27 Jun 2022
Hari Isnin dalam Minggu Ketiga Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini
Santo Sirilus dari Aleksandria, Uskup dan Pujangga Gereja—Peringatan Pilihan

Seorang ahli Taurat datang mendekati Yesus lalu berkata kepada-Nya, “Guru, aku akan mengikuti-Mu ke mana sahaja Engkau pergi.” Matius 8:19
Ahli Taurat ini mengatakan perkara yang tepat kepada Yesus. Inilah sikap yang seharusnya kita semua miliki terhadap Tuhan kita. Kita mesti bersedia dan rela mengikuti-Nya walau apa pun yang terjadi. Namun, jawapan Yesus kepada ahli Taurat ini menarik perhatian. Dia berkata, “Musang mempunyai liang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk meletakkan kepala-Nya” (Matius 8:20).
Apakah yang dapat kita pelajari daripada jawapan ini? Jawapan ini seolah-olah merupakan cara Yesus berkata kepada ahli Taurat itu, “Adakah engkau benar-benar bersedia dan rela mengikuti Aku walau apa pun yang terjadi?” Dengan kata lain, Yesus mahu menunjukkan kepada ahli Taurat itu bahawa pilihan untuk mengikuti-Nya merupakan suatu komitmen untuk menempuh jalan yang berisiko hanya dalam erti bahawa mengikuti Yesus memerlukan kepercayaan yang sepenuhnya kepada-Nya. Kita tidak akan diberitahu terlebih dahulu ke mana Tuhan kita akan memimpin kita dan apa yang akan diminta-Nya daripada kita. Sebaliknya, apabila kita memilih untuk mengikuti Yesus tanpa sebarang syarat, kita menaruh kepercayaan kepada peribadi-Nya dan menyatakan kepada-Nya bahawa kita menerima kehendak-Nya dengan rela, walau apa pun kehendak itu. Kepercayaan yang sedemikian mendalam merupakan kunci kepada apa yang dikehendaki Yesus.
Renungkanlah dua perkara pada hari ini. Pertama, renungkan kata-kata ahli Taurat ini dan tanyalah diri anda sama ada anda dapat mengucapkannya dengan yakin dalam kehidupan anda sendiri. Ucapkanlah kata-kata itu berulang kali dan usahakanlah agar kata-kata itu beralih daripada fikiran ke hati anda sebagai ungkapan kerelaan menerima rancangan Tuhan bagi hidup anda. Kedua, renungkan kesan jawapan sedemikian dalam kehidupan anda sendiri. Adakah anda rela bukan sahaja mengucapkan kata-kata ini, tetapi juga menerima segala yang menyusul daripada komitmen sedemikian? Adakah anda rela mempercayakan seluruh hidup anda kepada Tuhan? Berusahalah untuk membuat tekad yang teguh ini, dan tekad ini akan membawa anda menempuh jalan yang penuh sukacita.
Tuhanku yang dapat dipercayai, aku sungguh bertekad untuk mengikuti-Mu ke mana sahaja Engkau pergi. Aku memilih kehendak-Mu yang mahakudus melebihi segala-galanya. Bantulah aku untuk hidup setia menurut kehendak ilahi-Mu dan untuk menjawab “Ya” kepada-Mu setiap hari. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Doa Kesyukuran atas berakhirnya Roe v. Wade!
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Santo Hari Ini – Santo Sirilus dari Aleksandria, Uskup dan Pujangga Gereja
Imej pilihan di atas: Kristus Memberkati, karya Titian, melalui Wikimedia Commons




