Bahasa Melayu

Mencari Tanda

20 Julai 2020
Isnin dalam Minggu Biasa Keenam Belas
Bacaan Hari Ini

Santo Apolinaris, Uskup dan Martir—Peringatan Pilihan

“Guru, kami ingin melihat suatu tanda daripada-Mu.” Dia menjawab mereka, “Angkatan yang jahat dan tidak setia mencari suatu tanda, tetapi tiada tanda akan diberikan kepadanya selain tanda Nabi Yunus.”  Matius 12:38-39

Yunus ialah tanda itu.  Dia berada di dalam perut seekor ikan paus selama tiga hari tiga malam.  Orang yang mencampakkannya dari perahu tentu menyangka bahawa dia sudah mati.  Namun, ikan paus itu menjadi alat kehendak Allah dengan membawa Yunus ke Niniwe untuk menyerukan pertaubatan.  Dan mereka benar-benar bertaubat serta mengubah kehidupan mereka!  Kegelapan di dalam perut ikan paus itu akhirnya menjadi berkat dan tanda bagi zaman-zaman yang akan datang.

Beralihlah daripada kisah Yunus kepada kisah di atas, ketika para pengikut Yesus meminta suatu tanda daripada-Nya.  Mereka mahukan semacam “bukti” tentang siapa Dia.  Atau mungkin mereka sekadar ingin tahu dan mahu “dihiburkan” oleh suatu mukjizat.  Walau apa pun sebabnya, Yesus menjelaskan bahawa tanda yang akan diberikan-Nya ialah tanda Yunus.

Jelaslah bahawa kisah Yunus merupakan gambaran awal tentang kematian Yesus; tiga hari Dia berada di dalam makam dan Kebangkitan-Nya.  Inilah tanda yang akan Yesus berikan dan yang terus diberikan-Nya.  Tanda ini membawa harapan yang besar apabila kita memahaminya dengan betul. 

Namun, sering kali kita boleh terjerumus ke dalam godaan yang sama seperti para pengikut Yesus dalam kisah di atas.  Sering kali kita juga mahukan tanda selain tanda-tanda yang telah Yesus berikan kepada kita.  Kita mahukan bukti lain daripada Allah tentang kehendak-Nya.  Kita mahu Dia berbicara dengan lantang dan jelas.  Namun, hal itu tidak selalu berlaku.  Lebih kerap, apa yang kita alami ialah keadaan seolah-olah Allah berdiam diri.  Kita mungkin tertanya-tanya, “Tuhan, di manakah Engkau?  Mengapakah Engkau tidak berbicara kepadaku?”  Namun, Yesus akan berbicara kepada kita dengan cara yang sama.  Dengan lemah lembut, Dia akan mengingatkan kita tentang kehidupan, kematian dan Kebangkitan-Nya.  Dia akan mengingatkan kita bahawa kita mesti mempercayai segala yang telah difirmankan-Nya, dan sekalipun kita berasa seolah-olah berada di dalam perut ikan paus atau mati di dalam makam, harapan tidak lenyap.  Allah hadir dalam segala sesuatu, dan Dia tetap berkarya serta hadir bersama kita walaupun Dia seolah-olah berdiam diri.

Renungkanlah hari ini betapa teguhnya iman anda, walaupun anda mungkin tidak menerima tanda dari Syurga yang anda inginkan.  Anda perlu diingatkan bahawa Bapa telah berbicara kepada anda dengan jelas melalui kehidupan, kematian dan Kebangkitan Yesus, dan dengan cara inilah Dia terus berbicara kepada anda hari ini.  Dengarkanlah pengajaran itu dan terimalah kebenaran yang diwartakannya dengan sepenuh hati.  Sekalipun anda berasa seolah-olah berada di dalam makam atau Allah berdiam diri, ketahuilah bahawa Dia tidak berdiam diri.  Dia sentiasa berbicara kepada anda.  Anda hanya perlu mengenali suara-Nya.

Tuhan, bantulah aku untuk percaya kepada-Mu walaupun aku tidak melihat mukjizat atau tanda dari Syurga.  Bantulah aku untuk percaya kepada-Mu meskipun ada keraguan atau kelemahan dalam hidupku.  Kurniakanlah kepadaku iman yang teguh untuk menyahut panggilan-Mu dalam hidupku.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Santo/Santa Hari Ini – Santo Apolinaris, Uskup dan Martir

Pilihan Bacaan Misa

Imej: Menologion Basilius