5 Julai 2021
Isnin dalam Minggu Keempat Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini
Santo Antonius Zaccaria, Paderi—Peringatan Pilihan
Santa Elisabet dari Portugal—Peringatan Pilihan

Seorang wanita yang menderita pendarahan selama dua belas tahun menghampiri-Nya dari belakang lalu menyentuh jumbai pada jubah-Nya. Dia berkata dalam hatinya, “Asalkan aku dapat menyentuh jubah-Nya, aku akan sembuh.” Yesus berpaling dan melihatnya, lalu berkata, “Tabahkanlah hatimu, anak-Ku! Imanmu telah menyelamatkan engkau.” Dan sejak saat itu wanita tersebut sembuh. Matius 9:20–21
Betapa besarnya iman wanita ini! Dia telah menderita selama bertahun-tahun dan terus menderita akibat pendarahannya. Bagaimanakah dia tahu bahawa menyentuh jubah Yesus akan menyembuhkannya? Satu-satunya jawapan ialah iman. Iman bukan sekadar angan-angan atau harapan. Iman ialah pengetahuan yang pasti, yang diberikan melalui rahmat dan wahyu istimewa daripada Allah, yang melaluinya seseorang dengan bebas memberikan persetujuan untuk percaya. Allah berbicara dalam hatinya, dia mendengar, dia menyahut, lalu dia disembuhkan.
Satu perkara yang sangat mengilhamkan dalam kisah Injil ini ialah kerendahan hati wanita ini ketika menghampiri Yesus. Dia tidak berasa perlu mengganggu Yesus, berbicara kepada-Nya, atau menyusahkan-Nya dengan masalahnya. Sebaliknya, dalam kerendahan hatinya, dia menyampaikan keperluannya kepada Yesus melalui anugerah imannya, dalam batin dan secara senyap. Rahmat Allah pun dikurniakan kepadanya kerana Allah melihat hati dan menyahut iman yang begitu rendah hati dan tulus.
Bayangkan jika setiap orang mempunyai iman yang begitu mendalam kepada Tuhan kita. Bayangkan jika kita semua tahu, dengan keyakinan yang paling mendalam dan pasti, bahawa Allah akan memenuhi setiap keperluan kita. Dan bayangkan jika kita berpaling kepada Tuhan kita setiap hari dengan keyakinan yang mendalam dan pasti ini, membawa setiap keperluan kita. Jika kita dapat berbuat demikian, maka Tuhan kita akan dapat terus menjaga kita dalam segala hal.
Satu unsur utama dalam penyembuhan wanita ini ialah bahawa Allah Bapalah yang berbicara kepadanya dan mengundangnya untuk menyentuh jubah Putera-Nya, Yesus. Dan Yesuslah yang merasakan penyembuhan yang diterima oleh wanita itu, kerana Dia berada dalam kesatuan yang sempurna dengan kehendak Bapa-Nya. Oleh itu, menyentuh jubah Yesus bukanlah semata-mata suatu perbuatan ajaib yang akan menyebabkan apa sahaja yang diinginkan oleh wanita ini dikabulkan kepadanya. Sebaliknya, perbuatan itu merupakan suatu jawapan kepada undangan batin yang diberikan oleh Bapa kepadanya.
Dalam kehidupan kita, kita mesti berusaha untuk melakukan perkara yang sama. Terlalu kerap kita mengemukakan kehendak kita sendiri kepada Allah dan memberitahu-Nya apa yang kita mahu Dia lakukan. Allah tidak menyahut permintaan seperti itu. Sebaliknya, kita mesti mencari kehendak-Nya…dan kehendak-Nya sahaja. Wanita ini tahu bahawa dia akan disembuhkan, kerana Allah Bapa berbicara kepadanya dalam fikiran dan hatinya serta menggerakkannya untuk menyentuh jubah Yesus, Putera-Nya. Dia pun menyahut, lalu penyembuhan itu berlaku. Allah mesti berbicara terlebih dahulu, kita mesti mendengar dan menyahut, barulah kehendak-Nya terlaksana.
Renungkanlah hari ini Suara Allah yang lembut ketika Dia berbicara kepadamu di lubuk hatimu. Adakah kamu mendengar-Nya? Apakah yang diundang-Nya untuk kamu lakukan? Apakah penyembuhan yang ingin dikurniakan-Nya? Sambil kamu merenungkan Suara Allah, cubalah menyahut Dia sahaja. Ketepikanlah segala kehendak dan gagasanmu sendiri tentang apa yang sepatutnya Allah lakukan, dan carilah hanya apa yang sedang disampaikan-Nya kepadamu. Katakanlah “Ya” kepada-Nya dengan kepastian dan keyakinan, dan percayalah bahawa apa sahaja yang disampaikan-Nya kepadamu, jika kamu beriman kepada apa yang difirmankan-Nya, Dia akan melakukannya.
Tuhanku yang lemah lembut, Engkau berbicara kepadaku siang dan malam, memanggilku kepada penyembuhan yang kuperlukan. Bantulah aku mendengar Suara-Mu dan menyahut-Mu dengan iman. Semoga iman dan keyakinanku kepada-Mu bertambah teguh dan menjadi sumber karya-Mu yang mulia dalam hidupku. Yesus, aku sungguh menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Para Kudus Hari Ini –
Santo Antonius Zaccaria, Paderi
Imej pilihan di atas: Di sekeliling meja teh, karya Thomas De Witt, melalui Wikimedia Commons


