23 Oktober 2020
Jumaat dalam Minggu Biasa Kedua Puluh Sembilan
Bacaan Hari Ini
Santo Yohanes dari Capistrano, Paderi—Peringatan Pilihan

Yesus berkata kepada orang ramai, “Apabila kamu melihat awan naik di sebelah barat, kamu segera berkata bahawa hujan akan turun–dan memang hujan pun turun; dan apabila kamu menyedari bahawa angin bertiup dari selatan, kamu berkata bahawa cuaca akan menjadi panas–dan memang begitulah jadinya. Hai orang munafik! Kamu tahu mentafsir rupa bumi dan langit; mengapakah kamu tidak tahu mentafsir zaman sekarang?” Lukas 12:54-56
Adakah anda tahu mentafsir zaman sekarang? Sebagai pengikut Kristus, penting bagi kita untuk dapat melihat budaya, masyarakat dan dunia kita secara keseluruhannya dengan jujur, serta mentafsirkannya dengan jujur dan tepat. Kita perlu dapat mengenali kebaikan dan kehadiran Allah dalam dunia kita, dan kita juga perlu dapat mengenal pasti serta mentafsir gerak kerja si jahat pada zaman kita sekarang. Sejauh manakah anda dapat melakukannya?
Salah satu taktik si jahat ialah menggunakan manipulasi dan pembohongan. Si jahat berusaha mengelirukan kita dengan pelbagai cara yang tidak terkira banyaknya. Pembohongan ini mungkin disebarkan melalui media, melalui pemimpin politik kita dan, kadangkala, bahkan melalui sesetengah pemimpin agama. Si jahat amat suka apabila berlaku perpecahan dan segala macam kekacauan.
Jadi, apakah yang harus kita lakukan jika kita mahu dapat “mentafsir zaman sekarang?” Kita mesti mengabdikan diri dengan sepenuh hati kepada Kebenaran. Kita mesti mengutamakan pencarian akan Yesus melebihi segala-galanya melalui doa, dan membiarkan kehadiran-Nya dalam hidup kita membantu kita membezakan apa yang berasal daripada-Nya dan apa yang bukan daripada-Nya.
Masyarakat kita menghadapkan kita dengan pilihan moral yang tidak terkira banyaknya, sehingga kita mungkin mendapati diri kita ditarik ke sana sini. Kita mungkin mendapati pemikiran kita dicabar dan, kadangkala, bahkan kebenaran yang paling asas tentang kemanusiaan diserang dan diputarbelitkan. Ambil contoh pengguguran kandungan, eutanasia dan perkahwinan tradisional. Ajaran moral iman kita tentang perkara-perkara ini terus-menerus diserang dalam pelbagai budaya di dunia kita. Martabat insan itu sendiri dan martabat keluarga sebagaimana yang dirancang oleh Allah dipersoalkan dan dicabar secara langsung. Satu lagi contoh kekeliruan dalam dunia kita hari ini ialah cinta akan wang. Begitu ramai orang terperangkap dalam keinginan untuk memiliki kekayaan material dan telah terpedaya dengan pembohongan bahawa inilah jalan menuju kebahagiaan. Mentafsir zaman sekarang bererti kita dapat melihat dengan jelas di sebalik segala kekeliruan pada zaman kita ini. Ini bererti kita mengenali kesesatan budaya dan moral sebagai kesesatan yang sebenarnya.
Renungkanlah hari ini sama ada anda rela dan mampu membiarkan Roh Kudus menyingkap kekeliruan yang begitu nyata di sekeliling kita. Adakah anda bersedia membiarkan Roh Kudus, Roh Kebenaran, menembusi fikiran anda dan memimpin anda ke dalam seluruh kebenaran? Mencari kebenaran pada zaman kita sekarang ialah satu-satunya cara untuk bertahan menghadapi pelbagai kesesatan dan kekeliruan yang dilemparkan kepada kita setiap hari.
Tuhan, bantulah aku mentafsir zaman sekarang dan melihat kesesatan yang dipupuk di sekeliling kami, serta kebaikan-Mu yang dinyatakan dalam begitu banyak cara. Kurniakanlah aku keberanian dan kebijaksanaan agar aku dapat menolak apa yang jahat dan mencari apa yang berasal daripada-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Doa & Sumber untuk Pilihan Raya Amerika Syarikat
Santo/Santa Hari Ini – Santo Yohanes dari Capistrano, Paderi
Gambar: Yesus Berkhutbah di Bukit, karya Gustave Dore




