Bahasa Melayu

Saling Menyokong

28 September 2020
Isnin dalam Minggu Kedua Puluh Enam Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

 Santo Wenceslaus, Martir—Peringatan Pilihan

Santo Lorenzo Ruiz dan Rakan-rakan, Para Martir—Peringatan Pilihan

Lalu Yohanes berkata, “Guru, kami melihat seseorang mengusir roh-roh jahat dalam nama-Mu dan kami cuba menghalangnya kerana dia tidak menyertai kumpulan kami.” Yesus berkata kepadanya, “Jangan halang dia, kerana sesiapa yang tidak menentang kamu berpihak kepada kamu.”  Lukas 9:49-50

Mengapakah para Rasul cuba menghalang seseorang daripada mengusir roh jahat dalam nama Yesus?  Yesus tidak berasa bimbang tentang hal itu dan, malah, menyuruh mereka supaya tidak menghalangnya.  Jadi, mengapakah para Rasul berasa bimbang?  Kemungkinan besar kerana iri hati.

Iri hati yang kita lihat dalam kalangan para Rasul dalam peristiwa ini juga boleh menyusup ke dalam Gereja dari semasa ke semasa.  Hal ini berkaitan dengan keinginan untuk berkuasa dan mengawal.  Para Rasul berasa tidak senang kerana orang yang mengusir roh-roh jahat itu tidak menyertai kumpulan mereka.  Dengan kata lain, para Rasul tidak dapat mengawal orang ini.

Walaupun hal ini mungkin sukar difahami, melihatnya dalam konteks masa kini mungkin dapat membantu.  Katakan seseorang mengetuai suatu pelayanan di gereja, lalu seorang atau beberapa orang lain memulakan pelayanan baharu.  Pelayanan baharu itu agak berjaya dan, akibatnya, mereka yang selama ini berkarya dalam pelayanan yang lebih lama dan lebih mantap mungkin berasa tidak senang dan sedikit iri hati.

Sikap ini tidak masuk akal, tetapi itulah juga kenyataannya.  Hal ini sering berlaku, bukan sahaja dalam lingkungan gereja tetapi juga dalam kehidupan harian kita.  Apabila kita melihat orang lain melakukan sesuatu yang berjaya atau menghasilkan buah yang baik, kita mungkin berasa dengki atau iri hati.  

Dalam peristiwa yang melibatkan para Rasul ini, Yesus amat memahami dan berbelas kasihan terhadap keadaan itu secara keseluruhannya.  Namun, Dia juga sangat jelas.  “Jangan halang dia, kerana sesiapa yang tidak menentang kamu berpihak kepada kamu.”  Adakah anda melihat perkara-perkara dalam kehidupan dengan cara ini?  Apabila seseorang berjaya, adakah anda bersukacita atau bersikap negatif?  Apabila orang lain melakukan perkara-perkara yang baik dalam nama Yesus, adakah hati anda dipenuhi rasa syukur kerana Allah menggunakan orang itu untuk kebaikan, atau adakah anda berasa iri hati?

Renungkanlah hari ini segala perkara baik yang sedang berlaku di sekeliling anda.  Renungkanlah khususnya mereka yang sedang memajukan Kerajaan Allah.  Renungkanlah juga perasaan anda terhadap mereka.  Berdoalah agar anda melihat mereka sebagai rakan sekerja di kebun anggur Kristus dan bukannya sebagai pesaing anda.  

Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu atas segala perkara baik yang berlaku dalam Gereja-Mu dan dalam masyarakat.  Bantulah aku untuk bersukacita atas segala yang Engkau lakukan melalui orang lain.  Bantulah aku untuk melepaskan diri daripada segala pergumulan dengan iri hati.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Hari Ketujuh: Novena kepada Santa Teresia dari Lisieux – Bunga Kecil

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Para Kudus Hari Ini –

Santo Wenceslaus, Martir
 Juga
Santo Lorenzo Ruiz dan Rakan-rakan, Para Martir

Pilihan Bacaan Misa

Imej: Yesus Berbicara dengan Murid-murid-Nya oleh James Tissot