Isnin, 3 Mei 2021
Pesta Santo Filipus dan Santo Yakobus, Para Rasul
Filipus berkata kepada Yesus, “Guru, tunjukkanlah Bapa kepada kami, dan itu sudah cukup bagi kami.” Yesus berkata kepadanya, “Sudah begitu lama Aku bersama engkau, namun engkau masih tidak mengenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat Aku telah melihat Bapa. Bagaimanakah engkau dapat berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’?” Yohanes 14:8–9
Pesta liturgi hari ini adalah untuk menghormati dua orang Rasul, iaitu Filipus dan Yakobus Muda. Tidak banyak yang diketahui tentang Yakobus selain bahawa dia telah dipilih oleh Tuhan kita untuk pelayanan kerasulan dan bahawa kita memiliki salah satu suratnya, yang terkandung dalam Perjanjian Baru. Yakobus akhirnya pergi ke Yerusalem dan memimpin Gereja selama beberapa dekad sehingga dia direjam hingga mati sebagai martir. Filipus mewartakan Injil di Yunani, Frigia dan Syria. Dia dan Santo Bartolomeus dipercayai telah disalibkan secara terbalik. Filipus terus mewartakan Injil dari salib dalam keadaan terbalik sehingga kematiannya.
Dalam Injil untuk Misa Kudus hari ini, kita disajikan dengan suatu pertemuan antara Filipus dengan Yesus. Walaupun pertemuan ini kelihatan seperti suatu teguran Yesus terhadap Filipus, teguran itu benar-benar lahir dari hati. Yesus berkata, “Sudah begitu lama Aku bersama engkau, namun engkau masih tidak mengenal Aku, Filipus?” Yesus sememangnya meluangkan banyak masa bersama murid-murid-Nya. Mereka tinggal bersama, makan bersama, mengembara bersama dan meluangkan banyak masa berbual sesama mereka. Oleh itu, kata-kata Yesus kepada Filipus lahir daripada hubungan peribadi-Nya dengan Filipus yang nyata dan dihayati.
Mulakan dengan bahagian pertama pernyataan itu. “Sudah begitu lama Aku bersama engkau…” Bayangkan Yesus mengucapkan kata-kata ini kepada anda. Adakah ini sesuatu yang dapat Dia katakan kepada anda? Benarkah anda meluangkan banyak masa bersama-Nya? Adakah anda meluangkan masa untuk membaca Injil, berbicara kepada-Nya dari lubuk hati anda, berbual dengan-Nya, berdoa kepada-Nya dan mendengarkan suara-Nya yang lembut?
Namun Yesus meneruskan: “…namun engkau masih tidak mengenal Aku…?” Inilah suatu kebenaran yang penting untuk diakui dengan rendah hati. Memang benar bahawa orang yang mempunyai kehidupan doa yang sangat mendalam dan membawa perubahan sekalipun masih belum mengenal Tuhan kita dengan cukup mendalam. Tiada batas bagi perubahan yang dapat berlaku dalam hidup kita apabila kita mengenal Yesus secara peribadi.
Yesus meneruskan pernyataan-Nya: “Sesiapa yang telah melihat Aku telah melihat Bapa.” Maka soalan seterusnya ialah: “Adakah anda mengenal Bapa?” Adakah anda mengenal kasih Bapa, pemeliharaan-Nya terhadap anda dan kehendak-Nya yang sempurna? Walaupun Bapa dan Putera bersatu sebagai satu Allah, Mereka tetap merupakan Peribadi yang berbeza. Oleh itu, kita mesti berusaha menjalin hubungan kasih dengan setiap Peribadi itu.
Seperti yang disebut pada awal tadi, kata-kata Yesus merupakan teguran yang lembut dan penuh kasih kepada Filipus, dan Dia ingin menyampaikan teguran lembut yang sama kepada anda. Namun, teguran kasih ini bertujuan menggalakkan anda untuk mengenal-Nya dengan lebih baik. Inilah undangan untuk menjadikan hubungan anda dengan Yesus dan Bapa lebih peribadi dengan cara yang nyata dan konkrit. Adakah anda mengenal-Nya? Adakah anda mengenal Putera Allah? Adakah anda mengenal Bapa di Syurga?
Renungkanlah hari ini soalan-soalan Tuhan kita yang penuh kasih ini seolah-olah soalan-soalan itu ditujukan kepada anda. Biarlah kata-kata-Nya mendorong anda untuk mengenal-Nya dengan lebih mendalam. Berdoalah agar hubungan anda menjadi lebih peribadi dan membawa perubahan dalam diri anda. Dan apabila anda semakin mengenal Tuhan kita dengan lebih dekat, ketahuilah bahawa anda juga sedang mengenal Bapa di Syurga.
Tuhanku yang ilahi, yang menjalin hubungan peribadi denganku, hasrat Hati Kudus-Mu yang paling mendalam ialah mengenal dan mengasihiku. Penuhilah hatiku dengan hasrat yang sama ini agar aku bukan sahaja mengenal-Mu, ya Tuhan yang kukasihi, tetapi juga Bapa di Syurga. Bapa Syurgawi, aku bersyukur kepada-Mu atas kasih-Mu yang sempurna dan berdoa agar aku dapat membuka diriku kepada kasih itu dengan lebih sepenuhnya setiap hari. Santo Filipus dan Santo Yakobus, doakanlah aku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Bacaan Lanjut – Santo Filipus dan Santo Yakobus, Para Rasul
Imej pilihan di atas: Santo Filipus dan Santo Yakobus Muda oleh Paolo Veronese





