16 Ogos 2020
Hari Minggu Biasa Kedua Puluh, Tahun A
Bacaan Hari Ini

Lalu seorang wanita Kanaan dari daerah itu datang dan berseru, “Kasihanilah aku, Tuhan, Anak Daud! Anak perempuanku diseksa oleh roh jahat.” Namun, Yesus tidak menjawabnya sepatah kata pun. Murid-murid Yesus datang dan meminta kepada-Nya, “Suruhlah dia pergi, kerana dia terus berseru-seru di belakang kita.” Matius 15:22-23
Inilah salah satu kisah menarik yang memperlihatkan betapa mudahnya tindakan Yesus disalahertikan. Dalam kisah ini, Yesus menjawab permintaan wanita itu untuk mendapatkan pertolongan dengan berkata, “Tidak patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” Aduh! Pada mulanya, kata-kata ini kedengaran kasar. Namun, sudah tentu bukan demikian maksud-Nya, kerana Yesus tidak pernah bersikap kasar.
Sikap Yesus yang pada mulanya berdiam diri terhadap wanita ini serta kata-kata-Nya yang kelihatan kasar merupakan tindakan yang membolehkan Yesus bukan sahaja memurnikan iman wanita ini, tetapi juga memberinya peluang untuk memperlihatkan imannya kepada semua orang. Akhirnya, Yesus berseru, “Wahai wanita, besarnya imanmu!”
Jika anda ingin menempuh jalan kekudusan, kisah ini adalah untuk anda. Melalui kisah ini, kita memahami bahawa iman yang besar terhasil daripada pemurnian dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi. Wanita ini berkata kepada Yesus, “Tolonglah, Tuhan, kerana anjing pun makan sisa-sisa yang jatuh dari meja tuannya.” Dengan kata lain, dia memohon kerahiman walaupun dirinya tidak layak.
Penting untuk kita memahami bahawa ada kalanya Allah seolah-olah berdiam diri. Ini merupakan tindakan kasih-Nya yang mendalam, kerana sebenarnya Dia sedang mengundang kita untuk berpaling kepada-Nya pada tahap yang amat mendalam. Diamnya Allah membolehkan kita beralih daripada iman yang disuburkan oleh pujian dan emosi kepada iman yang dipupuk oleh kepercayaan yang murni kepada kerahiman-Nya.
Renungkanlah hari ini saat-saat dalam hidup apabila anda berasa seolah-olah Allah berdiam diri. Ketahuilah bahawa saat-saat itu sebenarnya merupakan undangan untuk menaruh kepercayaan kepada-Nya pada tahap yang baharu dan lebih mendalam. Nyatakanlah kepercayaan anda kepada-Nya dan biarlah iman anda dimurnikan dengan lebih menyeluruh, supaya Allah dapat melakukan perkara-perkara besar dalam diri anda dan melalui anda!
Tuhan, aku mengakui bahawa dalam segala hal, aku tidak layak menerima rahmat dan kerahiman-Mu dalam hidupku. Namun, aku juga mengakui bahawa kerahiman-Mu melampaui segala pengertian dan begitu besar sehingga Engkau ingin mencurahkannya ke atasku, seorang pendosa yang hina dan tidak layak. Aku memohon kerahiman itu, ya Tuhan yang kukasihi, dan aku menaruh sepenuh kepercayaanku kepada-Mu. Yesus, aku sungguh menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Orang Kudus Hari Ini – Santo Stefanus dari Hungary
Tidak dirayakan sebagai peringatan liturgi pada tahun ini kerana jatuh pada hari Minggu




