Bahasa Melayu

Kejayaan Duniawi atau Syurgawi?

6 November 2020
Jumaat dalam Minggu Biasa Ketiga Puluh Satu
Bacaan Hari Ini

“Sebab anak-anak dunia ini lebih bijaksana dalam berurusan dengan orang-orang segenerasi mereka daripada anak-anak terang.”  Lukas 16:8b

Ayat ini terdapat pada penghujung perumpamaan tentang Pengurus yang Tidak Jujur.  Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk menegaskan hakikat bahawa “anak-anak dunia” memang berjaya memanipulasi hal-hal duniawi, sedangkan “anak-anak terang” tidak begitu cerdik dalam hal-hal duniawi.  Jadi, apakah yang ingin disampaikan kepada kita melalui hal ini?

Hal ini tentunya tidak bermaksud bahawa kita patut menjalani kehidupan duniawi, berusaha untuk hidup menurut ukuran dunia dan mengejar matlamat duniawi.  Sebaliknya, dengan mengakui hakikat ini tentang orang yang bersikap duniawi, Yesus menunjukkan kepada kita suatu perbezaan yang ketara tentang cara kita seharusnya berfikir dan bertindak.  Kita dipanggil untuk menjadi anak-anak terang.  Oleh itu, kita sama sekali tidak perlu hairan jika kita tidak begitu berjaya dalam hal-hal duniawi seperti orang lain yang tenggelam dalam budaya sekular.  

Hal ini amat nyata apabila kita melihat pelbagai “kejayaan” mereka yang tenggelam sepenuhnya dalam dunia dan nilai-nilainya.  Ada yang berjaya memperoleh kekayaan yang besar, kuasa atau martabat dengan bersikap cerdik dalam hal-hal zaman ini.  Kita melihat hal ini khususnya dalam budaya pop.  Ambillah industri hiburan sebagai contoh.  Ramai yang cukup berjaya dan popular di mata dunia, dan kita mungkin cenderung berasa sedikit iri hati terhadap mereka.  Bandingkan mereka dengan orang yang penuh dengan kebajikan, kerendahan hati dan kebaikan.  Kita sering mendapati bahawa golongan ini tidak mendapat perhatian.  

Jadi, apakah yang patut kita lakukan?  Kita patut menggunakan perumpamaan ini untuk mengingatkan diri bahawa pada akhirnya, yang benar-benar penting hanyalah pandangan Allah.  Bagaimanakah Allah memandang kita dan usaha yang kita curahkan untuk menjalani kehidupan yang kudus?  Sebagai anak-anak terang, kita mesti berusaha hanya demi perkara yang kekal, bukan demi perkara duniawi yang sementara.  Allah akan memenuhi keperluan duniawi kita jika kita menaruh kepercayaan kepada-Nya.  Kita mungkin tidak mencapai kejayaan besar menurut ukuran dunia, tetapi kita akan mencapai kebesaran dalam segala hal yang benar-benar penting dan segala yang kekal.

Renungkanlah hari ini keutamaan dalam hidup anda.  Adakah anda menumpukan perhatian pada usaha mengumpulkan kekayaan yang kekal?  Atau adakah anda terus-menerus mendapati diri terperangkap dalam manipulasi dan kecerdikan yang hanya bertujuan mencapai kejayaan duniawi?  Berusahalah mengejar perkara yang kekal, dan anda akan bersyukur selama-lamanya.

Tuhan, bantulah aku untuk terus mengarahkan pandanganku ke Syurga.  Bantulah aku menjadi seorang yang bijaksana dalam menghayati rahmat, kerahiman dan kebaikan.  Apabila aku tergoda untuk hidup hanya demi dunia ini, bantulah aku melihat apa yang benar-benar bernilai dan terus menumpukan perhatian pada hal itu sahaja.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Perumpamaan tentang Pengurus yang Tidak Adil oleh Marinus van Reymerswaele


  Subscribe to our YouTube channel  
  to be notified about new content.