29 Januari 2026
Hari Khamis dalam Minggu Ketiga Masa Biasa
Bacaan Hari Ini
Andreas F. Borchert, CC BY-SA 3.0 DE, melalui Wikimedia Commons
Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Adakah pelita dibawa masuk untuk diletakkan di bawah bakul penyukat atau di bawah katil, dan bukannya di atas kaki pelita? Sebab tiada sesuatu pun yang tersembunyi kecuali untuk dinyatakan; tiada sesuatu pun yang dirahsiakan kecuali untuk didedahkan. Sesiapa yang mempunyai telinga untuk mendengar, hendaklah dia mendengar.” Markus 4:21–23
Apakah yang membimbing hidup anda? Apakah yang mempengaruhi keputusan anda? Ramai orang didorong oleh keinginan duniawi, seperti kekayaan atau kedudukan. Ada pula yang mencari kepuasan dalam keseronokan yang sementara. Sesetengah orang mendapat inspirasi daripada tokoh budaya popular atau mereka yang dianggap berjaya oleh masyarakat. Namun, sebagai orang Kristian, kita dipanggil untuk menimba inspirasi dan dorongan daripada satu sumber: Cahaya Kebenaran Allah.
Dalam Injil hari ini, pelita melambangkan Kristus sendiri, yang menerangi fikiran kita dan membimbing keputusan kita, sebagaimana pelita menerangi bilik yang gelap. Pelita tidak dapat memenuhi tujuannya jika disembunyikan di bawah bakul penyukat atau katil. Demikian juga, Kristus harus menerangi setiap aspek kehidupan kita dan bersinar melalui kata-kata, perbuatan serta kesaksian kita kepada orang lain.
Jika pelita melambangkan Kristus, yang adalah Kebenaran ilahi, maka kaki pelita melambangkan sarana yang kita gunakan untuk menjunjung tinggi dan berkongsi Kebenaran itu. Walaupun Allah, rahmat-Nya dan Kebenaran Injil merupakan cahaya itu, cahaya tersebut datang kepada kita melalui pelbagai cara. Matlamat pertama kita sebagai orang Kristian ialah memastikan bahawa Cahaya Allah menjadi pusat kehidupan kita. Ini bermakna apabila timbul persoalan dalam hidup kita, kita berpaling terlebih dahulu kepada Cahaya itu sebagai satu-satunya Sumber Kebenaran dan bimbingan. Kita melakukannya dengan merujuk kepada Kitab Suci, Katekismus, riwayat hidup para kudus dan inspirasi daripada orang lain yang hidup kudus.
Sebagaimana kaki pelita menyokong dan meninggikan pelita, kaki pelita juga menyediakan tapak yang kukuh, memastikan cahayanya tetap stabil dan kelihatan walaupun di tengah tiupan angin cabaran hidup. Demikian juga, doa, sakramen dan perbuatan baik membantu meneguhkan Cahaya Kebenaran dalam hidup kita, agar cahaya itu dapat bersinar terang secara berterusan.
Apabila kehidupan kita telah diterangi dan kita melihat dengan jelas jalan yang telah dipilih Allah untuk kita, dengan sendirinya kita mula memancarkan cahaya itu kepada orang lain. Inilah inti pati penginjilan. Melalui doa harian, kehidupan sakramental, perbuatan kasih dan keberanian kita dalam memberikan kesaksian tentang Injil, kita menjadi kaki pelita yang menjunjung tinggi Cahaya Kristus. Apabila orang lain menemukan cahaya itu melalui teladan kita, mereka juga diundang untuk mendekati Sumbernya, dengan membiarkan Kebenaran Injil menerangi kehidupan mereka.
Kadangkala kita menghadapi kesukaran dalam usaha kita untuk mewartakan Injil. Apabila kita bertemu dengan orang yang langsung tidak menunjukkan minat terhadap Injil, kita tergoda untuk berdiam diri dan menutupi Cahaya Kristus. Namun, hal itu membiarkan orang lain terus berada dalam kegelapan. Si jahat sering memperdaya kita sehingga kita menyangka bahawa kita tidak sepatutnya menjadi kaki pelita bagi Cahaya Kristus jika orang lain lebih memilih kegelapan. Kita mungkin takut menyinggung perasaan mereka atau kedengaran seolah-olah kita menganggap diri “lebih suci daripada orang lain!” Ini suatu perangkap yang berbahaya.
Kasih menuntut penginjilan. Semua orang memerlukan Kristus dalam hidup mereka, walaupun mereka tidak menyedarinya atau memusuhi cahaya Kristus. Jika anda berasa sukar untuk menjadi kaki pelita bagi Kristus, renungkanlah kata-kata Yesus yang berikut: “Sebab tiada sesuatu pun yang tersembunyi kecuali untuk dinyatakan; tiada sesuatu pun yang dirahsiakan kecuali untuk didedahkan.” Dengan kata lain, suatu hari nanti kita semua akan berdiri di hadapan takhta pengadilan Kristus, apabila setiap fikiran dan perbuatan yang tersembunyi akan didedahkan, sehingga dapat dilihat oleh kita dan semua yang berdiri di hadapan Kristus pada Penghakiman Terakhir. Pada hari itu, adakah kita akan menyesal kerana telah melakukan segala yang terdaya untuk menjadi kaki pelita yang memancarkan cahaya Kristus kepada orang lain? Sudah tentu tidak. Sebaliknya, kita akan bersukacita atas setiap usaha yang telah kita lakukan, walaupun kata-kata dan tindakan kita kelihatan sia-sia. Cahaya yang kita pancarkan mungkin tidak serta-merta menerangi jalan orang lain. Namun, seperti benih yang ditanam di dalam tanah, cahaya itu berpotensi untuk bertumbuh dan menghasilkan buah pada waktu yang sempurna menurut rancangan Allah.
Renungkanlah hari ini sama ada anda telah membiarkan ketakutan, sikap berpuas hati atau keraguan terhadap diri sendiri menyembunyikan cahaya Kristus dalam hidup anda. Fikirkanlah orang yang telah Allah tempatkan di sepanjang perjalanan hidup anda, yang memerlukan cahaya-Nya tetapi belum menemukannya melalui anda. Bertekadlah untuk menjadi kaki pelita bagi Kristus, dengan berani dan penuh kasih menjunjung tinggi kebenaran-Nya agar dapat dilihat oleh semua orang.
Yesus, Terang Dunia, Engkau datang untuk menyatakan diri-Mu sebagai Kebenaran yang membebaskan semua orang dan Terang yang menghalau segala kegelapan. Sudilah bersinar terang dalam hidupku dan sentiasa membimbingku agar aku pula dapat menjadi alat tempat Engkau bersemayam dan memancarkan cahaya dalam kehidupan orang lain. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa





