Bahasa Melayu

Roti Kehidupan

20 April 2021
Selasa dalam Minggu Paskah Ketiga
Bacaan Hari Ini

Video

Maka mereka berkata kepada Yesus, “Tuan, berilah kami roti ini sentiasa.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti kehidupan; sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.” Yohanes 6:34–35

Bayangkan jika anda tidak akan pernah lapar atau dahaga lagi. Dari segi jasmani, ini tentu suatu kenyataan yang menarik. Sudah tentu, jika anda tidak pernah berasa lapar atau dahaga secara fizikal, anda mungkin tidak akan menikmati kelazatan makanan dan minuman yang enak. Jadi, mengapakah sesiapa mahu kehilangan kenikmatan seperti itu?

Sudah tentu, Yesus tidak berbicara tentang makanan dan minuman jasmani. Dia berbicara tentang lapar dan dahaga yang bersifat adikodrati. Dia juga tidak mengatakan bahawa makanan dan minuman rohani yang hendak diberikan-Nya kepada kita akan menghapuskan keupayaan kita untuk menikmati kepuasan rohani. Sebaliknya, Yesus mengatakan bahawa makanan dan minuman rohani yang akan disediakan-Nya akan menghasilkan kepenuhan dan kepuasan yang tidak berkesudahan.

Bab 6 Injil Yohanes akan terus dibacakan sepanjang minggu ini, iaitu Minggu Paskah Ketiga. Bab ini menyajikan kepada kita apa yang secara tradisinya disebut “Wacana Roti Kehidupan”. Inilah ajaran Yohanes yang mendalam, mistik dan penuh makna tentang Ekaristi Mahakudus.

Pertama sekali, ada baiknya kita melihat petikan Injil ini dalam konteksnya. Ingatlah bahawa pada hari sebelumnya, Yesus telah melakukan mukjizat penggandaan roti dan ikan, dan orang ramai yang telah diberi-Nya makan kini mencari lebih banyak makanan. Yesus menggunakan keinginan mereka untuk mendapatkan lebih banyak makanan bagi mula mengajar mereka tentang Ekaristi Mahakudus, dan Dia mahu melakukan hal yang sama untuk anda.

Bayangkan diri anda berada dalam peristiwa ini. Apakah yang paling anda laparkan dan dahagakan? Mungkin anda mempunyai makanan jasmani yang berlimpah, tetapi mungkin juga tidak. Jika ya, apakah lagi yang anda dambakan? Apakah yang anda inginkan? Setelah anda mengenal pasti keinginan anda yang paling mendalam pada saat ini, gunakanlah keinginan itu untuk membenarkan Tuhan kita mengajar anda tentang Roti Kehidupan. Mungkin ada baiknya anda berkata kepada Tuhan kita, “Inilah keinginan-keinginanku dalam hidup pada saat ini…” Kemudian, bukalah diri anda untuk mendengar Yesus berkata kepada anda, “Aku ingin memberikan kepadamu jauh lebih banyak lagi. Akulah yang benar-benar engkau rindukan. Jika engkau datang kepada-Ku, segala keinginanmu akan dipenuhi, malah lebih daripada itu.” Pada dasarnya, inilah perbualan Yesus dengan orang ramai itu sepanjang Yohanes Bab 6.

Adakah anda percaya bahawa Ekaristi Mahakudus mampu memenuhi diri anda hingga ke lubuk jiwa yang paling dalam? Terlalu kerap kita menghampiri Sakramen itu dengan sikap sambil lewa dan fikiran yang terganggu. Akibatnya, kita sering gagal untuk benar-benar menyambut Tuhan kita sedemikian rupa sehingga mengalami kenikmatan dan kepuasan yang paling mendalam ini.

Renungkanlah, pada hari ini dan sepanjang minggu ini, cara anda menghampiri Komuni Kudus. Ekaristi ialah Kristus sendiri. Ekaristi merupakan anugerah yang berupaya bukan sahaja menopang kita dalam segala hal, tetapi juga menarik kita ke dalam kenikmatan syurgawi yang paling agung. Percayalah akan kata-kata Yesus dalam bab suci Injil Yohanes ini. Sebab jika anda memperdalam kepercayaan anda akan segala yang telah dikatakan oleh Yesus, anda akan mula menyedari bahawa segala yang anda dambakan dalam hidup akan mula dipenuhi oleh anugerah yang berharga ini dengan cara yang melampaui imaginasi anda.

Tuhanku yang hadir dalam Ekaristi, Engkaulah Roti Kehidupan. Engkaulah segala yang aku inginkan dalam hidup. Kurniakanlah aku rahmat pengertian, ya Tuhan yang kukasihi, agar aku dapat percaya akan segala yang telah Engkau wahyukan tentang Ekaristi Mahakudus. Aku sungguh percaya, ya Allahku. Bantulah aku dalam ketidakpercayaanku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Doa-doa untuk Paskah

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Monstrans Yesus dalam Sakramen Mahakudus