Bahasa Melayu

Melangkah Maju

20 Februari 2023
Hari Isnin dalam Minggu Biasa Ketujuh
Bacaan Hari Ini

Video

Ketika Yesus turun dari gunung bersama Petrus, Yakobus dan Yohanes lalu menghampiri murid-murid yang lain, mereka melihat orang ramai mengerumuni murid-murid itu dan ahli-ahli Taurat sedang berdebat dengan mereka. Markus 9:14

Ayat ini, daripada permulaan Injil hari ini, memperlihatkan peralihan daripada pengalaman kemuliaan yang luar biasa kepada pengalaman yang amat menyedihkan. Di atas gunung, Yesus berubah rupa di hadapan tiga orang murid-Nya, dan sekilas hakikat keilahian-Nya dinyatakan kepada mereka. Ketiga-tiga murid itu diliputi sukacita dan rasa takjub. Namun, sebaik sahaja mereka turun dari gunung, mereka berhadapan dengan perdebatan antara ahli-ahli Taurat dengan orang ramai.

Perdebatan itu berkaitan dengan seorang lelaki yang membawa anak lelakinya kepada murid-murid Yesus untuk disembuhkan. Anak itu telah dirasuk oleh roh yang bisu dan pekak sejak kecil, dan murid-murid itu tidak dapat mengusir roh jahat tersebut. Lebih-lebih lagi, ahli-ahli Taurat kelihatan mengkritik keseluruhan keadaan itu, dan si bapa pula kelihatan kurang beriman. Yesus menjawab mereka semua, “Wahai angkatan yang tidak beriman, berapa lama lagi Aku harus bersama kamu? Berapa lama lagi Aku harus bersabar dengan kamu?  Bawalah dia kepada-Ku.” Setelah anak itu dibawa kepada Yesus, Yesus melakukan dua perkara untuknya. Pertama, Dia memerintahkan roh jahat itu supaya “keluar daripadanya.” Kedua, Dia memerintahkan roh jahat itu supaya “jangan sekali-kali memasukinya lagi.”

Walaupun banyak yang dapat kita pelajari daripada petikan ini, kedua-dua perintah Yesus ini wajar direnungkan. Sudah tentu, membebaskan anak itu daripada kerasukan roh jahat ini merupakan sesuatu yang penting dan mengubah hidupnya. Namun, tindakan penuh kerahiman ini akhirnya akan berakhir dengan tragedi sekiranya roh jahat itu memasuki anak tersebut semula selepas Yesus pergi. Oleh itu, perintah kedua, yang melarang roh jahat itu daripada memasukinya lagi buat selama-lamanya, juga merupakan tindakan yang penuh dengan kerahiman yang besar.

Satu perkara yang seharusnya kita pelajari daripada hal ini ialah mengatasi kejahatan sahaja tidak mencukupi. Ini kerana godaan dan penindasan yang datang daripada gerombolan malaikat yang jatuh adalah berterusan dan tidak henti-henti. Sering kali berlaku bahawa setelah seseorang dibebaskan daripada sesuatu pengaruh iblis dan dosa tertentu, dia kemudian kembali jatuh ke dalam dosa itu apabila dia mula leka. Oleh itu, kita mesti sentiasa ingat bahawa setelah kita mengatasi sesuatu dosa, godaan atau penindasan, kita mesti terus berjaga-jaga supaya tidak kembali jatuh ke dalam kejahatan ini. Kewaspadaan yang berterusan amat penting jika kita mahu terus teguh di jalan kebajikan dan kekudusan.

Renungkanlah hari ini apa-apa godaan yang pernah anda hadapi dan atasi, tetapi kemudian anda terjerumus ke dalamnya lagi. Renungkanlah khususnya betapa pentingnya kewaspadaan yang diperlukan, bukan sahaja untuk mengelakkan diri daripada kembali kepada dosa-dosa lama, tetapi juga untuk terus maju dalam kekudusan dan kebajikan. Si jahat tidak pernah berhenti, tetapi Allah lebih-lebih lagi tidak pernah berhenti melimpahkan belas kasihan dan rahmat-Nya. Teruslah melangkah maju dalam kehidupan rohani agar anda tidak sekali-kali tergelincir dan kembali jatuh ke dalam dosa yang dahulu.

Tuhan yang mahamulia, aku berpaling kepada-Mu dengan penuh keyakinan dan memohon agar Engkau bukan sahaja membebaskan aku daripada dosa-dosa yang sedang kulawan, tetapi juga menjagaku agar aku tidak sekali-kali kembali kepadanya setelah aku dibebaskan. Semoga aku sentiasa melangkah maju menuju kepada-Mu dan tidak pernah menjadi leka dalam perjalanan imanku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Mengusir Syaitan, melalui flickr