19 Mei 2020
Selasa dalam Minggu Paskah Keenam
Bacaan Hari Ini

“Namun, Aku mengatakan kebenaran kepadamu: lebih baik bagi kamu jika Aku pergi. Sebab jika Aku tidak pergi, Pembela tidak akan datang kepadamu. Tetapi jika Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepadamu.” Yohanes 16:7
Hati para Rasul berbelah bahagi. Mereka diliputi dukacita, namun mereka juga berusaha untuk mempercayai apa yang dikatakan Yesus kepada mereka. Yesus memberitahu mereka bahawa Dia akan naik kepada Bapa-Nya dan bahawa lebih baik bagi mereka jika Dia pergi. Mengapa? Kerana jika Dia pergi, Dia akan mengutus Roh Kudus kepada mereka.
Dari sudut manusiawi, tentu amat sukar bagi para Rasul untuk melepaskan pertemuan harian mereka dengan Yesus. Mereka pasti merindukan saat melihat-Nya dengan mata mereka sendiri, menyentuh-Nya dan mendengar suara-Nya. Namun, Yesus menegaskan bahawa walaupun Dia akan pergi, Dia akan sentiasa menyertai mereka. Dia juga akan mengutus Roh Kudus ke atas mereka untuk membimbing mereka, memberi mereka keberanian dan mengajar mereka segala kebenaran. Kini, melalui kuasa Roh Kudus, mereka akan menjadi kehadiran-Nya di dunia.
Kita tidak pernah mendapat keistimewaan untuk melihat Yesus seperti yang dialami oleh para Rasul. Namun, kita mempunyai keistimewaan yang sama, iaitu Dia sentiasa menyertai kita. Kita juga mempunyai keistimewaan yang sama untuk menerima kepenuhan Roh Kudus. Ini sesuatu yang baik. Sungguh baik. Namun, kebaikan ini sering kita terlepas pandang. Kita mungkin telah menerima Sakramen Penguatan, tetapi kita mungkin masih gagal membenarkan Roh Kudus masuk dan mengubah hidup kita.
Dalam masa kurang daripada dua minggu, kita akan merayakan Hari Raya Pentakosta. Inilah perayaan tahunan bagi penggenapan janji Yesus ini. Pada hari itu, kita memperingati kenyataan bahawa Roh Kudus telah datang dan bahawa kita kini berada dalam zaman Roh Kudus.
Renungkanlah tentang Roh Kudus pada hari ini dan sepanjang dua minggu yang akan datang. Dengan rendah hati, akuilah kepada diri sendiri jika anda perlu membiarkan Roh Kudus semakin hidup dalam kehidupan anda. Percayalah bahawa Yesus mahu anda menerima Roh Kudus dalam kepenuhan-Nya. Dan janganlah takut untuk membiarkan persatuan ini terjalin.
Roh Kudus, datanglah kepadaku. Bantulah aku mengobarkan kehadiran-Mu dalam hidupku. Semoga aku menerima Engkau, yang dijanjikan oleh Yesus, dalam kepenuhan-Mu. Roh Kudus, Yesus yang Ilahi, Bapa yang Maha Rahim, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Roh Kudus
Didoakan sebagai persediaan untuk Pentakosta
Bermula pada hari Jumaat, 22 Mei
Aku Dapat Masuk ke dalam Hidupmu jika Engkau Membenarkan Aku
Renungan Rohani





