19 November 2022
Sabtu dalam Minggu Biasa Ketiga Puluh Tiga
Bacaan Hari Ini

Beberapa orang Saduki, iaitu mereka yang menyangkal adanya kebangkitan, datang dan mengajukan soalan ini kepada Yesus, kata mereka, “Guru, Musa menuliskan bagi kami, Jika saudara lelaki seseorang meninggal dunia dengan meninggalkan seorang isteri tetapi tiada anak, orang itu harus mengahwini balu saudaranya dan memberikan keturunan bagi saudaranya itu. Ada tujuh orang adik-beradik lelaki…” Lukas 20:27-29a
Orang Saduki itu seterusnya mengemukakan suatu situasi yang rumit kepada Yesus untuk memerangkap-Nya. Mereka menceritakan tentang tujuh orang adik-beradik lelaki yang masing-masing meninggal dunia tanpa mempunyai anak. Setiap kali salah seorang meninggal dunia, saudara yang berikutnya mengahwini isteri saudara yang pertama itu. Soalan yang mereka ajukan ialah: “Pada waktu kebangkitan nanti, wanita itu akan menjadi isteri siapa?” Mereka bertanya demikian untuk memperdaya Yesus kerana, seperti yang dinyatakan dalam petikan di atas, orang Saduki menyangkal kebangkitan orang mati.
Yesus, tentu sahaja, memberikan jawapan kepada mereka dengan menjelaskan bahawa perkahwinan adalah untuk zaman ini, bukan untuk zaman Kebangkitan. Jawapan-Nya menggagalkan usaha mereka untuk memerangkap-Nya, dan para ahli Taurat, yang memang percaya akan kebangkitan orang mati, memuji jawapan-Nya.
Satu perkara yang disingkapkan oleh kisah ini kepada kita ialah bahawa Kebenaran itu sempurna dan tidak dapat dikalahkan. Kebenaran sentiasa menang! Dengan menyatakan apa yang benar, Yesus mendedahkan kebodohan orang Saduki. Dia menunjukkan bahawa tiada tipu daya manusia yang dapat menggugat Kebenaran.
Inilah pengajaran yang penting untuk kita pelajari kerana pengajaran ini terpakai dalam semua aspek kehidupan. Kita mungkin tidak mempunyai soalan yang sama seperti orang Saduki, tetapi hampir pasti bahawa sepanjang perjalanan hidup, kita akan berhadapan dengan soalan-soalan yang sukar. Soalan kita mungkin tidak bertujuan untuk memerangkap Yesus atau mencabar-Nya, namun soalan-soalan itu tetap akan timbul.
Kisah Injil ini seharusnya meyakinkan kita bahawa apa pun yang mengelirukan kita, ada jawapannya. Apa pun yang tidak dapat kita fahami, jika kita mencari Kebenaran, kita akan menemukan Kebenaran.
Renungkanlah hari ini perkara yang paling mencabar dirimu dalam perjalanan imanmu. Mungkin ia suatu soalan tentang kehidupan selepas kematian, penderitaan, atau penciptaan. Mungkin ia sesuatu yang amat peribadi. Atau mungkin kebelakangan ini kamu belum meluangkan masa yang cukup untuk memikirkan soalan-soalan bagi Tuhan kita. Walau apa pun keadaannya, carilah Kebenaran dalam segala hal dan mohonlah kebijaksanaan daripada Tuhan kita agar setiap hari kamu dapat menyelami iman dengan lebih mendalam.
Tuhan, aku sungguh ingin mengetahui segala yang telah Engkau wahyukan. Aku ingin memahami perkara-perkara yang paling membingungkan dan mencabar dalam hidup. Bantulah aku setiap hari untuk memperdalam imanku kepada-Mu dan pemahamanku akan Kebenaran-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Kristus Raja
Secara tradisi, sembilan hari sebelum Hari Raya Kristus Raja
Novena didoakan setiap hari dari 11–19 November




