23 September 2020
Rabu dalam Minggu Biasa Kedua Puluh Lima
Bacaan Hari Ini
Santo Pio dari Pietrelcina (Padre Pio), Paderi—Peringatan

“Bagi mereka yang tidak menyambut kamu, apabila kamu meninggalkan kota itu, kebaskanlah debu dari kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.” Lukas 9:5
Ini ialah pernyataan yang berani daripada Yesus. Pernyataan ini juga sepatutnya memberanikan kita ketika berhadapan dengan tentangan.
Yesus baru sahaja selesai menyuruh murid-murid-Nya pergi dari kota ke kota untuk mewartakan Injil. Dia berpesan kepada mereka supaya tidak membawa makanan atau pakaian tambahan dalam perjalanan, sebaliknya bergantung pada kemurahan hati orang yang menerima pewartaan mereka. Dia juga mengakui bahawa ada orang yang tidak akan menerima mereka. Bagi mereka yang benar-benar menolak para murid serta perkhabaran mereka, para murid hendaklah “mengebaskan debu” dari kaki mereka ketika meninggalkan kota itu.
Apakah maksudnya? Secara khusus, hal ini mengajar kita dua perkara. Pertama, apabila kita ditolak, kita boleh berasa terluka. Akibatnya, kita mudah merajuk dan terus memendam perasaan tentang penolakan serta luka hati itu. Kita mudah berdiam diri dalam kemarahan dan, akibatnya, membiarkan penolakan itu semakin memudaratkan diri kita.
Mengebaskan debu dari kaki kita ialah suatu cara untuk menyatakan bahawa kita tidak sepatutnya membiarkan luka hati yang kita alami mempengaruhi diri kita. Ini ialah cara untuk menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak akan dikawal oleh pandangan dan niat jahat orang lain. Inilah pilihan penting yang perlu dibuat dalam hidup apabila menghadapi penolakan.
Kedua, ini ialah suatu cara untuk menyatakan bahawa kita mesti terus melangkah ke hadapan. Kita bukan sahaja perlu mengatasi segala luka hati yang kita alami, tetapi selepas itu kita juga perlu terus mencari mereka yang akan menerima kasih kita serta perkhabaran Injil yang kita sampaikan. Maka, dalam erti tertentu, nasihat Yesus ini bukanlah terutamanya tentang menghadapi penolakan orang lain; sebaliknya, nasihat ini lebih-lebih lagi tentang mencari mereka yang akan menerima kita dan perkhabaran Injil yang kita dipanggil untuk sampaikan.
Renungkanlah hari ini segala luka yang masih tersimpan dalam hatimu akibat penolakan orang lain. Cubalah melepaskannya dan ketahuilah bahawa Allah sedang memanggilmu untuk mencari orang lain dengan penuh kasih agar kamu dapat berkongsi kasih Kristus dengan mereka.
Tuhan, apabila aku mengalami penolakan dan luka hati, bantulah aku melepaskan segala kemarahan yang ada dalam diriku. Bantulah aku meneruskan misi kasihku dan terus berkongsi Injil-Mu dengan mereka yang akan menerimanya. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Hari Kedua: Novena kepada Santa Thérèse dari Lisieux – Si Bunga Kecil
Orang Kudus Hari Ini – Santo Pio dari Pietrelcina (Padre Pio), Paderi
Gambar – Kristus di hadapan Herodes oleh Duccio di Buoninsegna




