Bahasa Melayu

Pertobatan Harian dengan Rendah Hati

22 Januari 2024

Hari Doa untuk Perlindungan Undang-undang bagi Kanak-kanak yang Belum Lahir – Amerika Syarikat
Di luar Amerika Syarikat: Isnin dalam Minggu Ketiga Masa Biasa

Bacaan Hari Ini

Santo Vinsensius, Diakon dan Martir—Peringatan Pilihan
(Dirayakan pada 23 Januari di Amerika Syarikat)

Video

Ahli-ahli Taurat yang datang dari Yerusalem berkata tentang Yesus, “Dia dirasuk Beelzebul,” dan “Dengan kuasa penghulu roh jahat, Dia mengusir roh-roh jahat.” Markus 3:22

Pada waktu ini, Yesus sudah terlibat sepenuhnya dalam pelayanan-Nya di khalayak ramai. Dia telah menyembuhkan orang sakit dan orang tempang, mengusir banyak roh jahat, memanggil Kedua Belas Rasul dan memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat, serta mewartakan Khabar Gembira kepada ramai orang. Sejurus sebelum petikan Injil ini, beberapa orang daripada kaum keluarga Yesus sendiri telah mengkritik-Nya, dengan mendakwa bahawa Yesus tidak waras. Kemudian ahli-ahli Taurat mula mengecam Tuhan kita secara terbuka.

Ahli-ahli Taurat berhadapan dengan suatu dilema. Mereka melihat Yesus mengusir roh jahat daripada orang yang dirasuk, maka mereka perlu mencari penjelasan. Mereka membuat kesimpulan bahawa Yesus dapat mengusir roh jahat dengan kuasa penghulu roh jahat. Yesus kemudian menjawab kritikan ahli-ahli Taurat dengan menyatakan bahawa kecaman mereka itu merupakan dosa terhadap Roh Kudus. Yesus menjelaskan bahawa setiap dosa dapat diampuni kecuali dosa terhadap Roh Kudus. Dia berkata bahawa “sesiapa yang menghujat Roh Kudus tidak akan pernah mendapat pengampunan, tetapi bersalah atas dosa yang kekal.” Mengapakah demikian?

Dalam hal ini, dosa terhadap Roh Kudus bukan hanya kecaman palsu yang diucapkan oleh ahli-ahli Taurat terhadap Yesus. Yang terutama, dosa mereka ialah kedegilan hati. Mereka mengatakan perkara yang tidak benar tentang Tuhan kita, dan ini merupakan dosa berat, tetapi yang lebih buruk ialah mereka berbuat demikian sambil tetap berpegang teguh pada kesilapan mereka. Mereka enggan merendahkan diri dan meneliti semula kesilapan mereka. Kedegilan inilah yang menyebabkan mereka terus menanggung “dosa yang kekal.”

Barangkali pengajaran terpenting yang dapat kita peroleh daripada petikan ini ialah kita mesti mengelakkan diri daripada terus terperangkap dalam kesombongan dengan hati yang degil. Kita mesti sentiasa rendah hati serta bersedia dan rela meneliti semula tindakan kita. Kerendahan hati akan membantu kita untuk sentiasa ingat bahawa kita mudah tersesat dalam kehidupan. Walaupun hal ini akan berlaku dari semasa ke semasa dalam pelbagai cara, jika kita tetap rendah hati dan terbuka kepada perubahan, kita sentiasa dapat menerima kerahiman Allah dan memperoleh pengampunan. Tetapi jika kita sombong dan terus enggan mengakui kesilapan kita, kita juga berkemungkinan bersalah atas dosa terhadap Roh Kudus.

Renungkanlah hari ini apa-apa kecenderungan dalam hidup anda untuk berkeras hati. Sikap berkeras hati boleh menjadi suatu kebajikan apabila sikap itu berupa komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Injil dan kehendak Allah. Namun, anda mesti sentiasa dengan sengaja meneliti semula jalan yang sedang anda tempuh supaya anda dapat berubah apabila jalan itu mula menyimpang daripada Kebenaran Allah. Rendahkanlah diri anda pada hari ini dan biarlah suara Allah memimpin anda kembali daripada apa-apa kesilapan yang sedang anda geluti.

Yesusku yang penuh kerahiman, aku berdosa setiap hari dan akan terus gagal mengikuti-Mu dengan sempurna. Oleh sebab itu, aku bersyukur kepada-Mu atas kerahiman-Mu yang melimpah. Bantulah aku agar sentiasa terbuka kepada kerahiman itu dengan kerap meneliti semula keputusan-keputusan dalam hidupku. Kurniakanlah aku kerendahan hati, ya Tuhan yang kukasihi, agar aku sentiasa bertobat dan kembali kepada-Mu apabila aku tersesat. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Novena 9 Hari untuk Kehidupan
19–27 Januari

Hari keempat: 22 Januari

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Santo/Santa Hari Ini – Santo Vinsensius, Diakon dan Martir—Peringatan Pilihan
(Dirayakan pada 23 Januari di Amerika Syarikat)

Hari Doa untuk Perlindungan Undang-undang bagi Anak yang Belum Lahir—Peringatan di AS

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Orang Farisi dan Orang Saduki Datang untuk Mencubai Yesus oleh James Tissot, melalui Wikimedia Commons