Bahasa Melayu

Menghadapi Si Jahat

12 Januari 2021
Selasa dalam Minggu Pertama Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Di rumah ibadat mereka ada seorang lelaki yang dirasuk roh najis; dia berseru, “Apakah urusan-Mu dengan kami, Yesus dari Nazaret? Adakah Engkau datang untuk membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau–Yang Kudus daripada Allah!” Yesus mengherdiknya dan berkata, “Diam!  Keluarlah daripadanya!” Markus 1:23–25

Dalam Kitab Suci, terdapat banyak peristiwa ketika Yesus berhadapan secara langsung dengan roh-roh jahat. Setiap kali, Dia mengherdik mereka dan menggunakan kuasa-Nya atas mereka. Petikan di atas menggambarkan salah satu peristiwa tersebut.

Hakikat bahawa Iblis berulang kali menampakkan dirinya dalam Injil memberitahu kita bahawa si jahat itu benar-benar wujud dan perlu ditangani dengan sewajarnya. Cara yang sewajarnya untuk menghadapi si jahat dan roh-roh jahat yang menyertainya ialah mengherdik mereka dengan kuasa Kristus Yesus sendiri, dengan tenang tetapi tegas dan penuh wibawa.

Amat jarang sekali si jahat menampakkan dirinya sepenuhnya kepada kita sebagaimana yang dilakukannya di hadapan Yesus dalam petikan di atas. Roh jahat itu berbicara secara langsung melalui lelaki ini, yang menunjukkan bahawa lelaki itu dirasuk sepenuhnya. Walaupun kita tidak sering menyaksikan penampakan seperti ini, hal itu tidak bermakna bahawa si jahat kurang aktif pada hari ini. Sebaliknya, hal itu menunjukkan bahawa umat Kristian tidak menggunakan kuasa Kristus setakat yang diperlukan untuk melawan si jahat. Sebaliknya, kita sering berasa gentar ketika berhadapan dengan kejahatan dan gagal berdiri teguh bersama Kristus dengan penuh keyakinan dan kasih.

Mengapakah roh jahat ini menampakkan dirinya dengan begitu jelas? Kerana roh jahat ini berhadapan secara langsung dengan kuasa Yesus. Iblis biasanya lebih suka bersembunyi dan memperdaya, dengan menampilkan dirinya sebagai malaikat terang supaya cara-caranya yang jahat tidak diketahui dengan jelas. Mereka yang dikuasainya sering kali tidak sedar betapa besarnya pengaruh si jahat terhadap diri mereka. Namun, apabila si jahat berhadapan dengan kehadiran Kristus yang murni, dengan Kebenaran Injil yang membebaskan kita, dan dengan kuasa Yesus, pertembungan ini sering memaksa si jahat untuk bertindak balas dengan memperlihatkan kejahatannya.

Renungkanlah hari ini hakikat bahawa si jahat sentiasa bekerja di sekeliling kita. Fikirkanlah orang dan keadaan dalam hidup anda yang menyerang dan menolak Kebenaran Allah yang murni dan kudus. Dalam keadaan-keadaan itulah, lebih daripada keadaan lain, Yesus ingin mengurniakan kepada anda kuasa ilahi-Nya untuk menghadapi kejahatan, mengherdiknya dan menggunakan kuasa atasnya. Hal ini terutama dilakukan melalui doa dan kepercayaan yang mendalam kepada kuasa Allah. Jangan takut untuk membenarkan Allah menggunakan anda bagi menghadapi kegiatan si jahat di dunia ini.

Tuhan, berilah aku keberanian dan kebijaksanaan ketika aku menghadapi kegiatan si jahat di dunia ini. Berilah aku kebijaksanaan untuk mengenali perbuatannya dan berilah aku keberanian untuk menghadapi serta mengherdiknya dengan kasih dan kuasa-Mu. Semoga kuasa-Mu hidup dalam diriku, Tuhan Yesus, dan semoga setiap hari aku menjadi alat yang lebih baik bagi kedatangan Kerajaan-Mu ketika aku menghadapi kejahatan yang wujud di dunia ini. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Lelaki yang Dirasuk di Rumah Ibadat oleh James Tissot