kita sepatutnya melakukan perkara yang “besar” bagi Allah.  Ya, itu benar.  Namun, perkara besar yang Dia panggil kita lakukan ada kalanya hanyalah menjalani kehidupan seharian yang biasa dengan baik.  Tidak syak lagi bahawa sepanjang kehidupan Yesus yang tersembunyi, Dia menjalani kehidupan dengan keutamaan yang sempurna.  Namun, ramai penduduk kota-Nya sendiri tidak mengenali keutamaan ini.  Belum tiba masanya menurut kehendak Bapa untuk keutamaan-Nya dinyatakan agar dapat dilihat oleh semua orang.  

Kedua, kita melihat bahawa memang ada suatu masa apabila misi-Nya berubah.  Pada suatu ketika dalam hidup-Nya, Bapa menghendaki agar Dia tiba-tiba tampil menjadi tumpuan umum.  Dan apabila hal ini berlaku, orang ramai mula menyedarinya.

Kenyataan yang sama ini juga berlaku dalam hidup anda.  Kebanyakan orang dipanggil untuk menjalani kehidupan sehari-hari dengan cara yang agak tersembunyi.  Ketahuilah bahawa pada saat-saat inilah anda dipanggil untuk bertumbuh dalam keutamaan, melakukan perkara kecil yang tidak dilihat orang dengan baik, dan menikmati rentak kehidupan biasa yang tenang.  Namun, anda juga harus sedar akan kemungkinan bahawa dari semasa ke semasa, Allah mungkin memanggil anda untuk keluar dari zon selesa dan bertindak dengan lebih terbuka di hadapan umum.  Kuncinya ialah bersedia dan peka terhadap kehendak serta rancangan-Nya bagi anda.  Bersedialah dan relakanlah diri untuk digunakan-Nya dengan cara yang baharu, jika itulah kehendak ilahi-Nya.

Renungkanlah hari ini kehendak Allah bagi hidup anda pada saat ini.  Apakah yang Dia inginkan daripada anda?  Adakah Dia memanggil anda untuk keluar dari zon selesa dan menjalani kehidupan yang lebih terbuka di hadapan umum?  Atau adakah Dia memanggil anda pada masa ini untuk menjalani kehidupan yang lebih tersembunyi sambil bertumbuh dalam keutamaan?  Bersyukurlah atas apa jua kehendak-Nya bagi anda dan terimalah dengan sepenuh hati.

Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu atas rancangan-Mu yang sempurna bagi hidupku.  Aku bersyukur kepada-Mu atas pelbagai cara Engkau memanggil aku untuk melayani-Mu.  Bantulah aku agar sentiasa terbuka kepada kehendak-Mu dan setiap hari berkata “Ya” kepada-Mu, tidak kira apa pun yang Engkau minta.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini


Tiga buku istimewa untuk Prapaskah
Percuma untuk dibaca dalam talian.  Juga tersedia dalam format e-buku & buku berkulit lembut.

Renungan Prapaskah dan Paskah
Siri Renungan Harian Katolik

40 Hari di Kaki Salib
Tatapan Kasih dari Hati Bonda Kita yang Terberkati

Renungan Harian tentang Kerahiman Ilahi
365 Hari Bersama Santa Faustina

Lihat lebih banyak buku untuk Prapaskah