29 Oktober 2023
Hari Minggu Biasa Ke-30 (Tahun A)
Bacaan Hari Ini

“Hendaklah engkau mengasihi Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu, dengan segenap jiwamu, dan dengan segenap akal budimu. Inilah perintah yang terutama dan yang pertama. Perintah yang kedua serupa dengannya: Hendaklah engkau mengasihi sesamamu seperti dirimu sendiri. Seluruh hukum Taurat dan ajaran para nabi bergantung pada kedua-dua perintah ini.” Matius 22:37–40
Fikirkanlah pelbagai perkara yang anda inginkan dalam hidup. Apakah yang akan anda masukkan dalam senarai itu? Mungkin senarai itu merangkumi banyak perkara yang baik, seperti keinginan untuk mempunyai hubungan keluarga yang erat, kesihatan yang baik, kehidupan yang bahagia, sahabat yang baik, dan jaminan kewangan. Mungkin ada perkara lain juga, seperti kejayaan dalam kerjaya, percutian yang menyeronokkan, rumah baharu, dan pengalaman pengembaraan yang mengujakan dalam hidup. Jika anda membuat senarai seperti ini bermula dengan keinginan anda yang paling mendalam, apakah yang akan menduduki tempat pertama? Kita semua mungkin tahu apa yang sepatutnya didahulukan, tetapi jika anda meneliti keinginan hati anda dengan jujur pada saat ini, apakah yang akan berada di tempat teratas dalam senarai itu?
Sebaik-baiknya, keinginan jiwa kita yang pertama dan terutama ialah untuk menunaikan dua perintah yang terutama itu. Melebihi segala-galanya, anda akan ingin mengasihi Allah dengan segenap hati, jiwa dan akal budi anda serta mengasihi sesama seperti diri sendiri. Adakah itulah keinginan hati anda yang paling mendalam?
Penting untuk diperhatikan bahawa kita tidak sepatutnya mengasihi Allah dengan hanya sebahagian besar hati, jiwa dan akal budi kita. Kita tidak sekadar mengasihi-Nya dengan 51% lalu membenarkan diri kita membahagikan baki 49% kepada perkara-perkara lain yang kita kasihi. Tidak, 100% kasih kita mesti diberikan kepada Allah. Allah mestilah satu-satunya tumpuan kasih kita secara eksklusif.
Jika anda memberikan 100% kasih anda kepada Allah, apakah yang masih tinggal untuk orang lain? Keagungan kasih kita kepada Allah terletak pada hakikat bahawa semakin banyak kasih yang kita persembahkan kepada Allah, semakin banyak kasih yang kita miliki untuk diberikan kepada orang lain. Apabila kita memberikan kasih kita kepada Allah, Dia tidak mengambilnya daripada kita lalu menyimpannya untuk diri-Nya sendiri secara mementingkan diri, seolah-olah Dia cemburu dan mahu memiliki kita untuk diri-Nya sahaja. Sebaliknya, mengasihi Allah mengubah keupayaan kita untuk mengasihi sehingga kasih kita menjadi lebih banyak daripada sebelumnya. Kita ialah makhluk yang terbatas, dan keupayaan kita untuk mengasihi juga terbatas. Allah tidak terbatas, dan kasih-Nya pada hakikatnya juga tidak terbatas. Oleh itu, apabila kita memberikan kasih kita yang terbatas kepada Allah, kita menerima kembali daripada-Nya kasih-Nya yang tidak terbatas. Kasih ini kemudiannya dapat melimpah daripada hidup kita dan dapat dikongsikan tanpa batas.
Maka, marilah kita kembali kepada soalan asal kita: Adakah anda mengasihi Allah dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal budi anda? Jika ya, ini bererti bahawa seluruh diri anda terserap dalam fikiran dan kehendak Allah. Ini bererti bahawa anda sentiasa berusaha untuk memahami Allah dan segala yang telah dinyatakan-Nya kepada anda. Ini bererti bahawa anda berusaha untuk memahami kehendak-Nya yang sempurna bagi anda setiap hari sepanjang hidup anda. Ini bererti bahawa anda hanya memilih apa yang dikehendaki Allah, dan anda melakukannya dengan penuh kesungguhan, semangat dan semarak hati. Ini bererti bahawa anda sentiasa peka kepada Allah, menyahut dorongan rahmat-Nya yang lembut, dan dipimpin oleh-Nya pada setiap saat, setiap hari sepanjang hidup anda. Itulah suatu panggilan yang luhur! Namun, itulah panggilan yang telah diberikan kepada anda. Pada waktu itulah, dan hanya pada waktu itulah, anda akan mengasihi diri sendiri dengan kasih Allah dengan membuka diri kepada curahan kasih-Nya, dan hanya pada waktu itulah anda akan dapat menjadi alat kasih Allah bagi orang di sekeliling anda.
Renungkanlah hari ini panggilan luhur dan muktamad yang telah diberikan kepada anda untuk mengasihi Allah dengan seluruh diri anda. Kasih anda mesti merangkumi seluruh hidup anda. Kasih itu mesti menyeluruh dan tanpa teragak-agak. Panggilan ini akan menuntut pengorbanan seluruh hidup anda, penyucian sepenuhnya daripada dosa-dosa anda, penolakan segala sikap mementingkan diri, dan hati yang terbuka kepada kuasa sentuhan Allah yang mengubah diri tanpa batas. Oleh sebab Allah telah memerintahkan hal ini, maka hal ini mungkin dilakukan. Anda boleh menjadi seorang kudus yang agung. Janganlah menyasarkan sesuatu yang kurang daripada itu. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap panggilan luhur ini, dan ketahuilah bahawa inilah satu-satunya jalan menuju kepenuhan hidup yang amat anda dambakan.
Tuhanku yang penuh kasih, Engkau telah memberikan segala-galanya kepadaku dan meminta segala-galanya sebagai balasan. Bantulah aku untuk memahami kasih-Mu yang sempurna dan memilihnya dengan segenap kekuatanku. Aku sungguh mengasihi-Mu, ya Tuhan yang kukasihi. Bantulah aku untuk mengasihi-Mu dengan seluruh diriku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa




