15 Julai 2021
Khamis dalam Minggu Kelima Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini
Santo Bonaventura, Uskup dan Pujangga Gereja—Peringatan

Pikullah kuk-Ku dan belajarlah daripada-Ku, kerana Aku lemah lembut dan rendah hati; dan kamu akan mendapat kelegaan bagi dirimu. Sebab kuk-Ku mudah dipikul, dan beban-Ku ringan.” Matius 11:29–30
Bagi para pengikut Yesus yang pertama, “kuk” ialah istilah yang biasa didengar. Ramai antara mereka sering menggunakan lembu dan haiwan lain untuk membajak ladang mereka. Untuk berbuat demikian, mereka akan memasang kuk kayu pada lembu. Kuk itu merupakan sejenis abah-abah yang juga disambungkan pada bajak melalui tali penarik, supaya lembu lebih mudah membajak tanah. Dipasangi kuk merupakan tanda penghambaan, kerana itulah peranan lembu tersebut.
Ketika mengulas petikan ini, Santo Agustinus (dalam Khutbah 126) mengumpamakan kuk Kristus dengan sayap burung. Sayap burung besar berbanding dengan tubuhnya. Oleh itu, jika seseorang menyimpulkan bahawa membuang sayap burung akan memudahkan hidupnya kerana burung itu dibebaskan daripada berat yang berlebihan, tindakan sedemikian sebenarnya akan menyebabkan burung itu terus terikat pada bumi. Namun, kembalikanlah sayapnya, maka “kuk” itu akan membolehkannya terbang tinggi di langit.
Demikianlah juga dengan kuk Tuhan kita. Jika kita menerima undangan untuk menjadi hamba Allah dan memikul kuk Kristus demi melaksanakan misi pelayanan kita, kita akan mendapati bahawa tindakan melayani itu meringankan, menyegarkan, menguatkan dan memberikan tenaga kepada kita. Kita diciptakan untuk melayani Allah, sebagaimana burung diciptakan untuk mempunyai sayap. Seperti burung itu, jika kita menanggalkan kuk pelayanan kepada Allah daripada hidup kita, kita akan terbeban dan tidak dapat melaksanakan kebaikan yang sepatutnya kita lakukan.
Dalam petikan ini, kita juga diberitahu bahawa kita bukanlah harus memikul kuk kita sendiri; sebaliknya, kita harus memikul kuk Kristus. “Pikullah kuk-Ku…,” kata Yesus. Memikul kuk Yesus bererti kita dipanggil untuk menjalani hidup bersama-Nya dan dalam Dia. Dia datang untuk melayani dan menyerahkan nyawa-Nya bagi orang lain. Menjadi kewajipan kita untuk melakukan hal yang sama dengan membenarkan Dia berbuat demikian dalam diri kita. Kristus dan pengabdian-Nyalah yang mesti menjadi dorongan dan asas hidup kita.
Renungkanlah hari ini panggilan anda untuk menjadi hamba dalam Kristus. Bagaimanakah Allah memanggil anda untuk melayani? Siapakah yang Allah panggil anda untuk layani? Sambil menjawab soalan itu, bagaimanakah anda memandang pelayanan anda? Adakah pelayanan terasa membebankan bagi anda? Atau adakah anda memahami bahawa untuk itulah anda diciptakan? Jika anda memandang pelayanan yang rendah hati sebagai suatu beban, mungkin hal itu berlaku kerana anda sebenarnya belum mencuba untuk melayani bersama Kristus sendiri dan dalam Dia. Cubalah renungkan Yesus yang meletakkan kuk-Nya pada bahu anda. Katakanlah “Ya” kepada tindakan itu dan kepada misi pelayanan dengan rendah hati yang anda dipanggil untuk laksanakan. Melakukannya dengan sepenuh hati bukan sahaja akan menyegarkan anda, malah akan memberikan makna dan tujuan kepada hidup anda.
Tuhanku yang lemah lembut, Engkau datang kepada kami untuk melayani dan menyerahkan nyawa-Mu kerana kasih. Kurniakanlah kepadaku rahmat yang aku perlukan untuk menerima pelayanan-Mu kepadaku, serta untuk meneladani dan mengambil bahagian dalam pelayanan yang menjadi panggilanku. Semoga aku memikul kuk-Mu, ya Tuhan yang kukasihi, agar aku dapat melaksanakan misi yang telah Engkau percayakan kepadaku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Santo/Santa Hari Ini – Santo Bonaventura, Uskup dan Pujangga Gereja



