9 Julai 2024
Hari Selasa dalam Minggu Keempat Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini
Santo Agustinus Zhao Rong dan Rakan-rakan, Para Martir—Peringatan Pilihan

Yesus berkeliling ke semua kota dan kampung, mengajar di rumah ibadat mereka, mewartakan Injil Kerajaan, dan menyembuhkan segala penyakit dan kelemahan. Ketika melihat orang ramai itu, hati-Nya tergerak oleh belas kasihan terhadap mereka kerana mereka resah dan terbiar, seperti domba tanpa gembala. Matius 9:35–36
Yesus sungguh bersemangat membara demi jiwa-jiwa. Semangat membara ialah tenaga, keghairahan dan dorongan untuk melaksanakan sesuatu tugas. Tugas yang membangkitkan semangat Yesus ialah pertobatan setiap hati yang ditemui-Nya. Ketika Dia berjalan dari satu kota ke kota yang lain, menemui seorang demi seorang, Yesus dapat melihat ke dalam hati mereka. Dia melihat bahawa begitu ramai orang “resah dan terbiar.” Dia dapat melihat bahawa mereka seperti “domba tanpa gembala.” Hal ini menggerakkan hati-Nya dengan belas kasihan serta semangat membara untuk menjadi Gembala mereka, menghilangkan keresahan daripada hati mereka dan memberitahu mereka bahawa mereka diundang untuk menjadi warga Kerajaan-Nya yang baharu.
Gambaran Yesus menemui begitu ramai orang yang resah dan terbiar amat baik untuk direnungkan. Sebabnya ialah gambaran ini mencerminkan diri kita. Setiap seorang daripada kita mempunyai keresahan batin sendiri. Ada kalanya kita berasa keseorangan, keliru, tidak pasti dan hilang arah. Orang yang tidak pernah berasa demikian sama ada seorang kudus yang sempurna ataupun tidak bersikap jujur. Kekudusan yang mendalam dan kesatuan dengan Allah sememangnya menyembuhkan pergumulan batin yang dialami ramai orang ini. Dalam keadaan itu, orang tersebut tahu dengan jelas bahawa dirinya tergolong dalam keluarga Allah, memahami dirinya sebagai putera atau puteri Allah, dan menemukan kedamaian yang mendalam dalam kebenaran ini. Namun, bagi anda yang sedang bergumul, petikan Kitab Suci ini ditujukan khusus kepada anda.
Pertama sekali, keadaan “resah” boleh disebabkan oleh banyak perkara. Ada yang bergumul dengan kenangan masa lalu, hubungan yang retak, ketiadaan hala tuju, dosa berat, kemarahan dan sebagainya. Maka, soalan pertama yang perlu direnungkan dengan jujur ialah sama ada hati anda resah atau tidak. Bahkan orang kudus yang paling agung pun akan mendapati adanya aspek tertentu yang masih menjadi pergumulan mereka. Jadi, apakah pergumulan itu bagi anda?
Kedua, berasa “terbiar” merupakan salib yang berat. Yesus datang supaya kita dapat menjadi anggota keluarga-Nya. Hal ini terlaksana melalui anugerah keselamatan kekal yang mesti bermula sekarang. Dengan menerima pengampunan dosa dan bertumbuh dalam kehidupan doa, kita semakin mengenali Allah secara sangat akrab dan peribadi. Ya, Dialah Allah Yang Maha Kuasa dan Pencipta segala sesuatu. Namun, Dia juga amat dekat dengan kita secara peribadi dan akrab, dan Dia ingin menjalin hubungan kasih yang nyata dengan anda.
Jika anda bergumul dengan salah satu atau kedua-dua keadaan ini, iaitu resah dan/atau terbiar, renungkanlah semangat membara Yesus demi anda. Perjalanan-Nya yang jauh dan tanpa mengenal penat, dengan berjalan kaki ketika menjalankan pelayanan-Nya di hadapan umum, hendaklah anda lihat sebagai tanda semangat-Nya yang membara untuk datang kepada anda secara peribadi dan menjadi Gembala anda. Dia ingin mengangkat setiap beban dan membuka jalan agar anda menemukan tempat anda dalam keluarga-Nya. “Injil Kerajaan” yang diwartakan oleh Yesus mengundang setiap orang untuk menjadi warga Kerajaan itu. Ketika Dia datang kepada anda, ketahuilah bahawa hati-Nya penuh dengan belas kasihan terhadap anda, sama seperti ketika Dia menjelajah kawasan luar bandar pada zaman dahulu. Dia melihat anda, menatap hati anda dengan kasih, dan tidak pernah mengalihkan pandangan-Nya daripada anda dalam keperluan, kelemahan dan dosa anda.
Renungkanlah hari ini semangat membara Yesus demi keselamatan kekal anda sendiri dan kekudusan hidup anda. Anda tidak dapat mengharungi dunia ini tanpa-Nya. Biarkan Yesus mencari anda, datang kepada anda, berbicara kepada anda dan mengundang anda untuk membenarkan-Nya menggembalakan anda. Dia ingin berbuat demikian dengan seluruh diri-Nya; biarkan Yesus menyempurnakan misi-Nya dalam diri anda.
Gembala ilahiku, Engkau mencari semua orang dengan semangat yang amat membara dan belas kasihan yang amat besar. Engkau melihat setiap hati yang terluka dan remuk, dan Engkau ingin menyembuhkan setiap satunya. Terima kasih kerana datang kepadaku, ya Tuhan yang kukasihi, kerana menjadi Gembala dan Pembimbingku. Bantulah aku melihat Engkau ketika Engkau menatapku dalam kelemahan dan kesakitanku. Bantulah juga aku membuka hatiku kepada-Mu sekarang dan sepanjang hidupku. Aku mengasihi-Mu, ya Tuhanku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Orang Kudus Hari Ini – Santo Agustinus Zhao Rong dan Rakan-rakan, Para Martir



