Bahasa Melayu

Penganiayaan yang Akan Datang

25 November 2020
Hari Rabu dalam Minggu Biasa Ke-34
Bacaan Hari Ini

Santa Katarina dari Aleksandria, Perawan dan Martir—Peringatan Pilihan

Yesus berkata kepada orang ramai: “Mereka akan menangkap dan menganiaya kamu, mereka akan menyerahkan kamu kepada rumah ibadat dan penjara, dan mereka akan membawa kamu menghadap raja-raja dan gabenor-gabenor kerana nama-Ku. Hal ini akan menjadi kesempatan bagi kamu untuk memberikan kesaksian.”  Lukas 21:12-13

Hal ini membuat kita berfikir dengan serius.  Dan apabila petikan ini diteruskan, pesannya menjadi lebih mencabar lagi.  Selanjutnya dikatakan, “Kamu bahkan akan diserahkan oleh ibu bapa, saudara-saudara, kaum kerabat dan sahabat-sahabat, dan mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu. Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku, tetapi tidak sehelai pun rambut di kepalamu akan binasa. Dengan ketabahanmu, kamu akan menyelamatkan nyawamu.”

Ada dua perkara utama yang patut kita petik daripada petikan ini.  Pertama, seperti dalam Injil semalam, Yesus menyampaikan nubuat kepada kita yang mempersiapkan kita untuk penganiayaan yang akan datang.  Dengan memberitahu kita apa yang akan berlaku, kita akan lebih bersedia apabila hal itu benar-benar berlaku.  Ya, diperlakukan dengan kasar dan kejam, terutamanya oleh keluarga dan mereka yang rapat dengan kita, merupakan salib yang berat.  Hal ini boleh menggoncang kita sehingga kita menjadi tawar hati, marah dan berputus asa.  Tetapi jangan menyerah kalah!  Tuhan telah melihat hal ini terlebih dahulu dan sedang mempersiapkan kita untuk menghadapinya.

Kedua, Yesus memberikan jawapan tentang cara kita menghadapi perlakuan yang kasar dan berniat jahat.  Dia berkata, “Dengan ketabahanmu, kamu akan menyelamatkan nyawamu.”  Dengan tetap teguh melalui ujian hidup serta terus memelihara harapan, kerahiman dan keyakinan kepada Allah, kita akan memperoleh kemenangan. Ini merupakan pesan yang amat penting.  Dan pesan ini sememangnya lebih mudah diucapkan daripada dilaksanakan.  

Renungkanlah hari ini ajakan Yesus kepada kita untuk hidup dengan tabah.  Sering kali, ketika ketabahan paling diperlukan, kita tidak berasa mahu terus bertabah.  Sebaliknya, kita mungkin terdorong untuk menghamburkan kata-kata kasar, melawan dan marah.  Namun, apabila kita berhadapan dengan peluang yang sukar, kita dapat menghayati Injil ini dengan cara yang tidak mungkin dapat kita hayati seandainya segala-galanya dalam hidup kita mudah dan selesa.  Kadangkala, anugerah terbesar yang dapat kita terima ialah perkara yang paling sukar, kerana hal itu memupuk kebajikan ketabahan ini.  Jika anda berada dalam keadaan sedemikian hari ini, arahkanlah pandangan anda kepada harapan dan lihatlah setiap penganiayaan sebagai panggilan untuk bertumbuh dalam kebajikan.

Tuhan, aku mempersembahkan kepada-Mu segala salib, luka hati dan penganiayaan yang kualami.  Aku mempersembahkan kepada-Mu segala perlakuan buruk yang telah kuterima.  Atas ketidakadilan kecil itu, aku memohon kerahiman.  Dan apabila kebencian orang lain menyebabkan aku sangat tertekan, aku berdoa agar aku dapat terus bertabah dalam rahmat-Mu.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Lihat bahan-bahan Adven kami!

Renungan Kitab Suci

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Orang Kudus Hari Ini – Santa Katarina dari Aleksandria, Perawan dan Martir

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Kristus Ditawan, karya Giuseppe Cesari