Bahasa Melayu

Bersihkan Bahagian Dalam Dahulu

23 Ogos 2022
Hari Selasa dalam Minggu Biasa Ke-21
Bacaan Hari Ini

Santa Rosa dari Lima, Perawan—Peringatan Pilihan

Video

“Celakalah kamu, ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, kamu orang munafik. Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi bahagian dalamnya penuh dengan hasil rampasan dan pemuasan hawa nafsu. Hai orang Farisi yang buta, bersihkanlah dahulu bahagian dalam cawan itu, supaya bahagian luarnya juga menjadi bersih.”  Matius 23:25-26

Walaupun kata-kata Yesus yang begitu terus terang ini mungkin kelihatan keras, kata-kata ini sebenarnya penuh dengan kerahiman.  Kata-kata ini penuh dengan kerahiman kerana Yesus bersungguh-sungguh berusaha membantu orang Farisi memahami bahawa mereka perlu bertaubat dan membersihkan hati mereka.  Walaupun ungkapan awal “Celakalah kamu” mungkin segera menarik perhatian kita,  mesej sebenar yang patut kita dengar ialah “bersihkanlah dahulu bahagian dalam.”

Petikan ini menunjukkan bahawa seseorang boleh berada dalam salah satu daripada dua keadaan.  Pertama, batin seseorang mungkin penuh dengan “hasil rampasan dan pemuasan hawa nafsu” sedangkan pada masa yang sama, luarannya kelihatan bersih dan suci.  Inilah masalah orang Farisi.  Mereka sangat mementingkan penampilan luaran tetapi kurang mengambil berat tentang batin mereka.  Ini suatu masalah.

Kedua, kata-kata Yesus menunjukkan bahawa yang sebaik-baiknya ialah bermula dengan pembersihan batin.  Apabila hal itu berlaku, kesannya ialah bahagian luaran juga menjadi bersih dan berseri.  Fikirkanlah tentang orang dalam keadaan kedua ini, iaitu orang yang terlebih dahulu dibersihkan batinnya.  Orang ini menjadi sumber inspirasi dan memiliki jiwa yang indah.  Dan yang indahnya ialah apabila hati seseorang benar-benar dibersihkan dan dimurnikan, keindahan batin ini tidak dapat terpendam di dalam sahaja.  Keindahan itu pasti bersinar keluar dan orang lain akan menyedarinya.  

Renungkanlah hari ini betapa mudahnya keindahan hidup batin anda bersinar keluar.  Adakah orang lain melihatnya?  Adakah hati anda bersinar?  Adakah anda berseri-seri?  Jika tidak, mungkin anda juga perlu mendengar kata-kata yang diucapkan Yesus kepada orang Farisi ini.  Anda mungkin juga perlu ditegur dengan kasih dan kerahiman supaya anda terdorong untuk membenarkan Yesus masuk dan berkarya dengan kuasa-Nya yang membersihkan.

Tuhan, sudilah datang ke dalam hatiku dan bersihkanlah diriku sepenuhnya.  Murnikanlah diriku dan biarlah kemurnian dan kekudusan itu terpancar ke luar dengan gemilang.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Novena kepada Santa Monika
18–26 Ogos

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Santo dan Santa Hari Ini – Santa Rosa dari Lima, Perawan—Peringatan Pilihan

Pilihan Bacaan Misa

Imej Pilihan: Kutukan terhadap Orang Farisi oleh James Tissot, melalui Wikimedia Commons