Bahasa Melayu

Penyucian

20 November 2020
Hari Jumaat dalam Minggu Biasa Ketiga Puluh Tiga
Bacaan Hari Ini

Lihat bahan-bahan Adven kami!

Yesus memasuki kawasan Bait Allah lalu mengusir mereka yang sedang berjual beli di situ, sambil berkata kepada mereka, “Ada tertulis, Rumah-Ku akan menjadi rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang penyamun.”  Lukas 19:45-46

Petikan ini bukan sahaja menyatakan sesuatu yang dilakukan oleh Yesus pada zaman dahulu, tetapi juga menyatakan sesuatu yang ingin dilakukan-Nya pada hari ini.  Selain itu, Dia ingin melakukannya dalam dua cara: Dia ingin membasmi segala kejahatan dalam bait dunia kita, dan Dia ingin membasmi segala kejahatan dalam bait hati kita.

Berkenaan dengan perkara pertama, jelaslah bahawa kejahatan dan cita-cita peribadi ramai orang sepanjang sejarah telah meresap ke dalam Gereja dan dunia kita.  Ini bukanlah sesuatu yang baharu.  Kemungkinan besar, setiap orang pernah mengalami suatu bentuk luka akibat perbuatan orang dalam Gereja sendiri, masyarakat, malah keluarga.  Yesus tidak menjanjikan kesempurnaan daripada mereka yang kita temui setiap hari, tetapi Dia berjanji untuk memerangi kejahatan dengan bersungguh-sungguh dan membasminya.  

Bagi perkara kedua yang paling penting pula, kita patut melihat petikan ini sebagai pengajaran bagi jiwa kita sendiri.  Setiap jiwa ialah bait yang seharusnya dikhususkan semata-mata untuk kemuliaan Allah dan pelaksanaan kehendak-Nya yang kudus.  Oleh itu, petikan ini digenapi pada hari ini jika kita membenarkan Tuhan kita masuk dan melihat kejahatan serta kekotoran dalam jiwa kita sendiri.  Hal ini mungkin tidak mudah dilakukan dan memerlukan kerendahan hati serta penyerahan diri yang sejati, tetapi hasil akhirnya ialah pembersihan dan penyucian oleh Tuhan kita.

Renungkanlah pada hari ini bahawa Yesus ingin melaksanakan penyucian dalam pelbagai cara.  Dia ingin menyucikan seluruh Gereja, setiap masyarakat dan komuniti, keluarga anda sendiri dan terutamanya jiwa anda sendiri.  Jangan takut untuk membiarkan murka Yesus yang kudus berkarya dengan kuasanya.  Berdoalah agar penyucian berlaku pada setiap peringkat dan biarkanlah Yesus menyempurnakan misi-Nya.

Tuhan, aku sungguh-sungguh berdoa untuk penyucian dunia kami, Gereja kami, keluarga kami dan terutamanya jiwaku sendiri.  Aku mengundang Engkau datang kepadaku pada hari ini untuk menyatakan kepadaku apa yang paling mendukakan-Mu.  Aku mengundang Engkau untuk membasmi segala sesuatu dalam hatiku yang tidak berkenan kepada-Mu.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Lihat bahan-bahan Adven kami!

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Gambar pilihan di atas: Kristus Mengusir Para Pengurup Wang dari Bait Allah oleh Theodoor Rombouts