28 Mei 2022
Hari Sabtu dalam Minggu Paskah Keenam
Bacaan Hari Ini

“Aku telah mengatakan hal ini kepadamu dalam bahasa kiasan. Saatnya akan tiba apabila Aku tidak lagi berbicara kepadamu dalam bahasa kiasan, tetapi akan memberitahu kamu dengan jelas tentang Bapa.” Yohanes 16:25
Mengapakah Yesus berbicara dalam “bahasa kiasan” dan bukannya dengan jelas? Soalan yang baik.
Kita melihat hal yang sama dalam banyak perumpamaan yang disampaikan oleh Yesus. Besar kemungkinan, selepas mendengar perumpamaan-Nya, orang ramai akan beredar sambil bertanya, “Pada pendapat kamu, apakah yang dimaksudkan-Nya dengan itu?” Jadi, mengapakah Yesus menggunakan bahasa yang terselindung maknanya dan bukannya berbicara dengan jelas dan terus terang?
Jawapannya berkaitan dengan diri kita dan sikap kita yang kurang terbuka kepada Kebenaran. Jika kita terbuka sepenuhnya kepada Kebenaran, dan jika kita benar-benar bersedia untuk menerima Kebenaran itu walau apa pun, Yesus dapat berbicara kepada kita dengan jelas dan kita akan segera menyahut-Nya. Namun, hal ini jarang sekali berlaku. Kunci untuk memahami hal ini ialah memahami hubungan antara mengetahui kehendak Allah dengan kesediaan untuk segera melaksanakan kehendak itu.
Sering kali, kita mahu Yesus memberitahu kita kehendak-Nya, lalu kita merenungkannya, mempertimbangkannya, dan kemudian kembali dengan jawapan kita. Namun, bukan begitu caranya. Sebaliknya, jika kita mahu Yesus berbicara kepada kita dengan jelas, kita mesti mengatakan “Ya” kepada-Nya bahkan sebelum kita mengetahui apa yang dikehendaki-Nya. Kesediaan untuk menerima kehendak-Nya ialah prasyarat untuk memahami kehendak-Nya.
Sudah tentu, Bonda kita yang Terberkati ialah teladan yang sempurna dalam hal ini melalui fiatnya. Sebelum malaikat datang kepadanya, dia sentiasa mengatakan “Ya” kepada kehendak Allah. Kemudian, apabila malaikat datang kepadanya dan memberitahunya apa yang akan berlaku, dia meminta penjelasan. Dan dia sememangnya menerima penjelasan itu sebagai jawapan langsung kepada soalannya. “Roh Kudus akan menaungimu dan kuasa Yang Mahatinggi akan turun ke atasmu…” kata malaikat itu. Namun, satu-satunya sebab malaikat itu, sebagai utusan Allah, berbicara dengan begitu jelas ialah kerana dia telah pun menunjukkan bahawa hatinya tunduk sepenuhnya kepada rancangan Allah, walau apa pun rancangan itu.
Renungkanlah hari ini betapa jelasnya anda mendengar Allah berbicara kepada anda. Adakah anda mahu Dia berbicara dengan lebih jelas kepada anda? Adakah anda mahu Dia berbicara kepada anda dengan lebih terang lagi? Jika demikian, berusahalah untuk menyerahkan kehendak anda dengan lebih sepenuhnya kepada apa yang belum anda ketahui sekalipun. Katakanlah “Ya” kepada apa yang Allah kehendaki daripada anda esok, dan katakanlah “Ya” kepadanya hari ini. Memupuk kebiasaan untuk segera mengatakan “Ya” ini akan membuka pintu kepada pemahaman yang lebih jelas tentang segala yang ingin Allah katakan.
Tuhan, jawapanku ialah “Ya.” Aku memilih kehendak-Mu hari ini, esok dan selama-lamanya. Aku tidak memilih apa-apa selain kehendak-Mu. Ketika aku berkata “Ya” kepada-Mu, bantulah aku untuk semakin jelas memahami segala yang Engkau minta daripadaku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Novena kepada Roh Kudus
Didoakan sebagai persediaan untuk Pentakosta
Hari Kedua – Sabtu, 28 Mei
Imej utama di atas: Nasihat kepada Para Rasul oleh James Tissot, melalui Wikipedia





