21 Oktober 2023
Sabtu dalam Minggu Kedua Puluh Lapan Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Apabila kamu dibawa ke hadapan majlis di rumah ibadat, para pemerintah dan pihak berkuasa, janganlah bimbang tentang bagaimana atau dengan apa kamu akan membela diri, ataupun tentang apa yang harus kamu katakan. Sebab pada saat itu Roh Kudus akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.” Lukas 12:11–12
Yesus menghayati petikan Injil ini dengan sempurna dalam kehidupan-Nya sendiri. Dia ditangkap, disoal siasat, dijatuhi hukuman secara tidak adil dan disoal oleh Imam Besar, Herodes dan Pontius Pilatus. Semasa disoal siasat, ada kalanya Dia bersuara dan ada kalanya Dia berdiam diri. Sebagai persediaan untuk soal siasat ini, Yesus tidak terlebih dahulu mengkaji setiap pemerintah, dengan cuba memikirkan apa yang patut dan tidak patut dikatakan-Nya. Dia tidak menyediakan pembelaan, sebaliknya bersandar pada kesatuan-Nya yang sempurna dengan Roh Kudus dan Bapa agar Dia dibimbing pada setiap saat dalam kodrat manusia-Nya.
Walaupun kecil kemungkinannya anda akan ditangkap kerana iman anda dan dibicarakan oleh pihak berkuasa awam kerana menjadi orang Kristian, anda mungkin mengalami pelbagai bentuk soal siasat dan kecaman yang lain, yang mencabar anda untuk memberikan tanggapan. Dan apabila anda dihakimi oleh orang lain, besar kemungkinan anda akan tergoda untuk membela diri dengan marah dan menyerang balas.
Apabila difahami dengan jelas dan dihayati, petikan Injil ini seharusnya menenangkan dan meneguhkan hati anda dalam setiap pengalaman dihakimi. Katekismus Gereja Katolik menyatakan bahawa “Untuk mengelakkan penghakiman yang terburu-buru, setiap orang hendaklah berhati-hati agar, sejauh yang mungkin, mentafsirkan fikiran, perkataan dan perbuatan sesamanya secara positif” (# 2478). Walaupun anda sendiri mesti sentiasa berusaha untuk berbuat demikian, besar kemungkinan akan ada ketikanya orang lain tidak memperlakukan anda dengan sikap berhati-hati dan berpegang pada kebenaran seperti ini. Oleh itu, jika anda dihakimi oleh orang lain, sekalipun kata-kata mereka ada benarnya, penting bagi anda untuk tidak bertindak balas dengan sikap mempertahankan diri dan kemarahan, kecuali jika Roh Kudus telah membimbing anda dengan jelas untuk berbuat demikian. Pesanan utama yang diberikan Yesus ialah anda mesti percaya bahawa Roh Kudus akan sentiasa membimbing anda apabila anda dengan rendah hati dan tanpa henti berusaha mengikuti setiap dorongan-Nya. Hal ini hanya mungkin jika anda telah membina kebiasaan yang teguh untuk peka terhadap Suara Allah dalam hati nurani anda.
Oleh sebab pengalaman dihakimi secara terburu-buru, nama baik diburuk-burukkan, difitnah dan sebagainya memang menyakitkan, anda mesti menyediakan pembelaan anda lebih awal dengan belajar untuk bersandar hanya pada Roh Kudus dalam segala hal. Yesus menggesa kita untuk berbuat demikian! Oleh itu, jika setiap hari anda dengan rendah hati berusaha melaksanakan kehendak Allah, mendengar suara-Nya dan menyahut dengan murah hati, maka anda boleh yakin bahawa apabila tiba waktunya anda mengalami bentuk-bentuk penghakiman ini, anda akan bersedia. Roh Kudus akan berbicara kepada anda, mengilhami anda, menghiburkan anda dan memberikan segala rahmat yang anda perlukan untuk bertindak balas selaras dengan kehendak Allah. Janganlah meragui hal ini. Berimanlah dan yakinlah akan kata-kata serta janji Tuhan kita ini.
Renungkanlah hari ini cara anda menanggapi penghakiman orang lain terhadap anda pada masa lalu. Cubalah mengingati peristiwa-peristiwa tertentu apabila hal ini berlaku. Adakah anda membalas dengan penghakiman yang serupa? Adakah anda dipenuhi kemarahan? Adakah anda terus memendam rasa sakit hati? Adakah anda kehilangan kedamaian hati? Jika anda telah menyerah kepada godaan-godaan ini, maka bertekadlah dengan penuh iman untuk mempercayai apa yang dikatakan Yesus hari ini. Percayalah kepada-Nya. Percayalah bahawa Dia akan menyertai anda pada saat-saat sukar yang akan datang itu, dan berdoalah agar anda dikurniai rahmat untuk bertindak balas hanya menurut bimbingan Roh Kudus.
Tuhanku yang tidak bersalah, Engkau telah dibicarakan, diadili dan dijatuhi hukuman atas tuduhan palsu. Namun dalam semua itu, Engkaulah Anak Domba yang Tidak Bersalah, yang sentiasa mengasihi dan menyampaikan kebenaran dengan sempurna. Apabila aku dihakimi dalam hidupku, penuhilah aku dengan kedamaian hati dan kepercayaan akan janji-Mu bahawa Roh Kudus akan menyertaiku, mengilhamiku dan membimbingku selaras dengan kehendak-Mu yang sempurna. Roh Kudus, aku menyerahkan diriku sepenuhnya kepada-Mu, sekarang dan selama-lamanya. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Santo Yudas
Untuk Situasi dan Perkara yang Tiada Harapan
Didoakan pada bila-bila masa sepanjang tahun, khususnya 19–27 Oktober
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Imej pilihan di atas: Kristus di hadapan Pilatus karya Mihály Munkácsy, melalui Wikimedia Commons




