23 Ogos 2020
Hari Minggu Biasa Kedua Puluh Satu, Tahun A
Bacaan Hari Ini

Kemudian Dia dengan tegas melarang murid-murid-Nya memberitahu sesiapa pun bahawa Dialah Mesias. Matius 16:20
Ayat dalam Injil hari ini menyusul sejurus selepas Petrus menyatakan imannya kepada Yesus sebagai Mesias. Yesus pula memberitahu Petrus bahawa dia ialah “batu” dan di atas batu inilah Dia akan mendirikan Gereja-Nya. Yesus seterusnya memberitahu Petrus bahawa Dia akan memberikan kepadanya “kunci Kerajaan Syurga.” Kemudian Dia menyuruh Petrus dan murid-murid yang lain supaya merahsiakan identiti-Nya dengan ketat.
Mengapakah Yesus berkata demikian? Apakah yang mendorong-Nya? Kita mungkin menyangka bahawa Yesus mahu mereka pergi dan memberitahu semua orang bahawa Dialah Mesias. Namun, bukan itu yang dikatakan-Nya.
Salah satu sebab bagi “Rahsia Mesias” ini ialah Yesus tidak mahu berita tentang siapa diri-Nya tersebar begitu sahaja. Sebaliknya, Dia mahu orang mengenali identiti-Nya yang sebenar melalui anugerah iman yang penuh kuasa. Dia mahu mereka berjumpa dengan-Nya, membuka hati dalam doa kepada segala yang dikatakan-Nya, lalu menerima anugerah iman daripada Bapa di Syurga.
Pendekatan terhadap identiti-Nya yang sebenar ini menekankan pentingnya mengenali Kristus secara peribadi melalui iman. Akhirnya, selepas kematian, Kebangkitan dan Kenaikan Yesus ke Syurga, para murid dipanggil untuk pergi dan mewartakan secara terbuka tentang identiti Yesus. Namun, semasa Yesus bersama mereka, identiti-Nya disampaikan kepada orang ramai melalui perjumpaan peribadi mereka sendiri dengan-Nya.
Walaupun kita semua dipanggil untuk mewartakan Kristus secara terbuka dan berterusan pada zaman ini, identiti-Nya yang sebenar tetap hanya dapat difahami dan diimani melalui perjumpaan peribadi. Apabila kita mendengar pewartaan tentang-Nya, kita harus terbuka kepada kehadiran ilahi-Nya, yang datang kepada kita dan berbicara kepada kita di lubuk hati kita. Dia, dan hanya Dia, yang mampu “meyakinkan” kita tentang siapa diri-Nya. Dialah satu-satunya Mesias, Putera Allah yang hidup, seperti yang diakui oleh Santo Petrus. Kita harus sampai kepada kesedaran yang sama ini melalui perjumpaan peribadi kita dengan-Nya dalam hati kita.
Renungkanlah hari ini betapa mendalamnya iman dan pengenalan anda akan Mesias. Adakah anda percaya kepada-Nya dengan segenap kekuatan anda? Sudahkah anda membenarkan Yesus menyatakan kehadiran ilahi-Nya kepada anda? Berusahalah untuk menyingkap “rahsia” identiti-Nya yang sebenar dengan mendengarkan Bapa berbicara kepada anda dalam hati anda. Hanya di situlah anda akan memperoleh iman kepada Putera Allah.
Tuhan, aku sungguh percaya bahawa Engkaulah Kristus, Mesias, Putera Allah yang hidup! Bantulah aku dalam kekurangan imanku supaya aku dapat percaya kepada-Mu dan mengasihi-Mu dengan seluruh diriku. Jemputlah aku, ya Tuhan yang kukasihi, ke lubuk hati-Mu yang tersembunyi, dan izinkanlah aku beristirahat di sana bersama-Mu dalam iman. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Orang Kudus Hari Ini – Santa Rosa dari Lima, Perawan
Tidak dirayakan sebagai peringatan liturgi pada tahun ini kerana jatuh pada hari Ahad
Imej: Flevit super illam oleh Enrique Simonet




