27 Mei 2022
Hari Jumaat dalam Minggu Paskah Keenam
Bacaan Hari Ini
Santo Agustinus dari Canterbury, Uskup—Peringatan Pilihan

“Apabila seorang wanita hendak bersalin, dia menderita kerana saatnya telah tiba; tetapi setelah dia melahirkan seorang anak, dia tidak lagi mengingati kesakitannya kerana sukacitanya bahawa seorang anak telah dilahirkan ke dunia. Demikian juga kamu sekarang sedang menderita. Tetapi Aku akan melihat kamu lagi, dan hatimu akan bersukacita, dan tiada sesiapa pun akan merampas sukacitamu daripadamu.” Yohanes 16:21–22
Penderitaan dalam hidup merupakan perkara biasa. Dalam hal-hal kecil, kita akan mengalami penderitaan setiap hari. Dan, dari semasa ke semasa, kita akan mengalami kesakitan yang amat berat akibat penderitaan tertentu dalam hidup kita.
Adakah pengalaman penderitaan bererti anda tidak berada dalam rahmat Allah? Adakah ini bererti Allah telah meninggalkan anda? Atau adakah ini bererti anda sedang melakukan sesuatu yang salah? Tentu sekali tidak. Sebenarnya, kita hanya perlu melihat kehidupan Yesus untuk menyedari bahawa hal itu tidak benar. Dia sentiasa menderita sepanjang hidup-Nya di dunia, sambil terus menghayati dengan lebih mendalam misi Bapa-Nya. Sejurus sebelum pelayanan-Nya di hadapan umum, Dia menderita selama empat puluh hari di padang gurun. Sepanjang pelayanan-Nya di hadapan umum, Dia mengalami penderitaan dan keletihan dalam kehidupan-Nya di dunia. Dia mengalami kritikan orang lain, salah faham, ejekan, penolakan, layanan kasar, dan banyak lagi. Akhirnya, kita tahu apa yang menimpa-Nya di Salib.
Hati Bonda kita yang Terberkati ditembusi oleh “pedang dukacita”. Sejak awal lagi, dia disalahfahami dan diejek kerana kehamilannya yang penuh misteri di luar nikah. Dia mengasihi Puteranya dengan kasih yang sempurna dan menderita kerana memikirkan masa depan-Nya ketika Dia semakin membesar. Dia menyaksikan ramai orang mengasihi-Nya dan orang lain pula mengganggu-Nya. Dia menyaksikan perbicaraan-Nya yang hanya merupakan suatu olok-olok serta Penyaliban-Nya.
Tetapi fikirkanlah kehidupan mereka sekarang. Kini mereka bertakhta di Syurga sebagai Ratu Semua Orang Kudus yang mulia dan Raja Alam Semesta. Kini mereka hidup dalam kemuliaan selama-lamanya. Penderitaan mereka telah berubah menjadi sukacita yang sempurna.
Renungkanlah hari ini cubaan-cubaan dalam hidup anda sendiri. Petikan Kitab Suci di atas mengungkapkan janji Allah kepada mereka yang menanggungnya dengan iman. Jika anda berasa seolah-olah nasib tidak menyebelahi anda atau anda telah diperlakukan dengan tidak adil, anda tidak bersendirian—Yesus dan Maria juga mengalaminya. Kuncinya ialah mengharungi kehidupan ini dengan rahmat dan maruah. Jangan biarkan cubaan atau kesakitan hidup ini mematahkan semangat anda. Ketahuilah bahawa selagi anda tetap setia menyusuri jalan yang telah Allah tetapkan bagi anda, kesudahannya ialah anda akan bersukacita! Ini sememangnya suatu kenyataan. Berpegang teguhlah pada harapan itu dan teruslah menumpukan pandangan pada garisan penamat. Pada akhirnya, segala jerih payah itu berbaloi.
Tuhanku yang penuh belas kasihan, aku menyerahkan keperitan dan bebanku kepada-Mu. Aku menyatukannya dengan Salib-Mu dan percaya bahawa Engkau akan hadir dalam segala hal, berjalan bersamaku sepanjang hidupku. Semoga aku terus menumpukan pandanganku pada matlamat itu dan bersukacita dalam kasih setia-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Roh Kudus
Didoakan sebagai persediaan untuk Pentakosta
Hari Pertama – Jumaat, 27 Mei
Santo/Santa Hari Ini – Santo Agustinus dari Canterbury, Uskup
Gambar utama di atas: Perawan dan Kanak-kanak oleh Elisabetta Sirani, melalui Wikipedia





