Selasa, 31 Mei 2022
Pesta Kunjungan Santa Perawan Maria

Elisabet, yang dipenuhi Roh Kudus, berseru dengan suara lantang, “Diberkatilah engkau antara semua wanita, dan diberkatilah buah rahimmu. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang kepadaku?” Lukas 1:41b–43
Alangkah besarnya penghormatan sekiranya Bonda kita yang Terberkati, ibu Yesus, datang mengunjungi kita. Elisabet benar-benar menyedari penghormatan ini, lalu dengan penuh ilham dia berseru mengakui hakikat tersebut.
Walaupun kedatangan ibu Tuhannya merupakan suatu anugerah istimewa bagi Elisabet, kita harus memahami bahawa kita semua juga sama-sama diberkati dengan peluang untuk mengundang kehadiran Bonda Allah ke dalam hidup kita setiap hari.
Bonda Maria ialah Ratu segala orang kudus, tetapi dia juga Ratu semua pendosa dan Ratu mereka yang berusaha mencapai kekudusan. Dia ialah Ibu Segala yang Hidup dan Bonda Gereja. Dalam penyelenggaraan Allah, dia terus melaksanakan peranannya yang istimewa dengan mengunjungi mereka yang memerlukan setiap hari. Dia melakukannya dengan cara yang jauh lebih mendalam dan lebih mengubah hidup berbanding kunjungannya kepada Elisabet. Kunjungan Bonda Maria kepada kita, anak-anaknya, kini berlangsung dalam tata rahmat.
Apakah maksudnya apabila kita mengatakan bahawa Bonda kita yang Terberkati mengunjungi kita dalam tata rahmat? Ini bermakna hubungan kita dengannya berlandaskan kehendak dan rancangan ilahi Allah. Ini bermakna kita dapat menjalin hubungan dengannya, dan melalui hubungan ini dia menyampaikan kepada kita kerahiman yang tidak terhitung banyaknya daripada Puteranya. Ini bermakna dia menjadi pengantara rahmat yang paling berkuasa bagi kita yang pernah dikenal dunia. Ini bermakna pengaruhnya dalam hidup kita amat mendalam, mengubah hidup dan menyentuh diri kita secara peribadi dan intim.
Bahagian yang sukar dalam menjalin hubungan dengan Bonda kita yang Terberkati ialah hubungan itu mesti berlangsung pada peringkat rohani dan batin, bukannya secara jasmani dan lahiriah. Namun, walaupun demikian, kita tidak seharusnya menganggap bahawa hal ini bererti kita kurang mampu mengenali dan mengasihinya. Sebenarnya, hubungan yang kini dapat kita jalin dengan Bonda kita yang Terberkati melalui rahmat jauh lebih dalam dan lebih bermakna daripada hubungan yang dapat dijalin oleh Elisabet dengannya melalui peristiwa Kunjungan itu.
Renungkanlah hari ini hubungan anda dengan Bonda Allah. Dia mengunjungi Elisabet pada zaman dahulu dan kini berhasrat untuk mengunjungi jiwa anda agar dapat membawa rahmat dan kerahiman Puteranya kepada anda. Berusahalah untuk menjalin hubungan yang indah ini dengannya dalam tata rahmat. Undanglah dia masuk, dengarkanlah dia, bukalah hati kepada rahmat yang dibawanya kepada anda, dan bersukacitalah bersama Elisabet kerana ibu Tuhan anda sudi datang kepada anda.
Bonda Maria yang amat kukasihi, aku mengasihimu dan membaktikan hidupku kepadamu, dengan mempercayai penjagaan dan pengantaraanmu sebagai ibu. Bantulah aku, Bonda terkasih, untuk terbuka kepada segala yang ingin engkau bawa kepadaku daripada Puteramu, Yesus. Aku berasa dihormati dan rendah hati kerana engkau sudi menjagaku dan berhasrat membawa kepadaku kerahiman Hati Puteramu Yesus. Bonda Maria, doakanlah kami. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Roh Kudus
Didoakan sebagai persediaan untuk Pentakosta
Hari Kelima – Selasa, 31 Mei
Bacaan Lanjut – Kunjungan Santa Perawan Maria
Doa-doa kepada Bonda kita yang Terberkati
Imej pilihan di atas: Kunjungan Maria oleh Willem van Herp (I), melalui Wikimedia Commons





